Khairy setuju dengan Muhyiddin

Khairy setuju dengan Muhyiddin
Provokasi perkauman perlu dielakkan kerana jika dibiarkan
berterusan ia boleh mendatangkan masalah ketegangan kaum.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin setuju dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya negara Malaysia menjauhi sebarang provokasi berbentuk perkauman.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata, provokasi perkauman itu sememangnya perlu dielakkan kerana jika dibiarkan berterusan ia boleh mendatangkan masalah besar kepada negara terutama ketegangan kaum.

“Sudah pastilah, kalau ada apa-apa provokasi perkauman, sudah tentu kita tidak mahu ada masalah ketegangan kaum dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Jualan Hari Sukan di Stadium RSH, Mid Valley Megamall pada Sabtu.

Ketika berucap di dalam program Membara Jasamu Dikenang UMNO Bahagian Pagoh 2015 pada Jumaat, Muhyiddin berkata, sebagai sebuah negara yang sudah lama merdeka, perkara seperti itu tidak seharusnya berlaku kerana Malaysia dimiliki oleh semua kaum sebagai rakyat di negara ini.

“Ia tidak boleh dipandang ringan dan jika berlarutan akan menerbitkan sifat perkauman yang menebal yang menyebabkan mereka saling mencurigai antara satu sama lain,” kata Muhyiddin.

Dalam perkembangan lain, Khairy menyokong polis mengambil tindakan terhadap peserta Himpunan Baju Merah yang menimbulkan kekecohan di Jalan Petaling.

“Selagi mereka tak menyalahi undang-undang, kita tidak halang mereka untuk terlibat dalam mana-mana perhimpunan.

“Yang penting ada terbukti kalau mereka menyalahi undang-undang, yang itu maka tindakan harus diambil terhadap mereka,” katanya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers