Gelaran impian milik Olivia Culpo

lifestyle, fashion, model, Miss Universe 2012, Olivia Culpo, Gelaran impian milik Olivia Culpo


DEBARAN untuk mengetahui siapakah Ratu Cantik Universe 2012 akhirnya terjawab apabila gelaran idaman setiap wanita seluruh dunia itu diberikan kepada Ratu Cantik Amerika Syarikat (AS), Olivia Culpo, 20.
Gadis kelahiran Rhode Island itu mengalahkan 88 jelitawan seluruh dunia dalam pertandingan tahunan yang diadakan di Kasino Planet Hollywood, Las Vegas, Nevada, AS.
Kemenangan Olivia turut menghentikan penantian AS selama 15 tahun untuk kembali merampas mahkota tersebut apabila kali terakhir memenanginya pada tahun 1997 menerusi Brook Lee.
Ironinya, sejak pertandingan itu diperkenalkan pada tahun 1952, ratu cantik AS telah lapan kali meraih gelaran tersebut. Tambah menarik, kesemua mereka dinobatkan ketika AS menjadi tuan rumah, sama seperti yang terjadi kepada Ratu Puerto Rico pada tahun 2001, yang mendapat kemenangan di tempat sendiri.
Secara profesional, ketahanan fizikal dan mental amat diperlukan sepanjang pertandingan itu kerana setiap peserta tidak hanya dinilai berdasarkan paras rupa malah kecantikan peribadi secara menyeluruh.

LIMA finalis Ratu Cantik Universe 2012. Dari kiri: Ratu cantik dari Brazil, AS, Australia, Filipina dan Venezuela.



Kemenangan Ratu Cantik Universe 2000, Lara Dutta dari India boleh dijadikan contoh mudah. Meskipun saingan keduanya, Claudia Moreno dari Venezuela memiliki kejelitaan yang jauh lebih tinggi berbandingnya, Lara berjaya menambat hati juri atas tiket kebijaksanaannya menjawab soalan selain memiliki personaliti yang disenangi.
Turut diakui, bukan mudah berdepan dengan jutaan mata yang memerhati sosok tubuh dan penampilan diri. Ditambah pula senyuman manis yang harus dilemparkan sepanjang waktu terutamanya saat lensa kamera mengekori pergerakan.
Menarik perhatian
Pada pertandingan lalu, kesemua jelitawan yang berkampung selama dua minggu di Las Vegas mencuba sehabis daya untuk menarik perhatian juri dan dunia dengan pesona anggun mereka melalui beberapa saringan.
Ia merangkumi peragaan baju renang, sesi soal jawab, peragaan kostum kebangsaan, gaun malam dan akhirnya malam kemuncak pengumuman lima terbaik pada malam final.
Lima yang layak ke pusingan akhir ialah peserta dari Brazil, Filipina, Australia, AS dan Venezuela. Jika dilihat seleksi peserta akhir itu, ia seakan-akan mengulang kembali pilihan yang terdahulu yang datangnya dari negara yang sama.
Adakah jelitawan dari negara-negara tersebut sahaja yang layak ke pusingan akhir atau wujud campur tangan orang dalam di sebalik pertandingan yang telah memasuki edisi ke 61 itu? Persoalan itu masih kekal tanda tanya dan tiada siapa berani meletak andaian secara rambang.
Sesi soal jawab antara saat paling genting bagi kelima-lima peserta akhir kerana ia bakal memperlihatkan kematangan mereka dalam memberi jawapan secara spontan.
Paling utama, mereka tidak boleh menunjukkan kebodohan mahupun keangkuhan dalam diri.
Meskipun ketinggian Olivia menjadi perdebatan ramai, dia masih menyerlah ketika menyarungkan busana baldu rona merah.
Ketika diajukan soalan sama ada dia pernah menyesali perkara yang dilakukan sepanjang hidupnya, dengan pantas pelajar Universiti Boston itu menjawab: “Saya ingin menyatakan bahawa setiap pengalaman itu sangat berguna tidak kira ia baik atau buruk.
KEMENANGAN Lara Dutta pada tahun 2000 membuktikan bahawa pakej menyeluruh dalam diri seseorang ratu cantik benar-benar diambil kira.


“Namun, satu perkara yang saya amat kesali ialah saya selalu menyakat adik-beradik dan kini saya sedar kita akan lebih menghargai mereka apabila meningkat dewasa.”
Jawapan yang ringkas dan sedikit klise namun berjaya menambat hati setiap juri yang berasal dari AS sendiri. Rata-rata juri mempunyai latar belakang yang berbeza dan tiada kena mengena langsung dengan penjurian pertandingan ratu cantik.
Jawapan meyakinkan
Berdasarkan pemerhatian awam, peserta dari Filipina, Janine Tugonon dianggap sebagai yang terbaik ketika sesi soal jawab berlangsung. Paling penting, dia tidak mengulangi keangkuhan peserta negaranya tahun lalu apabila memberikan jawapan yang bijak dan begitu meyakinkan.
Malangnya, kebijaksanaan Janine masih gagal menganugerahkan Janine mahkota tersebut walaupun dilihat sebagai pesaing paling kuat sepanjang pertandingan.
Janine yang berusia 23 tahun hanya mampu berpuas hati di tempat kedua. Bagaimanapun, Janine muncul juara dalam pemilihan dalam kalangan pengguna laman sosial, Twitter dan menjadi pilihan pertama dalam hati setiap penyokong dari Asia dan negaranya sendiri.
Tempat ketiga diberikan kepada peserta Venezuela, Irene Sofia Esser Quintero manakala tempat keempat menjadi milik Renae Ayris (Australia) dan kelima disandang oleh Gabriela Markus (Brazil).
Antara 10 juri yang menghakimi malam kemuncak tersebut ialah penyanyi, Cee Lo Green, Bintang Iron Chef, Masaharu Morimoto dan pemain besbol San Francisco Giants, Pablo Sandoval serta selebriti realiti TV, Scott Disick.
Saingan Kimberley
Kepelbagaian identiti para juri tidak menghilangkan seri Ratu Cantik Universe 2012 apabila ia terus meninggalkan momen indah buat setiap peserta dan penyokong.
Ia turut memberi kenangan bermakna buat peserta Malaysia, Kimberley Leggett, 19, yang berusaha sehingga ke titik akhir walaupun dicanang bakal memberi persaingan getir dalam edisi kali ini.
Kimberley dengan yakin melangkah bersama persalinan indah rekaan Jovian Mandagie ketika malam pusingan awal. Kostum kebangsaan yang diperagakan juga menarik perhatian ramai sehingga diramalkan bakal menempah slot dalam kelompok Top 16.
Kelibat Kimberley turut kelihatan dalam surat khabar antarabangsa dan blog-blog fesyen sebagai peserta pilihan dalam pertandingan yang dimiliki oleh hartawan hartanah AS, Donald Trump itu.

KESIBUKAN suasana persiapan para peserta ratu cantik di belakang pentas.



Perjuangan Kimberley masih belum bernoktah kerana perjalanan gadis kelahiran Pulau Pinang itu masih panjang dan terbentang luas di hadapannya. Bidang peragaan mahupun industri seni tempatan dan antarabangsa akan ternanti-nanti kehadiran Kimberley berbekalkan aset wajah yang mulus dan senyuman manis.
Wakil Malaysia pada tahun depan, Carey Ng, 23, baru sahaja dimahkotakan sebagai Ratu Cantik Malaysia Universe 2013. Adakah gadis kelahiran Kuala Lumpur itu bakal mencatat sejarah sebagai anak Malaysia pertama membawa pulang mahkota Ratu Universe? Segalanya tidak mustahil untuk diimpikan.
Untuk rekod, pencapaian terbaik negara dalam pertandingan Ratu Cantik Universe setakat ini ialah Yasmin Yussuf pada tahun 1978 (tempat kedua kostum kebangsaan) dan Josephine Lena, tahun 1970 (Top 15).

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers