Sheila Mambo Mahu Buang Stereotaip Pelakon Bertudung
Sebagai seorang anak seni bergelar pelakon, karier ini bukanlah sekadar meniti populariti sebaliknya ia merupakan jiwa dan lakaran kehidupan buat aktres senior Sheila Mambo.
Sheila atau nama sebenarnya, Rusilawati Hasan, 51 yang kini sopan berhijab bercerita mengenai penghijrahannya itu dan juga penerimaan industri terhadap transformasi imejnya tersebut.
Dalam pada tawaran yang diterima Sheila untuk berlakon dilihat sedikit terhad ekoran imej terkini itu, aktres yang terkenal dengan watak ‘mak tiri’ dan juga komedi ini akur dengan layanan industri ini kepadanya yang mula berhijab setelah pulang dari mengerjakan umrah tahun lalu.
Tambah Sheila, mengapa tawaran untuk berlakon bagi pelakon yang bertudung terbatas kepada watak yang tertentu seperti guru, ibu dan watak protagonis lainnya.
Melihat kepada realiti kehidupan, ada diantara individu yang hanya berselindung di sebalik imej muslimah yang dibawanya.
“Kalau nak difikirkan logiknya, sudah tentu ada dikalangan wanita yang hanya menjaga aurat tetapi tidak tingkah laku mereka. Ia sudah menjadi resam perangai manusia, bukan saya mahu mengatakan mereka yang bertudung itu hipokrit tetapi ia sebagai contoh.
“Takkan pelakon yang bertudung tak boleh bawakan watak jahat mahupun komedi hanya kerana tidak menampakkan rambut. Bila berpeluang menulis skrip untuk drama tayangan saluran Al-Hijrah, saya cuba selitkan realiti ini didalamnya.
“Secara tidak langsung pihak produksi khususnya akan lebih membuka mata memilih pelakon.
"Kebanyakkan penulis skrip sekarang suka membayangkan siapakah pelakon untuk watak yang ditulisnya dan disebabkan itu hanya muka sama membawakan watak yang sama,” keluh Sheila mengenai senario yang berlaku dalam produksi drama tempatan dan punca disebaliknya.
Namun dia tidak pernah berniat untuk meninggalkan dunia lakonan yang menaikkan namanya ini, malah berazam untuk mengubah persepsi yang seringkali menjadi jurang diantara produksi dan pelakon yang bertudung.
Walaupun tanpa sebarang anugerah, sudah lebih dua dekad aktres ini menjadi anak wayang dan yang paling terkesan antaranya adalah watak Chombee dalam saga filem Anak Mami dan Mami Jarum.
Menyedari bahawa bakal berdepan dengan dugaan daripada segi tawaran berlakon apabila mula mengenakan tudung semenjak Jun tahun 2013, aktres sudah merencanakan perjalanan karier seninya dengan berjinak dalam dunia penulisan skrip sejak 2006.
Dari sudut pandangan seorang pelakon, terbit keinginan di hati Sheila Mambo untuk menulis skrip.
Bermula secara suka-suka dan sekadar koleksi simpanan sendiri, dia kemudian mula aktif menulis sejak tahun lalu dan ada diantaranya yang telah dihasilkan menjadi drama bersiri dan telemovie.
“Memang dah lama tulis tetapi sekadar suka-suka sampailah tahun lepas rasa seperti ingin lebih serius. Gaya penulisan saya lebih kepada dakwah dan ilmiah kerana itu ia menarik perhatian saluran Al-Hijrah.
“Tetapi walau apa pun, dunia lakonan masih cinta pertama saya. Saya tidak pernah fikir untuk berhenti kerana pelakon dilahirkan untuk terus berlakon selagi tawaran masih ada. Itu bezanya pelakon dulu dan kini,”cerita Sheila yang juga asalnya merupakan seorang penyanyi di era 80`an.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.