Nora Danish |
Nora Danish enggan terburu-buru
"KALAU ada jodoh, Insya-ALLAH. Tapi sekarang ni saya belum memikirkan ke arah itu (kahwin)!."
Demikian reaksi aktres seksi, Nora Danish mengenai hubungannya dengan seorang anak menteri yang dikenali sebagai Nedim Nazri. Kisah kemesraan mereka sering menjadi perhatian dan juga bualan ramai memandangkan pasangan ini sering memuat naik gambar-gambar mesra mereka di laman sosial.
Meskipun sehingga kini, pelakon Mencari Cinta dan Cuti-Cuti Cinta itu masih belum mengiakan mahupun menafikan hubungan yang terjalin antara mereka, namun dari bibit-bibit kemesraan yang dipaparkan membuatkan ramai yang menganggap mereka sudah bercinta.
Enggan terburu-buru, akui Nora Danish pengalaman lalu membuatkannya lebih berhati-hati untuk mendirikan rumah tangga buat kali kedua. Bagaimanapun, sekiranya Yang Maha Kuasa membuka pintu hatinya, dia tidak mungkin menolak jodoh yang tiba.
"Saya tak kisah kalau orang anggap kami bercinta. Tapi buat masa ini, saya tak mahu terlalu terbuka dan menghebahkan perkara ini. Lainlah kalau dah pasti kami akan berkahwin. Ketika itu, barulah akan saya kongsikan dengan semua peminat," jelasnya.
Akui sedang mengenali hati budi masing-masing, Nora berkata, dia sangat selesa mendampingi Nedim. Malah sikap suka bersedekah dan sering melibatkan diri dengan kerja amal membuatkannya semakin mengagumi jejaka itu.
"Kami sering bertemu dalam program-program amal. Dari situ kami mula rapat.
"Lagipun keluarga kami saling mengenali dan berkawan baik," kata bekas isteri Jejai ini.
Ditanya mengenai kemesraan Nedim dengan satu-satunya anak tunggalnya, Putra Rayqal Ramli, kata Nora, anaknya itu sememangnya rapat dengan Nedim memandangkan mereka selalu bertemu.
"Rumah kami sangat dekat. Jadi kami selalu bertemu. Malah anak-anak kami juga selalu bermain bersama," kata Nora yang ditemui dalam majlis pra-tonton filem Lagenda Budak Hostel di Cathay Cineplex, semalam.
Simpati dengan Adi Putra
Pernah digosipkan dengan Adi Putra, Nora turut meluahkan rasa simpati terhadap kontroversi yang menimpa aktor kacak itu.
"Sepanjang saya mengenai Adi, dia bukanlah seperti itu dan secara jujurnya saya tak percaya dengan apa yang berlaku.
"Sebagai artis, kita sering terdedah dengan cerita-cerita sensasi seperti ini. Saya juga tidak terkecuali. Namun ia sudah menjadi kebiasaan untuk saya," kata Nora.
Tambahnya, apa yang berlaku benar-benar mengejutkannya, apatah lagi dia sudah menghormati Adi seperti seorang abang.
"Saya doakan terbaik untuk Adi dan keluarganya, harap mereka tabah menghadapi dugaan ini," katanya.
Berhadapan dengan dunia artis yang mempunyai pelbagai ragam dan karenah, Nora berkata, dunia hiburan terlalu banyak fitnah dan kontroversi.
"Saya berharap musibah yang menimpa Adi sebagai pengajaran kepada semua orang.
"Sentiasa berhati-hati dengan sekeliling, apatah lagi telefon bimbit kerana cukup mudah untuk menganiaya seseorang dengan pantas," tegas Nora,
Didera dalam Bencinta
Beralih mengenai karier seninya, Nora kini sibuk mempromosi filem Lagenda Budak Hostel yang menemui penonton bermula hari ini (12 September). Filem arahan Ismail Bob Hashim itu turut menampilkan Along Cham, Along Eyzendy, Epy Raja Lawak, Rahim R2, Pekin Ibrahim dan ramai lagi artis MIG.
Selain itu, Nora juga akan muncul dengan filem terbarunya, Bencinta bersama Farid Kamil dan Qi Razali, yang mengisahkan seorang isteri yang dilanda dilema apabila suaminya berlaku curang dan menderanya setiap masa.
"Kerana filem ini saya terpaksa mempelajari seni mempertahankan diri selama dua bulan.
"Ia satu tempoh yang pendek bagi saya kerana tidak pernah melakukan aksi lasak sebelum ini.
"Namun demi memenuhi watak, saya cuma belajar cara menumbuk dengan betul agar nampak lebih real dalam filem," katanya yang kini sibuk menjalani penggambaran filem Pengantin Malam.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.