Nurul Izzah laksana hasrat saman Khalid, Ismail Sabri

Nurul Izzah laksana hasrat saman Khalid, Ismail Sabri
Saman itu difailkan ekoran fitnah kedua-dua pemimpin tertinggi kerajaan itu yang mengatakan dirinya melakukan pengkhianatan

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar melaksanakan hasratnya untuk memfailkan saman fitnah terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Saman itu difailkan pagi ini di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi berhubung dakwaan dirinya telah melakukan pengkhianatan kerana bertemu dengan anak perempuan Sultan Sulu, Puteri Jacel Kiram baru-baru ini..

Dalam pernyataan tuntutannya, Nurul Izzah menyatakan bahawa kedua-dua individu berkenaan telah menuduhnya sebagai ‘pengkhianat’ dan melakukan ‘jenayah’ yang serius.

Peguamnya N. Surendran berkata, dakwaan mereka yang mengatakan Nurul Izzah melakukan ‘pengkhianatan’ hanya kerana memenuhi permintaan anak perempuan Sultan Sulu itu adalah karut.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut memohon ganti rugi am dan agregat serta injunksi terhadap Khalid dan Ismail Sabri sebagai menghalang mereka daripada membuat sebarang kenyataan fitnah lagi terhadap dirinya.

Surendran berkata, beliau tidak menawarkan sebarang tuntutan maaf kerana tuntutan mahkamah telah difailkan tanpa mengeluarkan surat tuntutan lain kepada kedua-dua defendan.

“Beliau (Nurul Izzah) berhak untuk memfailkan tuntutan mahkamah terhadap mereka tanpa mengeluarkan surat tuntutan kerana tuduhan itu sangat serius,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Nurul Izzah berkata, dia akan ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman petang esok (Jumaat) untuk dirakamkan kenyataan.

“Saya bersedia untuk menjawab” katanya.

Pada 22 November lalu, Khalid berkata, beliau mahu tahu daripada Nurul Izzah, dengan memanggilnya bagi diambil kenyataan, jika terdapat pihak-pihak tertentu di negara ini yang merancang pencerobohan di Lahad Datu pada 2013.

Dia mungkin disiasat di bawah Sosma, kata Khalid.

Pada hari yang sama, Ismail Sabri turut berkata, bahawa pertemuan Nurul Izzah dengan Puteri Jacel Kiram III itu sebagai satu pengkhianatan kerana mereka dan juga keluarga yang terlibat dengan tragedi di Lahad Datu pasti akan tersinggung dengan perbuatan Nurul Izzah itu.


Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers