Bront dan Liyana Jasmay dalam ‘New York Cinta’ |
Bront Palarae batalkan majlis resepsi di ibu kota
Bront Palarae |
"KENAPA nak rahsia? Siapa wanita itu dan mengapalah berita baik seperti ini tidak mahu dikongsi bersama masyarakat, terutamanya peminat yang selama ini menyokongnya?"
Itulah soalan demi soalan yang sentiasa bermain di fikiran kebanyakan pihak setelah aktor berbakat besar, Bront Palarae, membuat keputusan untuk merahsiakan perkahwinannya yang berlangsung pada 31 Ogos lalu.
Meskipun pada awalnya dia berdolak-dalik mengenai berita baik itu, aktor KL Gangster ini akhirnya terpaksa akur setelah perkahwinannya itu berjaya dihidu pihak media.
Akui tidak berniat untuk merahsiakan perkara itu, Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin, 34, sehingga kini bagaimanapun tetap dengan pendiriannya untuk tidak berkongsi mengenai perihal perkahwinannya.
“Saya mahu tegaskan, ini ialah hal peribadi dan saya tidak perlu berkongsi cerita dengan peminat melainkan kerja (lakonan) sahaja.
“Pernikahan saya itu hanya dihadiri oleh keluarga terdekat dari kedua-dua belah pihak tanpa diketahui kawan-kawan saya sendiri dan rakan media.
“Lagipun, saya ada kawan dan rakan media yang ramai. Jadi, tidak mungkin saya boleh penuhi kemahuan mereka semua kerana ini ialah hal keluarga saya,” jelasnya ketika ditemui selepas pelancaran supertelefilem New York Cinta, di Subang Jaya, Khamis lalu.
Tidak mahu isu perkahwinannya terus menjadi perhatian, Bront Palarae turut mengambil keputusan untuk mengadakan majlis resepsi perkahwinannya di kampung ibunya, Hatyai, Thailand,
“Pada awalnya saya merancang untuk mengadakan majlis resepsi di Kuala Lumpur dan mahu menjemput kawan-kawan lain. Malah, ada kawan-kawan yang merajuk dan kecil hati bila hanya dapat tahu saya kahwin daripada media.
“Tetapi, apabila hal ini telah menjadi kecoh, tidak mungkin saya akan buat resepsi di Kuala Lumpur sebaliknya hanya di Hatyai hujung tahun ini.
“Jika ada yang masih ingin mencari berita tentang saya, jemputlah datang ke majlis saya di sana,” katanya.
Memandangkan dia terlalu berahsia mengenai kehidupan peribadinya, Bront turut diminta mengulas mengenai dakwaan yang mengatakan dia pernah berkahwin sebelum ini.
“Saya hanya pernah berkahwin di dalam filem. Kalau ada yang cakap saya pernah kahwin sebelum ni, bolehlah semak di pejabat agama. Tapi, ini adalah kali pertama saya bernikah,” tegasnya.
Tertarik sikap sederhana isteri
Melangsungkan pernikahan di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, Bront juga tetap dengan pendiriannya untuk tidak mendedahkan identiti sebenar isterinya itu.
“Isteri saya orang biasa saja. Dia bukanlah selebriti tetapi bekerja dalam bidang periklanan. Saya kenal dia sejak zaman sekolah lagi. Dia berasal dari Kuala Lumpur. Itu saja yang saya boleh beritahu," katanya.
Di usik pertanyaan mengenai keistimewaan isterinya itu, Bront berkata, sikap sederhana serta mampu menjadi isteri dan ibu yang baik untuk anak-anaknya, membuatkan dia tidak teragak-agak memperisteri wanita itu.
Ketika ditanya mengenai reaksi isterinya terhadap kontroversi perkahwinan mereka yang kian menjadi perhatian, Bront berkata, isterinya sangat memahami situasi itu.
“Sejujurnya, apabila membaca pelbagai berita tentang perkahwinan kami, ia membuatkan kami tergelak tetapi dalam keadaan yang serius," katanya yang tidak menyangka berita mengenai perkahwinan itu mendapat perhatian ramai.
Sedia bergelar bapa
Berkongsi kehidupannya selepas bergelar suami, Bront berkata, dia masih dalam proses pembelajaran untuk mendalami selok-belok rumah tangga
“Menjalani kehidupan berumah tangga sama sahaja. Cuma sedikit janggal kerana sebelum ini berkahwin dengan hati, tetapi sekarang sudah tinggal bersama.
“Sebelum ini saya dan isteri sudah lama berkawan dan apabila bergelar suami isteri, perasaan pelik itu sedikit timbul.
“Mungkin rasa tanggungjawab sebagai suami itu sudah ada selain perkahwinan ini sekali gus membuatkan saya rasa lebih matang,” katanya.
Lumrah bagi pasangan yang berkahwin, pastinya mengidamkan cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga. Malah Bront juga akur dengan situasi itu.
"Saya sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang ayah pula. Jadi, doa-doakanlah kami agar cepat dapat cahaya mata,” katanya yang masih belum mempunyai perancangan berbulan madu kerana terikat dengan komitmen kerja.
Dalam perkembangan lain, mulai 12 September lalu, lakonan Bront menerusi supertelefilem 'New York Cinta' bersama Liyana Jasmay, dapat disaksikan secara eksklusif di Astro First.
sebenarnya kalau ikutkan, ada baiknya hal perkahwinan tak perlu didedahkan, yelah kehidupan peribadi kan???
ReplyDeleteYup, memang ada baiknya, lagi bagus annouce bila dah akad nikah dan kenduri kahwin, takperlu hebah masa bila nak akad, bila nak kenduri, bagus untuk elakkan diri daripada terkena sihir jugak betul tak? ramai artis kena sihir sebab status perkahwinan.
Delete