Cetak rompak makin 'menggila'!

Cetak rompak makin 'menggila'!

Cetak rompak makin 'menggila'!


ISU cetak rompak bukanlah fenomena baru dalam industri perfileman tempatan. Bukan tiada tindakan ataupun serbuan yang dilakukan pihak berkuasa, namun 'perompak karya' ini tanpa rasa gundah seakan tegar melakukan perkara yang sama.

Malah, ada juga yang tidak serik mencuri karya orang lain dan menjualnya secara terang-terangan di pasaran dengan harga serendah RM5. Lebih memilukan, filem terbaru arahan Syamsul Yusof, KL Gangster 2, telah pun memenuhi pasaran gelap walaupun filem ini bakal ditayangkan pada 3 Oktober depan di pawagam.

Bermula dengan penyebaran di internet, filem yang menelan kos kira-kira RM4.5 juta itu kini berada di meja-meja pasar malam dan kedai-kedai cakera padat (CD). Pun begitu, tindakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dalam usaha menangani situasi ini wajar diberikan pujian.

Sepanjang minggu lalu, Operasi (Ops) Banteras yang dilancarkan Finas di beberapa lokasi di seluruh negeri berjaya merampas lebih 5,000 cakera video digital (DVD) rompak serta peralatan audio visual bernilai lebih RM40,000.

Pengarah Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Finas, Mohd Fazli Abdul Aziz berkata, pihaknya berjaya merampas 200 keping DVD cetak rompak, KL Gangster 2 di Pulau Pinang dan Johor.

Turut bersimpati dengan nasib malang yang menimpa syarikat produksi, Skop Production Sdn Bhd, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), tampil memberi sokongan. Selain dari itu, PFM juga turut memberi cadangan dan desakan kepada pihak yang berkenaan agar perkara yang sama tidak berulang lagi.

Ikuti pandangan dan penjelasan lanjut daripada Setiausaha Kehormat PFM, Zahrin Aris, mengenai isu yang mampu memusnahkan industri seni tempatan ini.

Melihat kepada isu cetak rompak yang kian berleluasa, apa reaksi anda sebagai badan/persatuan yang memayungi golongan penerbit filem tempatan?

Sejujurnya, perkara ini amat mengecewakan. Gejala cetak rompak filem tempatan yang sudah bertahun-tahun bermaharajalela dan sehingga kini masih belum selesai. Malah, gejala ini semakin parah dan secara senyap, ia boleh jadi 'pembunuh' utama para pengkarya dan industri.

Adakah ini luahan anda berhubung kes penyebaran filem, KL Gangster 2?

Kami bersimpati dengan nasib yang menimpa penerbit, Datuk Yusof Haslam. Walaupun isu cetak rompak dah lama berlaku, namun perkara sebegini adalah pertama kali berlaku dalam sejarah perfileman di mana ianya bocor sebelum ditayangkan.

Kini, perompak lebih agresif dan berani mengeluarkan cetak rompak filem yang masih belum ditayangkan di panggung seperti KL Ganster 2. Persoalannya, dari mana mereka mendapatkan salinan asal filem itu? Semasa tayangan mendapatkan kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) atau semasa tayangan Wajib Tayang, Finas? PFM sendiri buntu memikirkan perkara itu dan semestinya kami gusar akan situasi yang kian parah ini.

Pada pandangan anda, siapakah yang perlu bertanggungjawab dan memainkan peranan?

Ianya di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia (KPDNKK). Namun, apa yang saya lihat, KPDNKK kurang memainkan peranan malah mereka seperti sudah habis cara untuk memantau cetak rompak filem tempatan daripada penjualan DVD haram mahupun cetak rompak Internet.


Perkara ini dilihat seperti sudah tidak ada lagi Undang-Undang Hak Cipta di Malaysia. Secara keseluruhan, gejala cetak rompak ini adalah faktor utama penurunan jumlah penonton ke pawagam. Peminat semakin tidak berminat untuk ke pawagam kerana secara langsung diajar untuk menonton secara haram seperti mendapatkan VCD atau muat turun dari Internet secara percuma.

Adakah ianya menunjukkan tiada penyelarasan kuasa pemantauan dari pihak berkuasa?

PFM berpendapat, penyelarasan kuasa antara KPDNKK bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu diperkemaskan lagi. Kami perhatikan, masing-masing mengamalkan sikap menunggu tindakan di antara satu sama lain.

Tindakan sebegini akan mengakibatkan isu yang remeh pun sukar untuk diselesaikan. Pada dasarnya cetak rompak internet bukannya perkara baru dan halaman web dan blog membuktikan perompak ini sudah tidak takut lagi pada undang-undang kerajaan yang tidak konsisten dalam bertindak.

Bukan sahaja filem tempatan, malah saluran televisyen seperti TV1, TV2, TV3, dan Astro juga telah dimuat naik menggunakan format streaming oleh perompak internet ke blog-blog dengan tujuan melariskan proses penjualan iklan mereka.

ni adalah satu tanda bermulanya kejatuhan industri kandungan kreatif Malaysia. Jika tidak dipantau secukupnya, ia akan membahayakan industri.

Akhir sekali, apakah harapan anda sebagai badan yang bertanggungjawab membela penerbit filem tempatan?

PFM berharap agar pihak kerajaan mengambil perhatian serius serta tindakan segera terhadap pemantauan cetak rompak. Ia bukanlah isu yang remeh kerana melibatkan harta intelek pengkarya khususnya kepada penerbit yang telah mengeluarkan jutaan modal.

Bukan itu sahaja, penerbit juga membuka lebih ramai peluang pekerjaan dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Justeru itu, PFM memandang serius mengenai masalah ini. Sekiranya kerajaan gagal memainkan peranan, PFM akan membuat sidang akhbar untuk memaparkan halaman cetak rompak secara terbuka.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers