AMANAH dalam masyarakat Melayu-Islam dan Malaysia

AMANAH dalam masyarakat Melayu-Islam dan Malaysia
Imej moderat mereka yang lazimnya lunak dengan semua kaum, mungkinkah
kaum yang mereka sendiri ingin wakili gagal? Tidakkah jika usaha
ini gagal, penubuhan AMANAH hanyalah bak penubuhan PKR 2?

Oleh Wan Salman Wan Sallam
Ulangtahun ke-58 Malaysia menandakan hari pertama Parti Amanah Negara (AMANAH) lahir mencorakkan persada politik Malaysia.
Melangkah berani dengan pelbagai tohmahan dan caci maki, AMANAH terus “degil” dan lahir bermotivasikan sokongan, dorongan dan rintihan rakyat yang gelisah akan senario politik masa kini.
Bukan rahsia lagi, atas beberapa perkara yang dikira tidak dapat lagi dirunding dalam PAS serta kebobrokan tatakelola serta spekulasi rasuah pemerintah. Rakyat menginginkan lebih daripada sekadar wujudnya “wakil Melayu-Islam”.
Atas kesedaran inilah, golongan yang lebih sederhana dan mengutamakan perdamaian tampil berani dengan membawa mesej yang secara relatifnya antikonservatif dalam pemahaman politik Melayu-Islam dan muncul dengan Gerakan Harapan Baru yang akhirnya melahirkan AMANAH.
Cabaran menyantuni Melayu-Islam
Boleh dikatakan kerunsingan paling besar orang Melayu-Islam, selain kemerosotan ekonomi dan kenaikan kos sara hidup ialah “penyatuan Melayu-Islam”.
Umum diketahui, atas sebab-sebab seperti polemik hudud, fitnah, politik kotor atas nama ulama dan juga pelanggaran perjanjian bersama Pakatan yang konsisten oleh pimpinan parti telah menatijahkan keluarnya ahli-ahli Pas secara beramai-ramai dari parti yang didakwa parti Islam tertua di tanah air ini.
Setelah dilabel pengkhianat dan petualang bahtera perjuangan Islam, individu-individu yang keluar membentuk parti baharu ini kini menghadapi cabaran memastikan mereka benar-benar mewakili nafas dan denyut nadi Melayu masa kini dek saingan Pas dan UMNO.
Bolehkah mereka melawan UMNO yang dilihat mendominasi kawasan luar bandar dan sering diangkat jaguh ketuanan Melayu? Bagaimana pula mereka mampu menyaingi Pas yang lebih dilihat alim dan mampu “menyelamatkan Melayu dengan Islam”?
Ditambah pula dengan imej moderat mereka yang lazimnya lunak dengan semua kaum, mungkinkah kaum yang mereka sendiri ingin wakili gagal? Tidakkah jika usaha ini gagal, penubuhan AMANAH hanyalah bak penubuhan PKR 2?
Membawa seruan rahmah
Percaya atau tidak, stigma inilah yang sering bermain dalam kepala orang Melayu-Islam, lebih-lebih lagi yang teruja dengan idea Islamisme yang memestikan wujudnya negara Islam berdaulat yang biasanya mesti berkriteriakan hudud dan “syariat Islam yang menyeluruh”.
Secara prinsipnya, pemahaman tersebut tidaklah salah secara keseluruhannya. Namun apa yang mungkin agak mengecewakan ialah pemahaman pelaksanaan prinsip Islam yang menganggap Islam itu sendiri punya penyelesaian yang langsung dalam semua bidang.
Maka dalam perjuangan mereka dalam wadah baharu ini, AMANAH menggalas tanggungjawab besar untuk menanamkan pemahaman politik yang berlandaskan realiti semasa berprinsipkan matlamat tertinggi syariat Islam (Maqasid Al-Syariah) dalam masa yang sama sentiasa menjaga kebajikan orang Melayu; bukan atas nama “kemuliaan Melayu”, tetapi atas dasar kebajikan yang sememangnya sudah sedia ada dalam prinsip rahmah Islam.
Cabaran ini tidak mustahil untuk dihadapi biarpun ranjau sepanjang perjalanan pasti mendatang.
Dengan tertubuhnya badan amal naungan AMANAH iaitu ARIF, AMANAH dilihat mampu bersedia berkhidmat dan melakukan amal bakti kepada masyarakat. Badan ulama dan pakar akademik Islam mereka, NUNJI diyakini mampu memberi nafas baru dalam mengeluarkan fatwa dan pendapat agar bersesuaian dengan realiti hidup majmuk masa kini di Malaysia agar mesej rahmah itu jelas.
Sebagai sebuah parti bongsu yang membawa mesej baharu, mereka akan memerlukan masa untuk membentuk identiti mereka. Juga dalam masa yang sama, mereka juga perlu berterusan mendidik kaum Melayu beragama Islam agar memahami pemahaman dan fatwa Islam yang lebih terkini dan bersifat adil dan kena dengan realiti Malaysia.
Sehubungan itu, kita sebagai rakyat juga harus rasional dalam menilai mereka; pendekatan politik nilai dan bersih daripada korupsi serta amanah harus kita buka ruang untuk mereka buktikan.
Akhirnya, jika mereka terbukti berjaya, kita juga yang bakal mengecapi nikmat rahmah yang diimpikan.
Selamat maju jaya buat para pendukung AMANAH sekalian!
Wan Salman Wan Sallam adalah pembaca FMT.
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dari pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers