Konsert meriah 2013

Man Kidal (kiri), Ramli Sarip dan Nash (kanan) bakal bersatu pentas dalam konsert yang dijadual berlangsung di Stadium Tertutup MBJB, Johor Bahru, 9 Februari ini.


TAHUN 2012 meninggalkan momen-momen yang indah buat para pencinta konsert. Masing-masing mencipta kenangan dan magis tersendiri. Untuk tahun ini, beberapa konsert menarik sudah diumumkan. Masih banyak yang berteraskan rock, para peminat dan pengunjung setia konsert sudah boleh menandakan jadual diari mereka dengan konsert-konsert yang bakal berlangsung di suku awal tahun 2013.
Konsert Dimensi Rockarisma
Artis: Sweet Charity, Lefthanded, May
Tarikh: 9 Februari
Tempat: Stadium Tertutup MBJB, Johor Bahru
Berubah tiga lokasi, akhirnya Stadium Tertutup MBJB, Johor Bahru menjadi tempat muktamad untuk tiga grup legenda iaitu Sweet Charity, Lefthanded dan May bersatu pentas. Bakal berlangsung pada 9 Februari ini, tiga grup ini akan disatukan dalam sebuah konsert di bawah payung nama Konsert Dimensi Rockarisma. Akan berlangsung selama tiga jam, pastinya lagu-lagu hits tiga grup raksasa ini bakal melantun mengisi ruang stadium dan mengembalikan momen buat para peminat tegar mereka.
"Gabungan tiga grup ini adalah sebuah gabungan yang sesuai. Sweet Charity lahir pada tahun 1970-an kemudian muncul Lefthanded dan May menjadi kesinambungan," komen Ramli Sarip mewakili tiga grup ini. Melihatkan lokasi yang dipilih, kenangan 27 tahun buat Sweet Charity dihambat kembali oleh Ramli. Katanya hampir 27 tahun, grup Sweet Charity tidak mengadakan persembahan di Johor Bahru.
"Ada hikmah apabila lokasi diubah kerana sebab-sebab tertentu. Sweet Charity sudah 27 tahun tidak mengadakan konsert di sana kerana pernah diharamkan pada awal tahun 1980-an. Gara-gara pentas runtuh sewaktu konsert di Taman Pelangi," ketawa kecil Ramli mengingatkan momen tersebut.
Konsert yang bakal bermula pada pukul 8.30 malam tersebut dibawakan oleh pihak Rockarisma Capital Sdn. Bhd. Sama ada Sweet Charity mahu pun Lefthanded dan May, merekalah tentera rock yang membikin empayar rock pada tahun 1970-an dan 1980-an. Mereka juga akan mengembalikan ingatan khalayak terhadap zaman kegemilangan rock. Bak kata rockers sejati, 'rock never die!' Kamelia (Sweet Charity), Semangat Lamina (Lefthanded) dan Sendiri (May) bakal berkumandang di tanah Johor kelak. Konsep, nama dan idea untuk penyatuan tiga grup ini telah dicetuskan oleh Azhar Selamat dari Karisma Johor dengan kerjasama grup-grup tersebut.
Konsert Zikir Terapi Diri Hafiz Hamidun
Artis: Hafiz Hamidun
Tarikh: 23 Februari
Tempat: Stadium Bandaraya, Johor Bahru
HAFIZ mahu mendekatkan lagi zikir menjadi salah satu cabang kesenian dan keindahan dalam kehidupan masyarakat.


Untuk sesebuah album nasyid atau lebih tepat lagi album zikir, pencapaian yang diraih oleh Hafiz Hamidun apabila album Zikir Terapi Diri Hafiz Hamidun yang diedarkan sejak awal tahun yang kini merekodkan jualan sehingga 120,000 unit, itu merupakan satu kejayaan yang cukup besar. Atas misi untuk mendekatkan lagi zikir menjadi salah satu cabang kesenian dan keindahan dalam kehidupan masyarakat Islam moden hari ini, Hafiz menerusi syarikatnya Arteffects Sdn. Bhd. sekali lagi mengambil inisiatif mahal namun dirasakan cukup berbaloi. Selepas sambutan baik yang diterima menerusi Konsert Zikir Terapi Diri di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur yang dihadiri 2,000 penonton tahun lepas, Hafiz mahu menggegarkan zikir dalam sebuah konsert berskala lebih besar di Johor Bahru.
"Kalaulah saya terpaksa mengeluarkan duit sendiri sehingga RM100,000 pun saya sanggup jika itu bayarannya untuk realisasikan konsert itu, saya tetap ikhlas. Tiada penganjur yang tidak mahukan pulangan wang tetapi matlamat utama saya ialah untuk budayakan zikir. Setakat ini sudah ada pihak yang mahu bekerjasama sebagai penganjur tetapi kata akhir belum dibuat. Peminat boleh berkunjung ke www.konsertzikirterapidiri.com untuk maklumat lanjut dan harga tiket," jelas Hafiz yang akan meneruskan kembara album Zikir Terapi Diri ke Indonesia pula sebaik sahaja selesai konsert berkenaan.
Anuar Zain Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari
Artis: Anuar Zain
Tarikh: 16 Februari
Tempat: Stadium Putra, Bukit Jalil
ANUAR ZAIN bakal mengubat kerinduan para peminatnya dengan konsert solo.


Penyanyi lelaki ini sentiasa membuatkan peminat wanitanya menjerit-jerit. Jeritan dan nyanyian beriringan ini bakal berkumandang lagi kelak apabila Anuar Zain akan membuka tirai tahun ini dengan konsert solonya pada 16 Februari di Stadium Putra, Bukit Jalil. Konsert tersebut diadakan juga sempena 30 tahun Anuar mendambakan dirinya sebagai penyanyi lelaki tanah air. Pada majlis pelancaran klip video terbaharu Anuar yang berjudul Ajari Aku, berita baik perihal konsert Anuar diumumkan oleh Pengarah Urusan syarikat rakaman Universal, Loan Cheong.
Menurutnya, konsert solo Anuar dengan nama Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari bakal dipimpin oleh pengarah muzik hebat tanah air, Mac Chew. "Istimewanya konsert solo Anuar, beliau akan diiringi oleh 26 ahli orkestra. "Pastinya 16 Februari ini akan memahat satu sejarah tersendiri dan memori indah untuk seluruh peminat Anuar Zain," katanya. "Bagi saya sekarang adalah untuk berkongsi perjalanan muzikal saya dengan para peminat dan berharap agar konsert ini akan menjadi sesuatu yang istimewa untuk semua yang hadir pada malam 16 Februari nanti," ujar Anuar yang popular dengan lagu Mungkin, Lelaki Ini dan Ketulusan Hati.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers