Gala Diraja Seni Persembahan Diterajui Ezlynn, Tony Eusoff, Adibah Noor

Gala Diraja Seni Persembahan Diterajui Ezlynn, Tony Eusoff, Adibah Noor

Gala Diraja Seni Persembahan Diterajui Ezlynn, Tony Eusoff, Adibah Noor

Sebuah acara ikonik, Gala Diraja Seni Persembahan inisiatif dari My Performing Arts Agency (MyPAA) dengan kolaborasi bersama Jabatan Kebudayaan dan Seni Negara (JKKN) serta sokongan dari Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) bakal berlangsung pada tapak istana Negara lama pada 25 Januari 2014.

Dianjurkan untuk mengutip dana yang bertujuan menjana perkongsian kerjasama bagi rekacipta dan kemajuan usaha seni di Malaysia, Gala Diraja Seni Persembahan juga diadakan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2014 (VMY 2014), menjadikan kempen ini lebih berwarna-warni serta lebih berprestij tinggi dengan gabungan pelbagai acara.

Dipersembahkan dalam tempoh 45 minit,  pementasan muzikal ini membariskan bakat-bakat terbaik dari Malaysia iaitu Ezlynn yang cukup dikenali menerusi lagu hits beliau Hi Hi Bye Bye, Tony Eusoff, bintang teater muzikal Malaysia yang diminati ramai serta Adibah Noor yang mempunyai kepelbagaian bakat dalam bidang seni.

Lebih menarik apabila ianya iarahkan oleh pengarah terkenal Adlin Aman Ramlie, diiktiraf melalui karya beliau dalam filem Puteri Gunung Ledang, rancangan realiti-TV Akademi Fantasia, Maharaja Lawak Mega, Uda dan Dara, Muzikal Puteri Gunung Ledang, dan Muzikal P.Ramlee antara lainnya.

Malah ia turut dibantu tenaga produksi yang kreatif seperti Onn San iaitu komposer dan orkestrator yang pernah memenangi anugerah, Fairul Zahid - bintang pelatih tari ASWARA Dance Company, Melissa Teoh - pemgurus produksi, serta Tommy Mansur - pengarah artistik yang menghasilkan pembikinan set hebat dalam filem Vikingdom oleh KRU.

Gala Diraja Seni Persembahan mengisahkan tentang Puteri Artilla (lakonan Ezlynn), yang berasal dari tanah kelahiran seni. Tuan puteri bersemangat cekal dan berminda terbuka ini ditunangkan dengan Putera Syah Rohan (lakonan Tony Eusoff) dari kerajaan jiran; seorang yang mengutuk seni turun-temurun warisan nenek moyang mereka.

Dengan berat hati, Tuan Puteri bersetuju untuk memulakan sebuah ekspidisi bersama Tuan Putera bagi mengenal hati budi masing-masing. Ditemani rombongan diraja, ekspidisi ini membawa mereka ke satu sudut dari kerajaan Tuan Puteri yang diperkaya dengan keindahan seni; sebuah perjalanan yang akhirnya telah merubah persepsi Tuan Putera terhadap seni. Para hadirin akan mengetahui samada perjalanan ini sudah cukup kuat untuk membuat Tuan Puteri berubah hati.

“Tidak tahu bagaimana hendak digambarkan kegembiraan kami apabila memiliki barisan bintang-bintang berpengalaman luas bersama kami untuk Gala Diraja Seni Persembahan ini.

"Sebuah pasukan kreatif yang hebat dan benar-benar berazam untuk mempersembahkan hanya yang terbaik bagi acara ini, bintang-bintang serta artis-artis bakal memberi seluruh jiwa dan raga mereka untuk menghidupkan jalan cerita yang dipersembahkan di atas pentas yang direka-khas di atas tapak istana Negara lama ini.

"Ini adalah sebuah pengalaman seumur hidup yang pastinya dinikmati dan dikenang sampai bila-bila oleh penaung-penaung kami," kata Izan Satrina Mohd Sallehuddin, Pengarah MyPAA.

Sementara itu, Adlin Aman Ramlie pula berkata, persembahan muzikal ini merupakan yang paling terbaik antara yang terbaik yang pernah dihasilkan.

"Visi saya adalah untuk mencipta sebuah karya seni yang berpotensi untuk dipentaskan dalam produksi menyeluruh, yakni sebuah seni persembahan bertaraf dunia kepada penonton.

"Tambahan pula, acara ini bakal menjadi platform pendedahan bakat-bakat seni kepada ketua-ketua korporat yang akan menghadiri acara ini, mempersembahkan peluang kolaborasi antara seni dan hiburan dalam setiap acara korporat mereka,” komen Adlin Aman Ramlie.

Lebih dari RM700,000 dana diraih dari Gala Diraja Seni Persembahan 2012, yang telah diagihkan kepada 31 penerima termasuklah Akasha, Rhythm in Bronze, Five Arts Centre, Rumah Anak Teater, Rimbun Dahan, antara lainnya.

Gala Diraja Seni Persembahan merupakan peluang keemasan kepada sektor korporat menjadi tuan rumah kepada klien-klien dan rakan usahasama di majlis diraja yang eksklusif, dengan kehadiran elit kreatif dan korporat tempatan.

Meja yang dijual bagi gala ini bermula dengan harga RM15,000 (Meja Gamelan), RM25,000 (Meja Odissi), RM35,000 (Meja Wayang Kulit), dan RM50,000 (Meja Mak Yong) bagi setiap meja. Sebagai bonus, setiap sokongan bagi inisiatif ini dikecualikan daripada cukai. Untuk tempahan/maklumat lanjut, hubungi 03 6207 9566 atau email rag@mypaa.com.my

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers