Syarif Sleeq ikut jejak Aaron Aziz!

Syarif Sleeq ikut jejak Aaron Aziz!
Syarif bakal menamatkan zaman bujangnya pada hujung tahun depan.

Syarif Sleeq ikut jejak Aaron Aziz!

MELIHAT  kepada kejayaan Aaron Aziz dalam membina tapak sebagai pelakon terkenal di Malaysia membuatkan anggota Sleeq, Ahmad Syarifullah Ahmad Sorbiah atau lebih dikenali sebagai Syarif mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan di negara ini.

Umum mengetahui, Aaron telah bertapak dalam industri seni hampir 10 tahun hingga berjaya mencuri hati peminatnya di Malaysia apabila diumumkan sebagai pemenang Anugerah Bintang Paling Popular (ABP2011), mengalahkan beberapa artis popular lain.

Kecemerlangan itu membuatkan Syarif akhirnya mengikuti jejak langkah mentornya seterusnya nekad untuk menerima tawaran daripada Suhan Movies untuk membintangi drama bersiri 36 episod, Sahabat.

“Aaron dah lihat lakonan saya di Singapura dan bertanya kepada saya, tak nak mencuba berlakon di negara ini?

“Saya tanya Aaron semula, tidakkah ia terlalu cepat untuk berlakon? Sebab saya hendak mengukuhkan diri sebagai pemuzik dahulu namun Aaron kata cuba saja.

“Jadi, saya pun mencuba dengan menghadiri 'casting' dan akhirnya pihak produksi memberi tawaran lakonan tersebut,”  katanya pada media ketika ditemui selepas pelancaran drama tersebut.

Sahabat bakal menemui penonton pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 5.30 petang menerusi saluran Astro Ria (104) mulai 16 September ini.

Jika mengimbau pada kerjaya lakonannya, Syarif telah mula berlakon sejak berusia 18 tahun di negara kelahirannya, Singapura. Antara drama lakonannya ialah, Anak Metropolitan, Cinta Exora dan Bingit.

“Saya (Syarif Sleeq) mahu berjaya seperti Aaron. Dia merupakan idola pertama saya dalam membentuk kejayaan dalam bidang seni ini. Jadi saya perlu terima apa sahaja kritikan yang bakal tiba," katanya.

Dalam pada itu, Syarif berkata, Sleeq tetap menjadi keutamaan baginya kerana dia bermula sebagai penyanyi dan bukanlah seorang pelakon.

“Saya sudah berjanji dengan diri dan Alyph, apa-apa hal pun, Sleeq adalah fokus utama saya.

“Namun, itu bukanlah bermakna saya tidak akan aktif atau tidak menerima sebarang tawaran berlakon, tetapi biarlah jadualnya itu tidak bertembung di antara satu sama lain,” katanya.


Bakal menetap di Malaysia


Selain itu, Syarif memberitahu, dia dan Alyph berhasrat untuk menetap di Malaysia pada Oktober depan.

Keputusan itu diambil kerana mahu memberi lebih tumpuan kepada karier nyanyian dalam industri seni negara ini.

“Aaron ada memberi nasihat untuk kami menetap di sini (Malaysia). Senang untuk saya dan Alyph bekerja dan tak perlu nak ulang alik dari sini ke Singapura.

“Apabila selesai semua urusan penting di Singapura kami terus merancang menetap di sini pada bulan depan,” katanya sambil memberitahu dia bakal menamatkan zaman bujangnya hujung tahun hadapan.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers