Malaysia gesa PBB tegas cari penyelesaian isu Palestin

Malaysia gesa PBB tegas cari penyelesaian isu Palestin
Malaysia menggesa siasatan segera dilakukan terhadap penemuan Amnesty International mengenai pembunuhan yang sengaja dilakukan, dilaksanakan atas perintah kerajaan atau pegawai tentera yang dilarang dan dianggap jenayah oleh undang-udang antarabangsa.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan setiausaha agungnya digesa tegas dalam melaksanakan mandat, tanggungjawab dan komitmennya bagi mencari penyelesaian dan keamanan berkekalan untuk Palestin.

Timbalan Wakil Tetap Malaysia ke PBB Raja Reza Raja Zaib Shah membuat gesaan itu sekali gus mengesahkan sokongan penuh Malaysia untuk memberi hak yang sah kepada rakyat Palestin bagi mendapatkan negara Palestin berdaulat.

“Sejak Oktober 2015, lebih daripada 1,520 rakyat Palestin, dengan 60 peratus daripadanya kanak-kanak, telah ditahan oleh tentera Israel. Di Timur Baitulmuqqadis, seramai 110 kanak-kanak ditahan yang meningkat 56 peratus berbanding pada suku tahun sebelumnya.

“Kita perlu segera meredakan dan menghentikan gelombang keganasan yang berlaku kini bagi mengelak lebih banyak nyawa terkorban, selain menolak keganasan peneroka Israel, penggunaan tahanan pentadbiran yang diperbaharui terutamanya terhadap kanak-kanak, penempatan paksaan kepada penduduk Palestin, dan eksploitasi sumber asli di tanah Palestin.

” … Malaysia akan terus mendesak supaya ditarik balik sekatan ke atas Gaza, dan menghentikan hukuman tidak berperikemanusiaan oleh Israel terhadap penduduk Gaza,” katanya dalam kenyataan pada Mesyuarat Pleno Sesi Ke-70 Perhimpunan Agung PBB di New York, lapor Bernama.

Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serbuan tentera Israel di sekolah dan hospital yang melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa, dan jelas tidak menghormati Konvensyen Keempat Geneva bagi perlindungan dan menghormati hospital awam oleh pihak terbabit dalam konflik.

Justeru itu, beliau menggesa siasatan segera dilakukan terhadap penemuan Amnesty International mengenai pembunuhan yang sengaja dilakukan, yang dilaksanakan atas perintah kerajaan atau pegawai tentera yang sememangnya dilarang dan dianggap penjenayah oleh undang-udang antarabangsa.

Tambahnya lagi, Malaysia turut mengutuk sekeras-kerasnya tindakan provokasi, hasutan dan keganasan di tanah suci bandar lama Baitulmuqqadis oleh semua pihak, kerana ia hanya mencetuskan lagi ketegangan dan memburukkan keadaan keselamatan di sana.

“Malaysia turut mengutuk tindakan Israel yang terus memperluas penempatan haram dan merobohkan bangunan di tanah Palestin termasuk di Timur Baitulmuqqadis, yang merupakan tindakan yang dilarang mengikut undang-undang antarabangsa, yang terus mengancam usaha penyelesaian kedua-dua negara,” katanya.

Mengulangi pesanan perpaduan yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Raja Reza juga berkata, Malaysia bersama-sama dengan penduduk Palestin dan komited untuk menjalinkan kerjasama dengan negara yang mempunyai pendirian sama ke arah menangani punca konflik itu.


Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers