Ramai Ramal Jambu atau Shiro Calon Juara MLM!


Ramai, Ramal, Jambu, atau, Shiro, Calon, Juara, MLM, Artis Malaysia, Maharaja Lawak Mega, Hiburan, Malaysia


KUALA LUMPUR, 18 JAN 2013: Malam ini, juara Maharaja Lawak Mega 2012 (MLM) bakal diketahui. Daripada lima finalis yang bersaing dalam gelanggang akhir MLM iaitu Jozan, Jambu, Boboi, Say Who dan Shiro, siapakah di antara mereka yang bakal membawa pulang gelaran tersebut beserta trofi dan wang tunai RM500,000?

Adakah peserta kegemaran Jozan yang bakal memegang gelaran tersebut? Apa sekalipun, jangkaan itu mungkin meleset kerana sehingga saat ini, masih belum ada kata putus sama ada Johan bakal beraksi di pentas akhir atau tidak dengan Zizan.

Ini kerana, seandainya Johan tiada, Zizan sekali lagi perlu tampil secara solo dengan membawa nama Jozan. Malah, prestasi Jozan berkemungkinan menurun berdansarkan respon yang diterima menerusi dua episod terdahulu setelah Zizan beraksi solo. Rata-rata berpendapat Zizan perlu beraksi bersama Johan untuk memastikan persembahan Jozan hidup pada malam ini.

Bagaimanapun, tindakan Zizan wajar dipuji kerana berani mengambil risiko untuk beradu nasib secara solo demi sahabat karibnya yang tidak boleh beraksi atas masalah kesihatan yang tidak mengizikan. Malah, sekali sekala Zizan mampu membuatkan penonton tergelak besar walaupun braksi secara berseorangan.

Oleh kerana situasi ini berlaku, kumpulan Jambu yang dibarisi Tauke dan Yus disifatkan mempunyai peluang cerah untuk menang kerana persembahan mereka dilihat begitu konsiste dari minggu pertama sehingga minggu penentu finalis MLM.

Ia dibuktikan lagi apabila juri MLM iaitu Lisa Surihani, Awie, Wulan Guritno dan Najib Ali sering saja memberikan komen positif sebaik saja menonton jenaka dari Jambu. Apatah lagi, jumlah undian Jambu juga dilihat semakin meningkat dan sering saja berada di tiga tangga teratas.

Selain Jambu, kumpulan yang dibayangi persembahan Sepah iaitu Shiro juga berkemungkinan bakal memberikan kejutan kerana sering saja menghasilkan persembahan yang bermutu . Sungguh pun adakalanya Shiro nampak pancit d itengah jalan, namun Syahrol mampu membantu Ajak untuk mengatasi masalah tersebut.

Juri dan penonton juga banyak bersetuju, selepas hampir rebah di awal pusingan MLM, kumpulan ini terus bangkit walaupun di saat ahli kumpulannya iaitu Syahrol sering saja diserang demam sehingga ditahan dalam wad hospital.

Sementara itu, satu-satunya peserta tunggal dari Indonesia iaitu Say Who mungkin bakal membuat kejutan. Ini kerana, Say Who yang mempunyai Bocil sebagai pemancing jenaka dan hari demi hari mereka semakin serasi dengan keinginan penonton di Malaysia.

Jadi tidak hairanlah Say Who boleh mencaras persembahan daripada peserta kegemaran yang lain. Mengikut pemerhatian, undian kumpulan ini sering saja mengalami perubahan tatkala selesai membuat persembahan. Sekiranya baik persembahan mereka, maka naiklah undian mereka.

Satu lagi finalis yang dahulunya sering menonjol dalam MLM musim terdahulu, Boboi pula perlu melakukan satu magik seandainya mahu berjaya menjadi juara. Kumpulan yang dulunya hanya dianggotai Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik ini dilihat mengalami kemurungan. Adakah Afdlin dan Harun tidak serasi dengan anggota baru mereka Nabil sehinggakan persembahan selalu berada dalam tangga memuaskan saja?

Apapun, Boboi sering saja tampil dengan kelainan dan mempunyai strategi tersendiri untuk memancing peminat.

Paling penting, keputusan sebenarnya berada di tangan penonton dan setiap finalis hanya perlu tampil dengan persembahan mantap untuk berada dalam situasi yang selesa sekiranya dipilih sebagai juara.

Oleh itu, saksikan persembahan kemuncak finalis MLM di Astro Warna (Saluran 132) dan Astro Mustika HD (Saluran 134) pada Jumaat jam 10 malam. Lebih menarik, bagi penonton dari Johor dan Singapura, anda boleh menyaksikan secara langsung di Stadium MBJB, Johor Bahru.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers