Fungsi praktikal kunci tata gaya

lifestyle, fashion, Pentas Fesyen 2013, Fungsi praktikal kunci tata gaya


MUSIM bunga dan panas 2013 sememangnya waktu paling mengujakan bagi kebanyakan pereka fesyen. Sepanjang musim itu, mereka bebas bereksperimen dengan warna-warna terang dan potongan singkat.

Pereka fesyen tanah air yang telah mencipta nama di persada antarabangsa, Datuk Bernard Chandran kembali menghasilkan koleksi musim bunga dan panas 2013 yang mengujakan.

Pada Minggu Fesyen London 2012 sempena pertunjukan koleksi musim bunga dan panas 2013 yang lalu, Bernard mempersembahkan koleksi berkonsepkan kisah cinta. Ia dipentaskan berpandukan kasih seorang wanita terhadap kekasihnya yang diterjemahkan ke dalam pelbagai bentuk emosi.

Menariknya koleksi beliau tidak menekankan kepada kesakitan jiwa akibat cinta dan kekecewaan yang secara tidak langsung menolak sentimen rekaan bersifat konvensional. Pada dasarnya, Bernard menggambarkan koleksi yang segar bagi menyuntik rasa positif, edgy dan mampu mencetuskan keyakinan seorang perempuan.

“Potongan yang digunakan begitu unik menimbulkan kontra pada bahagian depan dan belakang.

“Material pula banyak diambil daripada sutera pelbagai jenis seperti sutera mikano, organza, kapas, labuci berkaca (glass sequin) dan sedikit sentuhan kulit. Selain itu, cetakan dekorasi seni yang edgy menjadi pelengkap kepada fabrik dan perincian.

“Palet ringan membarisi rekaan baharu saya yang masih mengekalkan bayangan glamor seperti kuning air (beige), merah jambu, kelabu lembut, hitam, hitam kilat (patent black) dan biru,” jelas Bernard kepada Stailo.

Ramalan 2013

Perkongsian rekaan baharu Bernard itu bagaimanapun hanyalah mukadimah dalam kalendar fesyen tahun ini. Berbicara soal fesyen tahun 2013 pula, Stailo sempat meminta pandangan daripada pensyarah sambilan bahagian fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak, Yazid Jamil.

Menurut Yazid, trend melapiskan (layering) pakaian sedia pakai dalam satu masa bakal menjadi ikutan. Sebagai contoh, kemeja jarang disuai padan bersama sweater tebal dan besar ataupun jaket berpotongan bahu jatuh bersama celana pendek serta seluar senteng.

Namun, faktor ketebalan fabrik perlu disesuaikan dengan iklim Malaysia yang panas dan lembap. Tahun 2013 meraikan pembebasan jangkaan kalendar kaum Maya bahawa dunia akan berakhir pada 21 Disember 2012, maka sebarang bentuk kongkongan harus dibebaskan.

Siluet yang lebih natural dan rileks menjadi nadi utama dalam memilih helaian busana untuk 2013. Pakaian yang terlalu sendat harus dielakkan. Katakan tidak pada dres bondage dan pilih busana atau seluar yang sedikit longgar bagi memberi ilusi seksi dalam kesopanan.

Warna terang seperti biru kobalt, jingga dan kuning menjadi pilihan utama dalam kalangan rumah fesyen antarabangsa. Permainan motif geometri seperti yang dilihat di pentas peragaan musim bunga dan panas 2013 label Prada adalah trend yang cukup hangat untuk dicuba.
REKAAN musim bunga dan panas 2013 Bernard ini mencerminkan kesetiaan cinta wanita terhadap lelaki yang dikasihinya.


“Industri fesyen dunia tahun ini menyaksikan kebangkitan pakaian sedia pakai. Busana hadir dalam manipulasi pola yang kreatif dan potongan yang lebih natural. Fabrik jarang digabungkan bersama fabrik legap.

“Faktor praktikal dan fungsi perlu dititikberatkan. Pentas fesyen negara, 2013 sewajarnya menjadi tahun publisiti besar-besaran kepada pereka-pereka muda berbakat seperti Jonathan Liang, Alia Bastamam dan FiziWoo. Idea-idea yang mereka tampilkan memberi suntikan segar, satu revolusi untuk industri fesyen tempatan,” ujar Yazid.

Tetapkan trend

Sementara itu, Presiden Persatuan Pereka Bumiputra (BDA), Bon Zainal melihat perkembangan gaya pada tahun ini perlu berbalik kepada konsep praktikal. Menurut beliau, zaman ini pereka perlu celik dengan perubahan kehendak orang ramai yang dahagakan pakaian sedia pakai yang jelas fungsinya.

“Jangan hanya menilai kecantikan rekaan berdasarkan sedap mata sendiri kerana pada akhirnya, pelanggan yang akan menentukan sama ada pakaian itu boleh dipakai atau tidak.

“Perlu diingat, tujuan pakaian dihasilkan adalah untuk dijual dan dipakai. Jadi, cuba elakkan rekaan yang terlalu artistik dan rumit,” demikian pesanan Bon ketika ditemui Stailo pada pertandingan akhir Pencarian Pereka Muda 2012 anjuran BDA di Dewan Panggung Sari, Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur.

Menyentuh trend yang bakal menjadi ikutan di negara ini, Bon merasakan adalah wajar sekiranya Malaysia menetapkan trend tersendiri daripada mengikut panduan fesyen global secara keseluruhan.

Namun, konsep gaya yang ditekankan masih perlu selari dengan perkembangan antarabangsa, cuma pengolahan idea bagi rekaan yang ingin diketengahkan boleh divariasikan. Contohnya, pakaian berona terang dan garang sangat sesuai digayakan masyarakat negara ini sepanjang tahun atas faktor ketetapan iklim.

Pentas antarabangsa
Menjengah pentas fesyen antarabangsa pula memperlihatkan penonjolan beberapa konsep. BCBG Max Azria, Jason Wu dan Herver Leger tahun ini mempertaruhkan efek Helmut Newton, jurugambar fesyen yang popular dengan foto hitam putih berunsur erotisisme.

Ketua Pegawai Kreatif Kumpulan BCBG Max Azria, Lubov Azria juga mengesahkan Helmut merupakan antara inspirasi utama bagi koleksinya kali ini.

Elemen air turut menjadi mainan label antarabangsa tahun 2013. Jack McCollough dan Lazaro Hernandez yang menerajui Proenza Schouler, menghasilkan dres yang diperbuat daripada cetakan foto bagi mencipta nilai abstrak.

Olahan liberal itu dikukuhkan dengan penataan imej sekumpulan manusia yang berada di kolam renang, menjelaskan elemen air dalam hasil kerja duo tersebut.

Charlotte Ronson juga tidak ketinggalan mengangkat air sebagai kunci inspirasi bagi koleksi baharunya.

Palet biru laut dan hijau ternyata menyerlahkan rekaan peplum Ronson sehingga hampir kelihatan ibarat riak ombak dari laut.

Pernyataan jelas terhadap unsur air sudah tentu datangnya daripada Michael Kors. Padanan baju (top) dan seluar panjang rona biru dan putih sudah memadai membentuk pemikiran peneliti fesyen.


BERNARD menyuntik kesegaran dalam koleksi kali ini bagi menyerlahkan sisi edgy seorang wanita.


Rekaan berjalur atau berbelang masih belum lapuk dalam percubaan pereka prolifik global. Marc Jacobs misalnya, meluluskan majoriti ciptaan musim bunga dan panas beliau dengan pakaian bercirikan jalur. Baju T atau jumpsuit, nilai keindahan corak berjalur tetap dikekalkan.

Eksperimen Tommy Hilfiger kali ini juga agak menarik. Siapa sangka, seluar panjang, baju dan blazer rona putih seragam yang dicoretkan bersama jalur merah dan biru mampu menghasilkan efek luar biasa. Menariknya, jalur itu bukan bergaris tetapi berbentuk polka dot.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers