Anuar Zain |
Anuar Zain fobia
Anuar Zain |
KINI, ramai artis berlumba-lumba memuat naik status terbaru mereka melalui media sosial seperti Twitter, Instagram, Keek atau Facebook, tetapi berbeza dengan penyanyi lelaki versatil, Anuar Zain atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain, 43.
Bagi Anuar, disebabkan banyak keburukan dari kebaikan, dia tidak berminat menjadikan media sosial sebagai medium untuk bersosial.
Mengakui dirinya sering dilihat di tempat awam, Anuar merasakan perkara itu sudah memadai kerana tiada perkara yang diselindung daripada peminat yang rata-ratanya sudah mengetahui rutin kehidupannya.
“Saya rasa, tidak perlulah mempunyai laman sosial kerana saya sudah terlebih berkongsi bersama peminat.
“Dari dulu, saya tidak menyembunyikan aktiviti saya. Malah, peminat juga tahu di mana saya selalu ada, di kedai mana saya selalu habiskan masa lapang saya dan bagi saya, semua aktiviti saya mereka dah tahu.
“Saya rasa sudah terlalu menonjolkan rutin harian saya. Peminat sudah terlalu dekat dengan saya,” katanya yang juga bimbang aspek keselamatan sekiranya terlalu menonjolkan diri.
Dia yang popular dengan lagu Lelaki Ini, turut meluahkan rasa terkilan dengan perbuatan individu yang sengaja mencuri dan merakam gambarnya sewaktu keluar di tempat awam dan mengutuknya di Twitter.
“Memandangkan saya tiada laman sosial, saya mendapat tahu beberapa individu yang tidak puas hati (mengambil foto tanpa izin) dan mengutuk saya di Twitter.
“Kutukan itu sedikit sebanyak mengganggu emosi saya. Sedangkan saya tidak pernah melukai hati sesiapapun, mengapa ada saja pihak mempunyai persepsi negatif terhadap saya.
“Saya merasakan laman sosial itu tiada kepentingan dan kebaikan selain hanya menimbulkan perkara tidak baik,” katanya yang mengaku fobia dengan perkara sedemikian.
Malah disebabkan perkara itu, dia memutuskan tidak memiliki akaun laman sosial sendiri sebaliknya hanya memiliki akaun Facebook Anuar Zain Network yang diselia pihak pengurusannya.
Bantu rumah kebajikan
Anuar yang hadir pada majlis sidang media Eksklusif sempena Malam Jalinan Mesra 2013 Jabatan Perancangan Bandar & Desa Semenanjung Malaysia di Restoran Rebung itu turut menjelaskan mengenai acara Malam Jalinan Mesra 2013.
Majlis berkenaan bakal berlangsung pada 19 Oktober depan di Dewan Kristal 1 & 2, Pusat Konvensyen TM (TMCC), Jalan Pantai Baru.
Katanya, majlis dengan kerjasama Sutera Qaseh Resources itu diadakan bagi mengutip dana untuk disalurkan kepada beberapa rumah kebajikan melalui tabung Kelab Sukan dan Kebajikan Perancangan Bandar & Desa Semenanjung Malaysia (KESPERB).
“Hasil penjualan tiket akan disalurkan kepada rumah kebajikan.
“Pada hari itu nanti saya akan nyanyikan lima buah lagu dengan diselangi acara santai, ” katanya yang turut memaklumkan tiket bagi majlis itu dijual dari harga RM3,000 hingga RM 30,000 semeja.
Beralih mengenai albumnya, Anuar berkata, pemilihan lagu amat susah dibuat memandangkan ia dipilih mengikut ‘range’ suaranya yang sukar dipadankan dengan sebarang lagu.
“Setakat ini, saya telah merakamkan hampir tiga dan masih buat pemilihan lagu yang sesuai dengan suara saya.
“Kemungkinan saya akan bekerjasama dengan pemuzik Indonesia dan setengah daripada lagu saya juga mungkin dirakam di negara seberang itu,” akhirinya.
memang susah nak tengok Pak Ngah Nuar ni muncul kat mana2 laman sosial...
ReplyDeleteerrkkk Pak Ngah??? hmmmm pasal dia pobia dengan laman social.
Delete