Main isu perkauman untuk tutup 1MDB, dana RM2.6 bilion

Main isu perkauman untuk tutup 1MDB, dana RM2.6 bilion
Tuan Ibrahim mendakwa Najib menjadikan Himpunan Baju Merah sebagai
taktik mengalih tumpuan rakyat terhadap isu 1MDB dan dana RM2.6 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa mempunyai muslihat apabila beliau mempertahankan penganjuran Himpunan Rakyat Bersatu atau Baju Merah yang diadakan pada 16 September lepas.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Najib cuba menukar pentas padang sebagai taktik untuk mengalih isu yang sering menjadi perdebatan dalam kalangan rakyat.

Katanya, dengan cara itu segala isu yang berkaitan dengan Najib akan dapat dilenyapkan.

“Sebagai contoh, selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Najib tidak memberikan respon kepada tuduhan-tuduhan yang dilemparkan Wall Street Journal (WSJ) sehingga hari ini.

“ Antara dakwaan WSJ adalah seperti duit 1MDB telah dimasukkan ke dalam akaun persendirian Najib, kehilangan dua jumlah duit sebanyak USD1.4 bilion dan USD993 juta di dalam transaksi pelaburan 1MDB dengan Abu Dhabi International Petroleum Investment Corporation (IPIC). Ini tidak pernah dijawab atau diulas Najib.

“Yang ada hanya suara 1MDB memperlekehkan laporan tanpa menjawabnya secara telus dan terus,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Tuan Ibrahim lagi, langkah Najib memuji perhimpunan Baju Merah itu adalah satu helah agar rakyat berhenti berbicara mengenai 1MDB mahupun derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaunnya.

Beliau mendakwa, peserta perhimpunan itu telah diumpan dengan kenyataan-kenyataan berbaur kontroversi yang bertali arus daripada para pemimpin UMNO untuk berdebat mengenai permainan perkauman melalui perhimpunan berkenaan.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut menasihatkan media agar tidak terperangkap dengan helah yang dilakukan oleh Najib menerusi laporan dan kenyataan sensasi pemimpin UMNO, sebaliknya memberikan fokus pada isu yang melibatkan masalah rakyat.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers