Anina minta ahli UMNO, rakyat Malaysia doakan perjuangannya

Anina minta ahli UMNO, rakyat Malaysia doakan perjuangannya
Doa dari ahli UMNO dan rakyat Malaysia itu adalah sebagai dorongan
untuk memberi kekuatan moral dalam menuntut kebenaran dan keadilan.

Bekas ahli Wanita UMNO, Anina Saadudin meminta 3 juta ahli UMNO serta 28 juta rakyat Malaysia mendoakannya dalam perjuangan kes saman terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, doa itu adalah sebagai sokongan kepada beliau dan barisan peguamnya agar diberikan kekuatan dan moral dalam menuntut kebenaran dan keadilan.

“Kepada Allah kita memohon semoga segala usaha dan kesungguhan ini mendapat pertolongan dan rahmatnya,” katanya menerusi pesanan ringkas kepada FMT.

Pada masa yang sama, beliau juga mengulangi bahawa menghormati keputusan mahkamah pada Khamis dan sedang menunggu satu lagi keputusan pada 6 Oktober ini.

“Saya bersama peguam Tuan Haji Mohamed Haniff Khatri Abdullah dan peguam-peguam lain dengan tenang hati menerima serta menghormati keputusan mahkamah semalam.

“Saya percaya dan yakin keputusan itu telah dilakukan dengan teliti berlandaskan kewajaran undang-undang.

“Saya yakin dan menaruh kepercayaan penuh terhadap sistem kehakiman negara ini,”jelasnya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan kes saman berkenaan sementara menunggu keputusan permohonan Najib membatalkan saman yang difailkan oleh Anina.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Najib, Datuk Hafarizam Harun dan peguam Anina, Haniff Khatri Abdullah selepas mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Zaki Wahab dalam kamar hakim.

Pada 28 Ogos lepas, Anina memfailkan saman terhadap Najib dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh berkenaan derma RM2.6 bilion yang dimasukkan dalam akaun peribadi Najib.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers