Adnan Yaakob nafi pembalakan punca banjir lumpur

Adnan Yaakob nafi pembalakan punca banjir lumpur
Syarikat konsesi lebuh raya, Anih Berhad pula mengaitkan sampah sarap, kayu balak dan batu-batuan yang dihanyutkan dalam kejadian sebagai bukti wujudnya 'aktiviti' tertentu di luar kawasan penyelenggaraannya.

Kejadian banjir lumpur di Kilometer 52.5 Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak pada Rabu hanya bencana alam biasa dan bukan berpunca daripada kegiatan pembalakan.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob menafikan kegiatan pembalakan di kawasan Hutan Simpan Kekal Lentang sebagai punca kejadian berdasarkan imej udara yang dirakam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kawasan pembalakan paling hampir terletak kira-kira 1.2 kilometer dari lokasi kejadian.

“Aktiviti itu bagi projek menara talian elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB), tetapi itu pun sudah dihentikan empat bulan lalu selepas mendapat bantahan penduduk,” katanya dalam sidang akhbar mempengerusikan mesyuarat jawatan kuasa pelaksanaan dan penyelarasan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) negeri, lapor Utusan Malaysia.

Sebaliknya, Bernama melapor, syarikat konsesi lebuh raya tersebut, Anih Berhad mengaitkan sampah sarap, kayu balak dan batu-batuan yang dihanyutkan dalam kejadian itu berhampiran Hutan Lipur Lentang sebagai bukti wujudnya ‘aktiviti’ tertentu di luar kawasan penyelenggaraannya menyebabkan berlakunya limpahan air.

Manakala Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) juga menyifatkan kegiatan pembalakan tidak terkawal di kawasan Hutan Lipur Lentang sebagai punca utama kejadian banjir lumpur.

Dalam pada itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan punca kejadian dan keputusannya akan diketahui selewat-lewatnya dalam tempoh dua minggu lagi.

“Ia akan dimaklumkan selepas pakar-pakar yang berkaitan selesai membuat kajian terperinci berhubung insiden itu,” katanya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers