SHERRY menyimpan impian untuk kembali menjadi pelakon sebelum usia 30 tahun. Dia berjaya menggapai impian itu |
TUBUH kecil dengan ketinggian 160 sentimeter itu terbiasa memakai persalinan rona merah manggis. Wanita itu juga mengenakan topi kecil di kepala, warna yang sama. Busana yang selalu lekat dengan kostum pekerjaan dirinya di saat itu yang menggalas tanggungjawab pramugari di bawah payung syarikat penerbangan Qatar Airlines.
Wanita berusia 29 tahun dengan nama Syarizad Ibrahim atau nama komersialnya Sherry Ibrahim itu pernah bergelar anak seni selama dua tahun setengah bagaimanapun ia terhenti di tengah jalan. Mungkin ada yang terlupa namanya.
Untuk jangka waktu tugasan berlatarkan awan, Sherry menyusun langkah kaki dari kerusi ke kerusi, kelas ekonomi dan bisnes melayan kerenah dan mengenal asam garam kehidupan. Di awan biru berulang alik pelbagai negara, dia mengutip perjalanan hidup. Warna sebenar manusia bila duduk jauh dari atas darat.
Lebih yakin
Digayakan semula dalam busana selebriti, solekan lebih tebal dan baju rekaan pereka terkenal Syaiful Baharim, Sherry mengaku sedikit kekok. "Lama tidak bergambar begini," akuinya ketawa namun masih berbaki lenggok seorang artis.
Pernah bertugas terdahulu bersama Malaysia Airlines (MAS) dan kemudian mengutip pengalaman berbeza di Qatar Airlines, dia mengaku banyak belajar makna hidup.
"Dunia pramugari mengajar saya menjadi matang, lebih yakin. Jujur, pengalaman tersebut tidak akan saya dapat di mana-mana," senyumnya yang semakin rancak berceloteh, gaya Sherry dulu-dulu.
"Saya bertemu orang yang menarik. Belajar daripada sebuah hubungan yang dinamakan persahabatan menjadi akrab sebagai famili. Kepercayaan adalah kunci utama apabila berada jauh daripada keluarga dan tanah air sendiri," ujar anak kelahiran Kuala Lumpur ini.
Menariknya untuk pengisian diri sendiri, Sherry yang pernah membintangi drama Renjis bersama Elyana ini juga mengenal lebih dalam satu perkara.
"Saya belajar untuk menjadi tidak semberono. Rasa dihargai dan yang penting mengerti erti tidak hipokrit lebih dalam," tambahnya berkata jujur dengan harapan ketulusan ini tidak disalah ertikan. Dia bercakap atas dasar pemerhatian dan pengalaman.
Penulis bertanyakan destinasi yang paling digemari sementelah pasportnya pasti penuh dengan cop pelbagai negara.
"Saya sukakan Amerika Syarikat kerana orangnya tidak bersifat perkauman. Mereka boleh menerima orang Asia. Lihat sahaja penerimaan mereka terhadap kehadiran penyanyi Yuna," ujar si peminat tegar Yuna ini.
Paling banyak mengajar katanya adalah apabila dia menjejak kaki ke negara Asia Barat. Kata Sherry, jika tidak memiliki karakter yang kuat, seseorang tidak dapat bertahan lama di negara tersebut. Perlu kuat dan tegas berhadapan dengan orang di sana, tambah Sherry.
"Tetapi saya banyak juga belajar tentang fesyen daripada orang Arab. Ada alat solek dan pewangi yang khas untuk kaum Hawa, daripada situ kita sudah nampak kuasa beli mereka dalam bab fesyen," ulas Sherry yang teringin ke Santorini, Greece dan Rio de Janeiro, Brazil.
Berlakon semula
Menghampiri tarikh 3 April 1983, satu masa di mana usianya bertukar ke kepala angka tiga, Sherry senyum dan puas menyatakan dia berjaya mengejar impian yang pernah disulam.
"Saya pernah menyimpan hasrat untuk kembali menjadi aktres sebelum usia masuk ke angka 30 tahun," sambungnya yang sudah habis kontrak bersama syarikat penerbangan sejak tahun lalu.
Namun dia mengambil masa enam bulan untuk merehatkan diri. Lebih menghampiri famili dan rakan-rakan yang pernah ditinggalkan ketika di awan biru. Demi tugasan dahulu, waktu senggang bersama yang tersayang perlu dikorbankan.
"Lepas habis kontrak, saya tidak putuskan untuk buat apa-apa lagi. Lagi pun ayah dan ibu ketika itu mahu mengerjakan ibadat haji. Rakan artis, Ryzal Jaafar yang akhirnya tolong dapatkan pekerjaan semula dalam dunia lakonan. Saya bersyukur dengan tawaran tersebut memandangkan sekarang sangat ramai pelakon pelapis yang muda-muda," katanya.
Hayunan semula dalam jiwa pelakon dimasukkan ke dalam karakter Eriza, wanita muda sofistikated dan lahir dalam legasi orang berada. Dalam drama bersiri Setia Hujung Nyawa yang kini disiarkan di saluran TV3 pada pukul 7 malam, Sherry kembali menyarung persalinan aktres.
"Ini tawaran pertama saya. Drama arahan Amie Maziah di bawah produksi Suhan Movies. Mulanya saya hanya patut berlakon beberapa belas adegan tetapi kemudian dilanjutkan oleh sutradara. Saya bersyukur dengan lanjutan ini dan membuatkan saya lebih bersemangat berlakon," katanya yang berlakon bersama Talha dan Asraf dalam drama adaptasi novel tulisan Fatin Nabila tersebut.
"Rasa gemuruh itu datang bila turun padang semula. Tertanya-tanya saya sendiri adakah saya boleh berlakon lagi? Hasil sokongan padu rakan-rakan dan keluarga yang menyatakan saya patut kembali membuatkan saya mengumpul semangat," ujarnya.
Untuk Sherry, drama 26 episod ini turut membuka lembaran baharu buatnya. Dia diberikan sebuah karakter yang lebih matang dan 'dalam' permainan jiwa. Seakan-akan tahu bahawa dia mahu menangkis karakter komedi yang pernah sekejap melekat pada dirinya.
"Mungkin sebab saya pernah muncul dalam drama Chaparela yang ada sentuhan komedi. Juga muncul dalam watak-watak ceria seperti Dunia Baru dan Renjis, jadi saya lebih terdorong diberikan watak-watak yang hampir sama. Bukan tidak bersyukur tetapi setiap pelakon pasti mahukan kematangan dalam jalur lakonan mereka," senyum pelakon yang juga pernah muncul dalam drama Jelatang, Cinta Untuk Ain, Lara Rindu Mahsuri, Dira dan Nina serta Cik Ah Cik Nin.
"Tahun ini adalah tahun fokus dalam dunia seni. Ada beberapa projek seni lagi yang sedang dirangka dan saya harap dapat dilaksanakan," nekadnya yang masuk ke dunia seni pada tahun 2006.
Setelah berlangitkan cuaca pengalaman dan bintang pesona sebagai anak kapal, kini Sherry kembali ke landasan lapangan seni.
Mungkin kembali hijau rumput yang ditatihnya, namun tidak mustahil bunga-bunga jaya bakal tumbuh meriah selepas dia mendalami kepelbagaian kerenah manusia dan jalur pengalaman dalam dunia sebenar. Hanya perlu diadaptasi dalam dunia rekaan yang dinamakan drama dan filem berpredikatkan tugasan pelakon.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.