iskandarX Society Rencana - Asma, Penyakit Keradangan Saluran Pernafasan



KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Jerebu muncul kembali dan menyelubungi banyak kawasan di seluruh negara dengan membawa udara tercemar yang mempunyai impak kesihatan ke atas rakyat Malaysia.







Bila berada di luar rumah, udara yang dihirup sebenarnya mengandungi partikel tercemar yang boleh membahayakan kesihatan terutama bagi mereka yang menghidap asma.


Apakah itu asma?


Menurut pakar perubatan, asma adalah satu penyakit saluran pernafasan kronik yang mengakibatkan penghidapnya semput selain mengalami rasa 'ketat' di dada, batuk dan lelah.


Bagi penghidap asma, paru-paru mereka akan menebal dan bengkak selain mengalami keradangan. Saluran pernafasan mereka menjadi sensitif kepada perubahan cuaca dan ini boleh menyebabkan berlakunya 'serangan' asma dengan mudah.


RAWATAN


"Terdapat dua jenis rawatan. Sama ada dengan cara melegakan dengan cepat atau rawatan jangka panjang dengan penggunaan ubat pencegahan.


"Pengembang brokus (bronchodilater) adalah ubat yang boleh mengembangkan otot di saluran pernafasan bagi menambahkan kemasukan udara ke dalam paru-paru," jelas Dr Norzila Mohamed Zainudin, Pakar Kanak-Kanak di Hospital Kuala Lumpur (HKL).


Katanya, asma adalah satu penyakit saluran pernafasan yang biasa dan ia penting bagi mendidik pesakit asma sejak mereka kecil lagi.


Bagi tujuan ini, Majlis Asma Malaysia (ACM) bersama GlaxcoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd (GSK) telah mengeluarkan sebuah komik mengenai asma.


Ia bertujuan untuk mendidik mengenai asma selari dengan seruan Inisiatif Global Asma (GINA) bagi meningkatkan kesedaran tentang penyakit itu di seluruh dunia.


Vijaya Surendran, Pengurus Produk Kumpulan GSK menyatakan bahawa komik itu bertindak sebagai alat untuk menyalurkan maklumat dan pendidikan bagi pesakit asma yang masih muda.


Pada masa yang sama, ia bagi menyemai budaya membaca di kalangan golongan muda di negara ini. Komik itu terdapat dalam versi Bahasa Inggeris dan Melayu.


UBAT


Menurut laporan Badan Kesihatan Dunia (WHO) terdapat 330 juta pesakit asma di seluruh dunia.


Asma ialah penyakit 'asimptomatik' yang bermakna ia boleh dirawat tetapi tidak akan hilang 100 peratus. Terapi jangka panjang yang disyorkan adalah dalam bentuk steroid melalui penggunaan 'inhaler' (alat penyedut udara).


"Ubat ini diambil sekurang-kurangnya enam bulan dan bergantung kepada serangan asma dan diagnosis doktor. Ubat ada di semua hospital kerajaan secara percuma," kata Dr Norzila.


Ubat bagi asma adalah selamat dan tidak mendatangkan kesan sampingan yang begitu ketara tetapi penggunaannya tidak bererti pesakit bebas daripada serangan asma.


Seorang pesakit kanak-kanak masih boleh mendapat serangan asma semasa jangkitan virus serta situasi jerebu.


Tetapi jika asma dikawal secara konsisten, serangan yang datang adalah tidak teruk sangat. Simptom asma adalah berbeza dari masa ke semasa tetapi biasanya ia akan datang dengan teruk pada waktu malam dan awal pagi.


"Kesan serangan asma juga berbeza di mana 69 peratus daripada kanak-kanak yang bersekolah tidak dapat hadir ke sekolah selama satu atau dua hari setiap tahun disebabkan serangan asma," katanya.


MAKANAN


Ramai pesakit asma seboleh-bolehnya cuba mengelak daripada mengambil makanan yang dikatakan boleh mencetus serangan asma.


Adakah benar buah-buahan seperti tembikai boleh mencetuskan serangan asma?


"Tiada bukti tentangnya. Ada yang mengalami gatal tekak setelah makan rambutan atau oren. Ais juga boleh menyebabkan batuk," jelas Dr Norzila sambil menambah bahawa terdapat bahan kimia dalam makanan yang diproses yang boleh mencetuskan serangan asma.


"Bagaimanapun saya percaya faktor cuaca serta partikel udara tercemar selain daripada asap rokok boleh menyebabkan berlakunya serangan asma," kata beliau.


STATISTIK


Statistik tahun 2006 menunjukkan bahawa tujuh hingga lapan peratus daripada kanak-kanak di Malaysia menghidap asma di mana satu peratus adalah menghidap asma yang serius.


Bila ditanya tentang perkembangan enam tahun selepas kajian terhadap prevalens penyakit ini di Malaysia, Dr Norliza menjelaskan bahawa jumlah pesakit kanak-kanak adalah agak stabil.


"Dua pertiga daripada pesakit kanak-kanak ini akan pulih daripada masalah ini jika rawatan diberikan secara berterusan," kata beliau.


Prevalens di kalangan orang dewasa pula adalah sebanyak satu peratus.


Asma menyerang semua orang tidak kira bangsa atau lapisan masyarakat dan umur. Tanpa maklumat yang tepat serta persepsi yang salah akan menyebabkan pengurusan yang tidak betul bagi mengendalikan penyakit ini.


-- BERNAMA

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers