Sleeq Bongkar 70% Kehidupan Mereka Di Dalam Drama

Sleeq Bongkar 70% Kehidupan Mereka Di Dalam Drama

Sleeq Bongkar 70% Kehidupan Mereka Di Dalam Drama

Sudah mula ditayangkan sejak 24 Januari lalu di saluran TVi RTM (Astro 180), drama bersiri muzikal lakonan penyanyi duo Sleeq bertajuk Sleeq & Friends merupakan perjalanan kehidupan sebenar mereka berdua untuk bergelar penyanyi.

Dibintangi anggota sebenar Sleeq iaitu Alyph dan Syarif, drama terbitan Excellent Pictures itu turut membongkar beberapa rahsia yang tidak diketahui umum, bermula sebagai penyanyi berasal dari Singapura yang hanya menyanyikan lagu-lagu hip hop berbahasa Inggeris sehingga diterima oleh peminat golongan Melayu di Malaysia.

Ditemui ketika majlis pelancaran drama muzikal bersiri  berkenaan baru-baru ini, Sleeq berkata sebanyak 70 peratus kisah yang diketengahkan di dalam drama itu menyentuh kehidupan sebenar mereka dari dulu hingga kini.

“Ya benar, sebanyak 70 peratus daripada drama ini adalah bersandarkan kisah benar kehidupan kami. Ia termasuklah persamaan dalam jalan cerita, kejadian dan juga lokasi.

“Banyak cerita yang ada di dalamnya adalah sama. Malah kami menggunakan banyak lokasi yang sama terutama di Singapura bagi mengimbau semula kehidupan kami sebelum bergelar penyanyi sehinggalah hari ini.

“Dalam drama ini juga, penonton akan dapat melihat bagaimana Sleeq yang dulunya hanya menyanyikan lagu Inggeris kerana pasaran muzik di Singapura yang berbeza sehingga diberi peluang menyanyikan lagu berbahasa Melayu,”kata mereka.

Sleeq & Friends turut dibintangi pelakon baru dan terkenal seperti Puteri Chichi, Mimie Haris, Naque Qazem Nor, Ayda Jebat, ArashMohd, Zack Kool,  Emma Akma dan juga tidak ketinggalan teman serta kenalan kumpulan berkenaan turut berlakon bersama.

Tambah dua sepupu itu lagi, tujuan drama Sleeq & Friends ditayangkan adalah bagi menunjukan kepada peminat sejauh mana iltizam serta semangat mereka untuk bergelar penyanyi serta pemuzik dan bukannya untuk  mengejar glamor semata-mata.

Lebih menarik lagi kerana drama yang diarahkan oleh Khalid Nadzri itu telah dirakamkan sepanjang bulan puasa membabitkan dua negara iaitu Malaysia dan juga Singapura.

“Apa yang boleh saya katakan, drama ini akan kami simpan untuk simpanan hari tua untuk tatapan anak cucu kami. Biar mereka tahu betapa sukarnya perjalanan kami untuk bergelar penyanyi.

“Kami juga hampir kecewa buat seketika apabila dipanggil untuk menyertai khidmat negara selama dua tahun, walaupun ketika itu nama kami semakin dikenali. Tapi sama ada suka atau tidak, kami perlu laluinya juga,” katanya.

Sementara itu, rangkaian hotel antarabangsa Tune Hotels turut mengambil bahagian sebagai penaja penginapan sepanjang penggambaran siri muzikal berkenaan.

Ditanya perasaan mereka selepas melihat lakonan sendiri, Syarif berkata terdapat banyak perkara yang perlu diperbaiki dalam lakonan mereka dan menganggap perkara itu cukup asing dalam diri masing-masing.

“Fokus kami adalah dalam bidang muzik dan lakonan hanyalah sebagai sampingan sahaja. Drama ini diterbitkan selepas pihak produksi datang kepada kami untuk meminta kami bagi  melahirkan sebuah drama dan inilah hasilnya.

“Mungkin selepas ini kalau ada pihak yang ingin menawarkan kami berlakon, kami perlu memikirkannya semula.

Mungkin watak samseng korporat ataupun juga watak aneh seperti Johnny Depp,” kata Syarif dan Alyph berjenaka.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers