Calon Pro-Kerajaan menang besar pilihan raya kampus

Calon Pro-Kerajaan menang besar pilihan raya kampus
Pro-Aspirasi yang Pro-Kerajaan merampas semula tiga universiti yang menjadi
kubu kuat pro-mahasiswa iaitu UKM, UM dan UIA.

Kumpulan mahasiswa Pro-Aspirasi atau pro-kerajaan menang besar pada pilihan raya universiti yang sedang berlangsung sehingga bulan depan.

Kumpulan berkenaan telah berjaya merampas semula tiga kubu kuat kumpulan pro-mahasiswa atu pro-pembangkang iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysa (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).

Pro-Aspirasi merampas UKM selepas menguasai 26 daripada 31 kerusi yang dipertandingkan, UM (34 kerusi berbanding enam dimenangi Pro-Mahasiswa) dan UIA (12 kerusi).

Pro-Aspirasi melakar sejarah apabila mendominasi sepenuhnya Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) apabila masing-masing menguasai 28 kerusi dan 48 kerusi.

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Pro-Aspirasi menang 23 kerusi berbanding hanya enam kerusi Pro-Mahasiswa dan Universiti Sains Malaysia (USM) (28-18) kekal memihak kepada Pro-Aspirasi.

Mengulas keputusan itu, Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi), Mohd Shahar Abdullah, berkata keputusan cemerlang yang memihak kepada Pro-Aspirasi itu adalah manifestasi jelas bahawa mahasiswa tidak terkesan dengan isu yang berlaku dalam politik nasional.

“Ini merupakan isyarat jelas dan tanda sokongan mahasiswa kepada kerajaan sedia ada yang sentiasa menjaga kebajikan mahasiswa melalui Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN).

“Apabila kerajaan mengembalikan pengajian tinggi kepada pengajian berasingan ini merupakan tanda penghargaan dan tindakan bijak kerana menjadikan sektor pengajian tinggi sebagai sebuah kementerian,” katanya, lapor Utusan Malaysia.

Secara keseluruhan, Pro-Aspirasi telah memenangi 199 kerusi, manakala Pro-Mahasiswa 46 kerusi.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers