Soo Wincci Hampir Putus Asa

Soo Wincci Hampir Putus Asa

Soo Wincci Hampir Putus Asa

Gadis manis yang kini popular dengan lagu ‘Musim Asmara’, Soo Wincci, 28, mendedahkan yang dia hampir putus asa kerana mengalami pelbagai masalah pada masa yang sama. Peserta ‘Masterchef Malaysia All Stars’ ini menceritakan permasalahan yang dihadapinya kepada GUA ketika ditemubual di Konsert Ambang 2014 Ambank di Dataran Putrajaya pada Selasa.

“Saya hampir mengalami ‘breakdown’ kerana ditimpa pelbagai masalah pada satu masa yang sama. Pihak pengurusan kerjaya pasaran Melayu saya mengundurkan diri selepas pelancaran album Melayu, jenama kasut yang direka oleh saya terpaksa dihentikan kerana namanya menyerupai sebuah jenama popular tempatan dan kontrak duta untuk beberapa jenama kecantikan ditamatkan. Semuanya datang serentak, apa yang saya boleh lakukan pada ketika itu adalah hanya menangis dan saya hampir mengalami ‘breakdown’ atas segala perkara yang terjadi,” dedah Wincci.

“Semuanya terjadi sehari sebelum saya mendapat tahu yang nama saya tercatat dalam senarai 100 Wajah Tercantik Dunia oleh Independent Critics. Apabila saya mengetahui nama saya terkandung dalam senarai tersebut, saya begitu terkejut. Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk berada dalam senarai 100 Wajah Tercantik. 

Mungkin mereka nampak usaha saya yang aktif dalam pelbagai cabang kerjaya seperti bidang nyanyian, peragaan, lakonan dan juga masakan. Semua perkara yang berlaku ada hikmahnya, saya anggap itu sebagai anugerah untuk saya agar dapat berusaha dengan lebih kuat dan menaikkan semangat saya agar tidak putus asa untuk mencapai impian,” ujar Wincci penuh optimis.

Menurut gadis yang mula dikenali umum menerusi penglibatannya dalam Miss World Malaysia 2008, dia mula memahami betapa besarnya cabaran yang harus dihadapinya untuk mencapai impian dan cita-cita. Menanam azam untuk menembusi pasaran Hollywood, Wincci yang sedang mengukuhkan tapak kerjayanya di negara Taiwan ini punya perancangan untuk melebarkan sayap kariernya ke negara China pula.

“Untuk tahun 2014, saya akan jarang berada di Malaysia kerana ingin mengukuhkan lagi perjalanan karier saya di Taiwan. Dua lagu saya, ‘Happiness’ dan ‘Not Brave’ kini tersenarai dalam carta muzik di Taiwan. Masalah yang saya hadapi kini adalah lagu saya popular di sana, tapi orangnya tidak ada untuk mempromosikan lagu tersebut. Jadi saya perlu ke sana untuk mengukuhkan lagi promosi,” katanya.

“Selepas Taiwan, saya sasarkan untuk memperluaskan perjalanan kerjaya saya ke negara China pula. Mungkin saya akan mencari peluang untuk berkolaborasi dengan artis di China. Penyanyi Malaysia yang sedang menempa nama di China, Shila Amzah juga ada dalam fikiran saya untuk projek kolaborasi tersebut. Mengenai pelajaran pula, saya kini sedang giat untuk mempercepatkan proses dalam menyudahkan pembelajaran saya di peringkat PhD. Azam saya adalah untuk saya menghabiskan PhD sebelum usia saya mencecah angka 30,” cerita Wincci mengakhiri perbualan.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers