Dato' Hattan Tiada Masalah Kolaborasi Dengan Waris

Dato' Hattan Tiada Masalah Kolaborasi Dengan Waris

Dato' Hattan Tiada Masalah Kolaborasi Dengan Waris

Setelah sekian lama tidak muncul dengan buah tangan terbaru dalam bidang seni suara tempatan, Dato' Hattan kini muncul dengan lagu terbaru, ‘Gadis Jolobu’, hasil kolaborasi dengan penyanyi rap yang sedang meningkat naik, Waris.

“Alhamdulillah, single terbaru saya bersama Waris, ‘Gadis Jolobu’ sudah pun dimainkan di corong radio dan lagu tersebut juga mendapat sambutan serta maklumbalas yang memberangsangkan oleh pendengar dan peminat,” ujar Hattan kepada GUA ketika ditemubual di Konsert Ambang 2014 Ambank di Dataran Putrajaya pada Selasa.

“Lagu tersebut menceritakan mengenai persepsi kurang tepat masyarakat luar mengenai orang yang berasal dari Negeri Sembilan. Menggunakan dialek pertuturan orang Negeri Sembilan, lagu tersebut akan mengubah pendapat sesetengah orang yang kurang faham mengenai adat dan budaya orang Negeri Sembilan. Lirik lagu tersebut saya hasilkan bersama Waris,” cerita Hattan lagi.

Tambah penyanyi yang pernah popular menerusi lagu ‘Biso Bonar’ ini, dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk berkolaborasi bersama pendatang baru seperti Waris. Menyifatkan pemuda tersebut mempunyai sikap merendah diri, Hattan juga gemarkan bakat kreatif yang ada pada Waris dalam menghasilkan lagunya sendiri.

Dalam perkembangan lain, Hattan turut berkongsi mengenai anak lelakinya, Adam Iman, 16, yang memperoleh keputusan cemerlang dengan mendapat 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan baru-baru ini. Hattan juga sempat berkongsi rahsia didikan terhadap anak sulungnya itu.

“Saya tidak memaksa Adam. Apa yang penting bagi saya, Adam pandai membahagikan masa. Saya tidak halang dia untuk bermain permainan video seperti remaja yang lain, tetapi nasihat saya padanya adalah biarlah dia bijak mengatur jadual. Sebagai contoh, jika satu jam dia peruntukkan untuk bermain ‘game’, dia harus mengulangkaji pelajaran selama dua jam,” dedah penyanyi lagu ‘Rendang Tak Berbuah’ ini.

“Selain itu, didikan agama juga sangat penting. Dari awal lagi saya sudah menghantar Adam ke kelas mengaji Al-Quran dan sebagainya. Saya mengajar Adam agar sentiasa merendah diri dan mengingatkannya bahawa segala nikmat yang dikecapi kini hanyalah pinjaman Allah sahaja,” ujar Hattan mengakhiri perbualan.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers