Teks oleh Kheme Rosly
khemerosly@yahoo.com
KUALA LUMPUR, 22 FEB 2013: Kumpulan rock lagenda, Wings akui berbangga apabila mendapat kepercayaan buat kali kedua daripada Istana Budaya untuk mengadakan persembahan eksklusif bersama Orkestra Simfoni Malaysia di pentas berprestij tersebut.
Dijangkakan pada sekitar penghujung April ini, Wings yang dianggotai oleh Awie sebagai vokalis berserta tiga pemuziknya, Joe, Eddie dan Black tetap menganggap peluang yang diberikan ini satu cabaran besar sekaligus penghargaan buat mereka yang sekian lama memperjuangkan muzik rock tempatan.
Keempat-empat mereka telah ditemui pada sidang media Konsert Wings Rockestra @Istana Budaya di ruang legar Istana Budaya, semalam.
"Bukan semua artis juga penyanyi dapat beraksi dan mengadakan persembahan di pentas berprestij seperti ini. Tambahan pula konsep yang diketengahkan juga menarik apabila muzik rock bakal digabungkan dengan orkestra yang menampilkan kelainan yang tersendiri.
"Saya berpeluang menonton konsert di beberapa pentas seumpama Istana Budaya (IB) di London dan Australia tetapi saya difahamkan Istana Budaya sebenarnya jauh lebih hebat. IB memiliki kelebihan daripada segi teknikal dan teknologi persembahan pentas yang paling terkini.
"Jadi peluang seperti ini dilihat sebagai penghargaan dan Wings merasa sungguh bangga dipilih bagi menjayakan Konsert Wings Rockestra @Istana Budaya bersama Orkestra Simfoni Malaysia,"ujar Awie dan ahli Wings yang lain mengenai penglibatan mereka bersama IB kali ini.
Kejayaan yang ditempa Wings dalam konsert Opera Hidup dua tahun lalu di pentas yang sama telah meyakinkan pihak IB untuk mengadakan satu lagi persembahan eksklusif dalam konsep dan penyampaian yang berbeza.
"Perbezaan untuk konsert kali ini adalah pemilihan lagu yang akan dipersembahkan sepanjang 4 hari konsert berkenaan dilangsungkan. Kami bersetuju untuk mempersembahkan lagu-lagu yang jarang kami mainkan di pentas juga konsert terdahulu.
"Namun Sejati dan Taman Rashidah Utama tetap berada dalam senarai lagu kerana dua lagu ini adalah sinonim kepada kumpulan Wings.
"Untuk merealisasikan persembahan kali ini, kami berdepan dengan cabaran paling besar apabila ingin menggabungkan muzik rock dengan elemen orkestra yang mempunyai cara persembahan tersendiri.
"Kali ini kami akan diiringi dengan 43 orang pemuzik orkestra dan ini merupakan kali kedua kami membuat persembahan bersama Orkestra Simfoni Malaysia,"tambah Awie lagi.
Panggung Sari, Istana Budaya akan digegarkan dengan hits-hits oleh Wings dalam persembahan bersama pimpinan orkestra selama empat hari bermula 26-30 April depan. Dijangkakan 20 lagu bakal dipersembahkan oleh Wings pada konsert berkenaan.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.