Polis berjaya selesaikan kes culik bayi 12 hari

Polis berjaya selesaikan kes culik bayi 12 hari
Polis mengesahkan bapa saudara bayi turut menjadi dalang di sebalik penculikan bayi yang bermotifkan wang tebusan.

Kes penculikan seorang bayi lelaki berusia 12 hari dari sebuah rumah di Kota Laksamana dipercayai dapat diselesaikan selepas polis berjaya menahan empat suspek termasuk seorang dalang.

Kejadian yang berlaku pada 24 November lepas membabitkan penahanan empat suspek warga tempatan, tiga wanita dan seorang lelaki yang berusia dalam lingkungan 21 hingga 25 tahun.

Ketua Polis Melaka Datuk Chua Ghee Lye berkata, dengan penahanan itu, polis dapat menyelesaikan kes itu dalam tempoh kurang daripada 48 jam.

“Susulan kejadian pada Selasa lepas, ibu mangsa menerima khidmat pesanan ringkas daripada suspek pukul 6.52 petang meminta beliau menyerahkan wang tebusan RM300,000 dan selepas berbincang penculik terbabit bersetuju mengurangkan jumlah itu kepada RM200,000.

“Keluarga mangsa kemudian membuat bayaran tebusan di sebuah premis pusat tuisyen di Pulau Gadong di sini kira-kira 10.30 malam tadi seperti yang dikehendaki suspek berkenaan.

“Polis kemudian menyerbu premis tersebut serta menahan tiga wanita dan menyelamatkan bayi tersebut. Polis turut menahan seorang lelaki yang dipercayai bapa saudara mangsa,” katanya dalam sidang akhbar pada Khamis, lapor Bernama.

Siasatan lanjut juga mendapati dua daripada empat suspek adalah ahli keluarga kepada mangsa berumur 25 dan 24 tahun.

Ghee Lye berkata, bayi berkenaan dibawa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan kesihatan dan motif penculikan dipercayai disebabkan suspek mempunyai masalah kewangan.

Beliau berkata kesemua suspek kini direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.


Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers