Linda Onn: Ayah Pesan Dato` Fazley Supaya Jaga Saya


Linda Onn, Ayah, Pesan, Dato` Fazley, Supaya, Jaga, Saya, Artis Malaysia, Hiburan, Malaysia


Teks: Razif Rosdi
Twitter: @AjiebRosdi

KUALA LUMPUR, 20 Feb 2013: Setiap anak pasti akan rasa kehilangan dan sedih apabila ayahanda tercinta yang dianggap hero di dalam hidupnya tiba-tiba telah pergi buat selamanya. Itulah yang dirasai pengacara dan penyampai radio, Linda Onn apabila ayahnya tercinta, Onn Chik, 80 telah menghembuskan nafas terakhir pada pagi Ahad lalu (17 Februari 2013)

"Ayah saya seorang yang suka meninggalkan nasihat untuk anak-anaknya. Saya sendiri tidak nampak pun sebarang tanda pada hari-hari terakhir dia mahu pergi meninggalkan kami semua untuk selamanya.

"Empat hari sebelum arwah meninggal, ayah ada pulang ke Johor bersama ibu. Pada kebiasaannya, jika dia tak mahu pergi, dia akan bertegas tidak akan pergi dan saya pula tidak akan membenarkan dia pulang tanpa saya.

"Namun, pada hari itu arwah rela hati pergi ke Johor dan saya pula tanpa berat hati telah melepaskan ayah pergi bersama ibu. Kebetulan pula, arwah ada berkata kepada saya tidak salah dia mahu menemankan ibu untuk pulang ke Johor," katanya kepada murai.com.my.

Terus menceritakan detik-detik yang tidak boleh dilupai bersama ayahnda itu, Linda memberitahu tidak akan lupa gurauan manja yang dilakukan oleh ayahnya sehari sebelum dia meninggal dunia.

"Pada malam itu, saya pulang ke rumah dan menegur wajah ayah yang nampak berseri dan bercahaya. Selepas menegurkan, ayah terus mengangkat tongkatnya dan membuat gurauan manja.

"Saya tersenyum dan tidak ingat gurauan apakah itu. Namun, hati saya terus terdetik dan pelik kerana ayah saya tidak pernah bergurau sebegitu. Dia banyak meninggalkan pesan bukan kepada saya seorang saja tetapi kepada semua orang yang dia jumpa," jelasnya.

Sebelum menerima hakikat ayahnya sudah meninggal dunia, pemilik restoran My Mum Chicken Rice ini juga tidak menyangka sama sekali bahawa ayahandanya telah meninggalkan pesan kepada Dato' Fazley sewaktu sidang media pelancaran menu baru di restorannya itu diadakan, baru-baru.

"Dato' Fazley ada bercakap kepada saya. Semasa sidang media hari itu, dia ada bertanya kepada arwah kenapa arwah sangat ramah dan suka mengambil gambar semua orang. Arwah mengatakan dia mahu simpan ia sebagai kenangan apabila dia sudah tidak ada lagi.

"Malah, dia ada bercakap dengan Fazley supaya menjaga saya nanti jikalau dia tiada lagi di dunia. Saya tidak menyangka arwah ada berpesan sebegitu walaupun kami tidak mempunyai pertalian darah.

"Dia juga ada berpesan supaya sedekahkan nasi ayam salai itu kepada anak-anak yatim. Insya-Allah, dalam masa terdekat ini, saya akan tunaikan hasrat terakhir ayah saya itu," jelasnya.

Sebelum mengakhiri perbualan, Linda mengatakan banyak perancangan yang dia mahu buat bersama ayahnya sepanjang 2013. Namun segalanya tidak kesampaian. Sebenarnya, saya banyak merancang dengan ayah saya.

"Kalau ikutkan tahun ini saya mahu bawa ayah pergi umrah, melancong ke Eropah dan jalan-jalan ke seluruh pelusuk Malaysia.Saya sendiri dah beritahu ayah saya nak buat begitu kerana dalam dunia ini saya tidak ada siapa melainkan ayah dan ibu saya.

"Dalam hidup ini, saya mahu ceriakan hidup ibu dan ayah saya saja. Ayah dan ibu saya pindah ke Kuala Lumpur pun kerana saya. Kalau ikutkan, saya mahu bawa mereka tinggal bersama saya kerana saya mahu menjaga mereka.

"Tetapi, ayah setuju nak duduk dengan saya kerana dia mahu menjaga saya yang masih belum berkahwin. Apapun, saya adalah anak yang paling teraasa akan kehilangan kerana saya tinggal serumah dengan arwah dan saya tahu, saya adalah anak yang paling ayah sayangi," jelasnya.

Allahyarham selamat dikebumikan pada hari yang sama di Tanah Perkuburan Taman Bukit Teratai, Cheras pada jam 12.30 tengah hari dengan meninggalkan seorang balu, Saadiah Khamis, 70, empat anak dan 13 orang cucu. Takziah dari murai.com.my buat Linda Onn sekeluarga.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers