Yusry idam filem perang

Yusry idam filem perang
KRU

Yusry idam filem perang


FILEM berunsur imej janaan komputer (CGI) sememangnya bukan baru di negara kita. Sekitar tahun 90-an, Aziz M Osman sendiri telah memasukkan sedikit kesan CGI dalam filem sains fiksyennya.

Namun hari ini, jika kita bercakap mengenai filem CGI, pasti kita akan terfikirkan karya-karya menakjubkan terbitan KRU Studios seperti Cicakman, Magika, 29 Februari, Hikayat Merong Mahawangsa dan Vikingdom.

Justeru tentulah individu yang begitu penting di sebalik pembikinan filem yang menyelitkan CGI ini adalah Yusry Abdul Halim. Malah tidak keterlaluan untuk melabelkan penyanyi, pelakon dan pengarah berusia 38 tahun ini sebagai pelopor filem CGI di negara kita.

Apatah lagi, hasil kerja suami kepada aktres Lisa Surihani bukannya sekadar hasil tangkap muat atau murahan, sebaliknya hasil kerjanya seperti filem Hikayat Merong Mahawangsa dan Vikingdom sudah diiktiraf setaraf dengan filem antarabangsa.

Tidak pernah menepuk dada dengan kepakaran yang dimiliki, Yusry sebelum ini pernah mengharapkan agar lebih baik filem yang menyelitkan elemen CGI dapat dibuat untuk filem terbitan KRU Studios selepas ini.

"KRU Studios memang berharap untuk memberi kelainan dengan menyelitkan elemen CGI dalam filem-filem terbitannya. Jadi kami berharap untuk memperoleh lebih banyak pakar yang dapat menghasilkan filem CGI selepas ini," ujarnya.

Ditebak apakah perancangannya selepas Vikingdom, Yusry berkata, dia selepas ini akan kembali mengarahkan filem Melayu, namun dalam masa yang sama mengimpikan untuk mengarahkan filem perang Islam yang boleh diangkat ke persada antarabangsa.

"Biarpun kami kini menuju ke persada antarabangsa, namun ada ketikanya kita perlu patah balik dan mengarah filem Melayu untuk pasaran tempatan juga. Jika kita sentiasa ke depan, bimbang nanti bila kita patah balik, orang sudah tidak boleh terima dan berfikiran negatif.

"Jadi selepas ini saya akan buat filem Melayu dan projek terdekat saya adalah Cicakman 3 yang akan memulakan penggambaran Januari depan. Namun dalam masa yang sama, saya sudah mengimpikan untuk mengarahkan sebuah filem perang Islam, namun belum ada sebarang perancangan lanjut atau jaminan bahawa filem itu akan diterbitkan kelak.

"Apatah lagi, saya tidak fikir apabila filem seumpama ini dibawa ke peringkat antarabangsa, ia akan disukai dan diterima. Tapi perancangan itu tetap ada, apatah lagi, tidak banyak filem perang Islam yang pernah kita lihat sekarang," ujarnya yang masih belum memikirkan untuk melakukan sekuel Vikingdom selepas ini.

Sambutan menggalakkan


Ditanya mengenai perkembangan sambutan filem Vikingdom buat masa ini, abangnya, Norman Abdul Halim ada memaklumkannya filem lakonan Dominic Purcell, Natassia Malthe, John Foo, Craig Fairbras dan Conan Stevens, setakat ini mendapat sambutan yang menggalakkan.

Yusry berkata, dia tidak mengetahui berapa kutipan yang sudah diperoleh (setakat Sabtu lalu), namun berharap kutipan akan terus meningkat apatah lagi kebanyakan rakyat Malaysia bercuti sehingga hari ini.

"Saya harap masyarakat Malaysia dapat menerima filem ini, namun saya juga berharap mereka tidak membandingkan Vikingdom dengan filem-filem Hollywood sebelum ini.

"Filem ini tidak boleh disamakan dengan mana-mana filem epik atau sejarah yang benar-benar berlaku. Setiap watak dalam filem ini adalah mengikut skrip asal dan diubahsuai mengikut apa yang saya fikirkan sesuai," katanya.

Yusry berkata, bagi mereka yang mempunyai mentaliti bahawa Vikingdom mempunyai persamaan dengan Hikayat Merong Mahawangsa pula, Yusry berkata, ia hanya sama dari segi genre filem iaitu epik, namun mempunyai jalan cerita yang berlainan.

"Merong adalah sebuah filem fantasi yang saya jadikan bak sebuah filem sejarah. Tetapi Vikingdom adalah sebuah filem dari sejarah yang saya ciptakan seperti filem fantasi dan ia sangat berlainan," jelasnya.

Cabaran babak akhir


Berkongsi pengalamannya semasa pembikinan filem Vikingdom, Yusry berkata, cabaran utama yang ditempuh sepanjang 60 hari penggambaran itu adalah untuk mereka set sama seperti keadaan di luar negara.

"Penggambaran dilakukan 100 peratus di Malaysia dan cabaran utamanya adalah kami perlu mencari kawasan yang hampir sama dengan luar negara.

"Alhamdulillah, kami menjumpai kawasan bukit di Puncak Alam, Selangor. Bagaimanapun ia tidak semudah disangka kerana kami perlu berhadapan dengan cuaca yang terlalu panas sepanjang penggambaran.

"Malah kami juga terpaksa membina bangsal berhawa dingin untuk kuda dan penggambaran juga terpaksa direhatkan setiap 30 minit kerana kuda yang digunakan adalah kuda polo dan mereka tidak boleh terlalu lasak.

"Selain itu, kami juga melakukan penggambaran di Gua Tempurung, Kellie’s Castle di Perak serta di Filem Negara,” katanya.

Tambah Yusry, filem yang menelan belanja hampir RM20 juta itu menjalani proses penggambaran dan penyuntingan dengan perancangan teliti.

"Kita bukan buat penggambaran ikut suka hati, kita sudah buat perancangan yang sangat teliti. Bagi penggambaran sahaja ia ambil masa hampir 60 hari manakala penyuntingan mengambil masa hampir setahun.

"Segala peralatan, kostum atau pelakon aksi ngeri perlu disediakan awal sebelum pelakon-pelakon utama di bawa ke Malaysia. Pihak kami cuma ada masa dua minggu sahaja untuk penggambaran bersama pelakon-pelakon utama,” ujarnya.

Selain itu, katanya, pencarian pelakon tambahan berbangsa asing, set penggambaran yang direka khas dan kostum juga menjadi cabaran penting dalam proses pembikinan filem tersebut.

Kembali menyanyi?


Sementara itu, ditebak mengenai karier nyanyiannya, Yusry sambil ketawa berkata, dia dan KRU tidak mungkin akan kembali membuat persembahan di pentas nyanyian, namun tetap akan mengeluarkan single baru bagi mengubati rindu peminat setia mereka.

Katanya, kekangan masa antara Norman, Edry dan dia sendiri membuatkan mereka sukar untuk melakukan sesi latihan dan sesi rakaman pula sering diadakan secara berasingan.

"Kalau secara berkumpulan kami memang ada sasaran untuk mengeluarkan single dalam tempoh tertentu. Tapi untuk menyanyi secara single pula, saya tidak boleh beri sebarang jaminan.

"Buat masa ini saya memang ada beberapa material, tetapi ia berbalik kepada masa. Jika masa mengizinkan, mungkin ada single terbaru nanti. Kita tengoklah macam mana nanti," katanya.

Comments

  1. sy sokong..dari citer gaduh2 pastu rosakkan bahasa ..xpyh la..

    ReplyDelete
    Replies
    1. yup, is pun sokong gak idea Yusri tapi is mintak Yusri supaya studi balik sejarah Melayu lama sebelum nak terbitkan lagi sekali filem perang Islam nie, lagi satu filem gaduh-gaduh nie bukan sahaja rosak bahasa malah merosakkan bangsa dan tanahair.

      Delete
  2. pasti boleh punya buat filem genre perang sebab vikingdom pun dah membuktikan kan?

    ReplyDelete
    Replies
    1. yup boleh tahan la filem tu, tapi kalau boleh kan Yusri cari lah tenaga pengajar stunt dan aksi lawan dan stunt buat sendiri dan kurangkan sikit animasi effect baru nampak real Filem-filem perang tu. Ala macam Hong Kong punya filem kan? Fong Sai YuK dan sebagainya, cerita dorang banyak aksi bertangan dan ilmu pertahankan diri dan perang yang real dan bonus adalah daripada effect animasi. baru best kan?

      Delete

Post a Comment

Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my

Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers