Que Haidar Tak Jadi Bersara Tetapi Mahu Demand?


Que Haidar, Tak, Jadi, Bersara, Tetapi, Mahu, Demand, Artis Malaysia, Hiburan, Malaysia


Teks oleh Syafiqah Jalal
Foto oleh Mazlan Yunos Photography

KUALA LUMPUR, 22 FEB 2013: Lebih kurang 4 tahun lalu, Que Haidar atau Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar pernah menyatakan hasratnya untuk bersara daripada bidang lakonan serta mahu menumpukan perhatian lebih kepada keluarga serta perniagaan yang telah dirancangnya.

Namun 2 tahun selepas menyatakan hasratnya untuk bersara, Que Haidar kembali dengan membintangi filem arahan Mamat Khalid berjudul Rock Oo dan selepas itu dia sekali lagi menghilangkan diri atau senyap daripada berlakon dalam mana-mana drama atau filem.

Bagi mendapatkan kepastian status sebenar Que di dalam industri lakonan, murai.com.my telah berjumpa sendiri dengan suami kepada Linda Jasmine itu di majlis tayangan khas mediafFilem Rock Oo.

Sukar untuk mendefinasikan status sebenarnya kini di dalam industri, namun apa yang pasti Que Haidar berkata, dia kini sedang membuka ruang dan peluang kepada dirinya untuk memilih tawaran yang benar-benar memberi kesan terhadap kredibilitinya sebagai pelakon.

"Dulu saya pernah kata saya mahu bersara tetapi bila saya rindu hendak berlakon, ia mula membuat saya terfikir untuk kembali dengan sesuatu yang mampu memberi lebih kepuasan dan kehendak diri saya sebagai seorang pelakon.

"Lagipun, saya rasa sekarang adalah masanya untuk saya memilih apa yang saya nak kerana lakonan bukan lagi menjadi sumber utama saya kerana saya mempunyai kerja atau komitmen lain seperti memenuhi jemputan dengan menjadi freelance sebagai guru lakonan.

"Jadi jika saya benar-benar ingin berlakon, saya mahukan sesuatu tawaran lakonan yang boleh mencabar kredibiliti saya sebagai seorang pelakon," katanya kepada murai.com.my

Bercakap mengenai penglibatannya dalam dalam filem Rock Oo selepas menyatakan hasrat untuk bersara, Que Haidar, berkata adalah sukar untuknya menolak permintaan pengarahnya, Mamat Khalid selepasdipujuk kerana mereka mempunyai hubungan yang akrab.

"Saya susah nak tolak tawaran daripada abang Mamat. Tapi sebelum ni pun, saya ada tolak juga tawaran dia dan ia tak ada masalah apa-apa. Hubungan kami pun sudah macam abang dan adik dan saya rasa abang Mamat faham apa yang saya mahukan.

"Sebenarnya saya ditawarkan untuk berlakon filem Rock Oo sejak 4 bulan sebelum penggambaran dijalankan tetapi saya hanya berkata setuju selepas seminggu sebelum penggambaran filem itu bermula," jelasnya lagi.

Mahu beralih angin, Que memberitahu dia sekarang mahu jadi lebih demand terhadap naskhah yang lebih berat daripada kebiasaannya, lebih-lebih lagi yang mempunyai elemen kemasyarakatan dan kemanusiaan yang mendalam tanpa adanya unsur komersil.

"Saya tak kata filem komerisil tak bagus, cuma saya kini mahu berubah angin dengan melakukan filem-filem yang berat dan bekerja dengan pengarah-pengarah yang hebat seperti U-Wei dan Dain Said. Apa yang penting, saya mahu menguasai watak yang berat yang boleh menonjolkan bakat lakonan saya sahaja.

"Setakat ini saya belum dapat apa yang saya mahukan walaupun sudah menerima banyak tawaran berlakon. Saya akan kembali jika saya sudah menerima tawaran lakonan yang benar-benar dapat membuka hati saya," luahnya lagi.

Selain Que, filem Rock Oo iaitu sekuel kepada filem Rock (2005) itu telah dibintangi oleh pelakon lain seperti Khir Rahman, Soffi Jikan, Pekin Ibrahim dan ramai lagi. Filem Rock Oo terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd itu bakal ditayankan di pawagam seluruh Malaysia bermula 28 Februari ini.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers