Malaysia sedia terima 3,000 pelarian Syria

Malaysia sedia terima 3,000 pelarian Syria
Najib mencadangkan agar satu bentuk penyelesaian
antarabangsa yang baharu diketengah bagi menangani krisis migrasi.

Malaysia menyampaikan kesediaan untuk menerima 3,000 pelarian Syria secara berperingkat untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Janji diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai sebahagian tanggungjawab Malaysia bagi membantu meringankan krisis pelarian.

“Sebab itu Malaysia selama ini telah mengambil ramai orang yang melarikan diri daripada peperangan, kebuluran dan penganiayaan. Kini kami mempunyai ratusan ribu migran dan kami mengambil lebih ramai awal tahun ini apabila terdapat krisis kemanusiaan di Laut Andaman,” katanya pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis (Jumaat di Malaysia), lapor Bernama.

Perdana Menteri berkata, negara-negara Islam sebahagiannya bertanggungjawab memastikan kesejahteraan orang Syria yang terpinggir melarikan diri dari negara mereka dengan jumlah yang besar sehingga mengakibatkan tekanan ekonomi dan sosial di Eropah.

Para peserta perhimpunan dilapor menyambut baik pengumuman Najib menerima pelarian Syria dengan tepukan gemuruh.

Sejak empat tahun lepas, kira-kira empat juta pelarian Syria telah melarikan diri ke negara-negara jiran dan terpaksa hidup dalam kemiskinan.

Najib juga mencadangkan agar satu bentuk penyelesaian antarabangsa yang baharu diketengah bagi menangani krisis migrasi.

“Kita mesti menghormati nilai kemanusiaan bersama” dan isu berjuta-juta rakyat Syria melarikan diri dari negara mereka harus menjadi
kebimbangan dan perhatian dunia.

“Hanya apabila kita melangkaui batas bangsa dan anutan, hanya apabila kita melihat gambar-gambar migran yang terdesak, mangsa ekstremis dan mereka yang hidup diselubungi kebuluran dan kemiskinan – dan melihat mereka bukan sebagai orang asing tetapi sebagai saudara kita.

“Apabila kita melihat gambar memilukan jasad Aylan Kurdi berusia tiga tahun yang terdampar di pantai dan merasakan seolah-olah anak kita sendiri dalam wajah kanak-kanak lelaki tidak berdosa itu maka kita akan bertindak untuk berbuat lebih baik.

“Orang di seluruh dunia merayu bantuan kita. Kita tidak boleh – tidak akan membiarkannya sahaja,” kata Najib.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers