DARI kanan: Adam Shah, Johan A'sari, Syazwan Zulkifly dan Idzham Ismail antara pelakon membesar daripada Juvana. |
DEKAT dengan masyarakat tetapi terasing daripada masyarakat normal, dunia gelap remaja pesalah juvenil merupakan antara satu topik yang menarik dan terbukti mempunyai daya tarikan yang kuat untuk diteroka.
Buktinya, kisah remaja pesalah juvenil yang didramakan dua tahun lepas menjadi hits dan fenomena baharu kepada corak drama televisyen. Tahun ini, Juvana akan kembali menemui khalayak. Bezanya, medium penceritaan yang masih ditangani Faisal Ishak itu beralih bentuk menjadi sebuah karya layar lebar.
Juvana adaptasi drama ke filem itu masih sebuah kesinambungan kepada kisah Daim lakonan Zahiril Adzim, Botak (Johan A'sari), Apek (Syazwan Zulkifly) dan Ayam (Adam Shah), Panjang (Idzham Ismail), Kicap dan Komeng yang pernah menjadi fenomena kepada penggemar drama tersebut.
Di samping karakter asal yang telah diketahui latar belakang hitam itu, produk terbitan Filmscape Sdn. Bhd. dan Juita Viden Sdn. Bhd. itu menampilkan kelainan dengan kehadiran watak-watak baharu seperti Lan Todak lakonan Sharnaaz Ahmad, Jamal (Syafie Naswip), Sara (Sara) dan Ali (Adlin Aman Ramli).
Sementara Juvana bakal masuk panggung pada 24 Januari nanti, dua pelakon yang popular hasil daripada Juvana, Johan A'sari dan Adam Shah diajak bercerita tentang keterujaan serta penjanaan karakter yang mereka lalui. Biarpun tidak seperti Johan yang mencanak popular hasil persembahan sebagai Botak, Adam Shah juga tidak ketinggalan membina karier bersandarkan gelaran Ayam Juvana.
Bagaimana impak Juvana ke dalam hidup kalian hingga hari ini?
JOHAN A'SARI (JA): Juvana banyak bawa tuah kepada kami. Selepas drama Juvana disiarkan saya dikenali dengan nama Botak. Tawaran untuk berlakon mencurah-curah. Kalau dulu saya hanya tengok Rosyam Nor berlakon dan menang anugerah di Anugerah Bintang Popular (ABP). Saya pula langsung tiada asas lakonan tapi tiba-tiba saya pula berjalan di karpet merah dan menang di ABP. Saya juga dapat jadi hero terakhir sebelum Fasha Sandha kahwin. Tahun ini juga saya tercalon lagi dalam Top 5 Pelakon Lelaki TV Popular. Permainan Juvana sangat bererti buat saya.
ADAM SHAH (AS): Watak Ayam memang sangat kuat sebab sampai ke hari ini, ada orang masih panggil saya sebagai Ayam. Rasanya, itu habuan apabila kita bekerja keras. Masa mula dapat tawaran Juvana dulu, saya tidak sangka pun drama itu akan jadi fenomena. Saya anggap ini semua anugerah.
Ceritakan perkembangan watak dalam filem Juvana ini?
JA: Meneruskan watak Botak ke filem tidaklah sukar sebab sudah terbiasa dengan pelakon dan kru yang sama. Adlin dan Sharnaaz juga masuk tanpa banyak cerita sebab mereka itu pelakon profesional. Babak paling sukar untuk saya cuma babak mengaji di surau.
AS: Karakter Ayam masih dengan sikapnya yang jenis ambil jalan selamat. Saya jadi pengikut dan akan bertenggek pada siapa yang kuat. Apabila saya bersama budak-budak juvana dari Sekolah Wira Bakti berpindah ke sekolah yang baharu, kami kena jadi baik. Sebenarnya Ayam pun bukannya jahat sangat, dia masuk sekolah juvenil pun sebab menghamilkan budak perempuan dan cuba buang bayi. Jadi dalam drama atau filem itu, Ayam cuma pura-pura jadi jahat. Mula-mula dia ikut Botak dan kemudian bila sesuatu terjadi kepada Botak, dia beralih jadi pengikut Apek pula.
Melihat kepada trend adaptasi drama ke filem dan sebaliknya, adakah itu satu jaminan kejayaan?
JA: Filem ini khas untuk peminat Juvana dan kalau pun ada yang belum menonton drama sebelum ini, mereka masih boleh berhibur dengan filem ini.
AS: Situasi ini memang biasa berlaku, apabila drama meletup itu satu alasan kukuh untuk buat filem pula. Ada yang menjadi dan ada yang tidak. Tetapi, apa yang lebih penting daripada filem ini adalah gambaran yang mahu ditunjukkan kepada para remaja. Kami mahu penonton melihat sisi positif daripada kejahatan yang ditonjolkan. Jika mesej itu sampai, saya kira itu satu kejayaan kepada Juvana.
Jadi apa pula risiko tidak baik daripada trend berkenaan?
JA: Kami berdepan harapan tinggi daripada peminat. Apa yang akan terjadi kepada Botak penting untuk disaksikan oleh peminat Juvana. Botak boleh jadi ikon. Saya tak risau sangat sebab Juvana ramai pengikut terutamanya penonton lelaki, jadi mereka akan bawa kekasih atau isteri tengok filem ini.
AS: Sejak di lokasi lagi kami sudah berbincang tentang soal itu. Semasa penggambaran drama, kami tiada idea tentang reaksi peminat tapi semasa buat filem, perasaan itu berlainan. Kami agak tertekan memikirkan jangkaan penonton tetapi semua itu letak tepi yang penting kami sudah buat apa yang terbaik dan ikut landasan asal. Risiko tetap ada. Setahun Juvana tinggalkan penonton itu tidak lama, rasanya orang masih ingat tentang Ayam.
Apa yang kalian belajar daripada dunia samseng dalam Juvana?
JA: Saya belajar bahawa kita tidak perlu nak tunjuk handal dengan keganasan. Guna akal bukan tangan.
AS: Semasa remaja dan di sekolah dulu, saya juga budak nakal dan pernah pukul pelajar lain. Cuma nakal itu tidak melampau. Saya sebenarnya buat rujukan berpandukan dua buah filem iaitu Crows Zero dan Young and Dangerous untuk watak Ayam.
Dalam kehidupan realiti, adakah benar bahawa lelaki nakal lebih digemari gadis?
JA: Saya akui wanita memang suka lelaki nakal berbanding yang lurus dan nampak baik. Lelaki pula janganlah ikut buku sangat, kena praktikal dan terokai perkara baharu yang boleh mendatangkan kebaikan, tapi nakal sangat pun tak bagus juga. Perkara nakal yang pernah saya buat masa sekolah dulu cuma hisap rokok.
AS: Boleh jadi. Kalau penonton di luar sana gemar watak Botak dan Ayam, saya mahu ambil kesempatan itu sebagai tarikan ke arah kebaikan.
Selain filem Juvana, apakah perkembangan terbaharu ketika ini?
JA: Saya kini terlibat dengan drama episod Surat Dari Langit. Tahun ini khabarnya filem-filem lakonan saya seperti Tokai, Paku dan Pencinta akan masuk panggung.
AS: Saya ada beberapa projek antaranya drama bersiri untuk RTM, Lamunan Terhenti dan sebuah drama komedi bertajuk Musang Berjanggut.
nice info.
ReplyDeletesalam kenal
Thanks drop by to comment, next time put your url blog on my shout box, and then you may also put shoutbox on your blog for easier to others for blogwalking on your blog.
Delete