Fahami hak, elak diusir dari tanah sendiri

Fahami hak, elak diusir dari tanah sendiri
Orang ramai perlu tahu status tanah yang mereka duduki dan mendapatkan
dokumen yang sah bagi mengelak diusir dan rumah diroboh sekaligus menanggung kerugian besar.


Oleh SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Mutakhir ini, banyak dilaporkan kes-kes berkenaan pemilik sesuatu hartanah yang “diusir” daripada hartanah mereka sendiri. Misalnya, kes penduduk Kg. Chubadak, Sentul yang diarah mengosongkan rumah mereka oleh BDKL untuk membolehkan tanah tersebut dibangunkan, suatu ketika dahulu mendapat liputan luas media massa.
Terkini, kes penduduk Kg. Mutiara, Batu Ferenggi yang di usir keluar oleh pemaju untuk memberi laluan kepada pembangunan di kawasan tersebut dan kes penduduk Taman Desa Duranta, Senawang yang diperintahkan mengosongkan rumah mereka oleh tuan tanah asal.
Kes-kes sebegini memberi kesan emosi yang besar kepada pemilik-pemilik hartanah terlibat. Bayangkan, setelah bertahun-tahun mendiami hartanah mereka sendiri, dengan tidak semena-mena mereka di arah keluar begitu sahaja tanpa sebarang bentuk pampasan atau tempat baru untuk berlindung daripada panas dan hujan. Pastinya, ia suatu dugaan yang cukup besar kepada penduduk-penduduk yang terlibat.
Sebenarnya, kes-kes sedemikian dapat dielakkan atau setidak-tidaknya dapat dikurangkan risiko kerugiannya sekiranya pemilik sesuatu hartanah memahami hak-hak mereka berkaitan hartanah yang mereka miliki. Diantaranya :
1. Pemilik sesuatu hartanah hendaklah mempastikan mereka adalah pemilik berdaftar yang sah terhadap hartanah yang mereka diami. Dalam erti kata lain, hartanah yang mereka diami itu telah dianugerahkan (alleniated) oleh kerajaan negeri kepada mereka. Dan geran individu yang berasingan terhadap hartanah tersebut juga telah dikeluarkan kepada mereka.
Di dalam geran individu juga jelas tertulis nama mereka sebagai pemilik berdaftar terhadap hartanah tersebut.
Terdapat sesetengah pihak yang mendiami sesuatu hartanah hanya berdasarkan kepada janji lisan pemimpin-pemimpin negeri di waktu pilihanraya, kononnya hartanah itu akan diberikan kepada mereka atau hanya berdasarkan kepada permohonan tanah yang pernah dibuat oleh mereka suatu ketika dahulu. Sedangkan, mengikut prinsip Undang-undang Tanah, seseorang itu hanya dianggap sebagai pemilik berdaftar dan mempunyai hak eksklusif terhadap hartanah mereka apabila nama mereka telah didaftarkan sebagai tuan punya di dalam geran individu yang dikeluarkan oleh pejabat tanah kepada mereka.
2. Pemilik juga hendaklah menyimpan segala rekod dan dokumen berkaitan dengan pemberimilikan atau sebarang bentuk urusniaga berkaitan hartanah tersebut. Sekiranya mereka membeli hartanah daripada pemaju atau pemilik sebelumnya, segala dokumen berkenaan jual beli dan pindahmilik hendaklah disimpan dengan baik.
Ketiadaan dokumen yang lengkap pasti akan menyukarkan mereka untuk membuktikan yang mereka adalah pemilik berdaftar yang sah terhadap hartanah tersebut.
3. Segala transaksi berkaitan hartanah itu mestilah diuruskan melalui peguam hartanah yang berpengalaman dan amanah. Elakkan daripada menguruskan sendiri urusan berkaitan hartanah anda. Ini kerana dibimbangi ada prosedur-prosedur perundangan atau dokumentasi perundangan yang meraka tidak patuhi dan tidak faham akan memberi kesan perundangan kepada mereka suatu hari kelak.
Dapatkan semua salinan dokumen-dokumen berkaitan hartanah anda daripada peguam yang telah dilantik. Pastikan juga anda mendapatkan nasihat perundangan yang sewajarnya daripada peguam anda.
4. Pemilik hendaklah peka dan cepat bertindak dengan merujuk kepada peguam mereka sekiranya menerima apa-apa surat atau notis daripada mana-mana pihak berkaitan dengan hartanah mereka. Misalnya notis yang meminta mereka keluar daripada hartanah mereka atau notis yang memaklumkan ada pihak lain mempunyai kepentingan terhadap hartanah tersebut.
Terdapat sesetengah pemilik yang buat acuh tak acuh apabila menerima sesuatu notis berkenaan hartanah mereka. Sehinggalah apabila tindakan perundangan telah diambil dan perintah mahkamah telah dikeluarkan terhadap mereka, barulah mereka panik dan berjumpa dengan peguam untuk mengambil tindakan sewajarnya. Ketika itu mungkin tindakan perundangan sudah agak terlewat. Oleh yang demikian, tindakan segera pemilik hartanah mampu mengelakkan masalah tersebut daripada berlaku.
5. Sekiranya anda mendiami sesuatu hartanah yang mana anda bukanlah pemilik berdaftar yang sah, misalnya anda pemilik Lesen Pendudukan Sementara (TOL) tanah tersebut, atau anda mendiami sesuatu hartanah itu atas ehsan atau kebenaran (sama ada tersurat atau tersirat) daripada kerajaan negeri atau tuan tanah asal, pastikan anda tidak membuat sebarang binaan kekal di atasnya.
Ini bertujuan untuk mengelakkan anda mengalami kerugian yang besar sekiranya diminta mengosongkan tanah tersebut. Sebaik-baiknya, usahakanlah sebaik yang mungkin untuk membolehkan tanah itu menjadi milik anda secara sah mengikut prosedur perundangan.
6. Sebaik-baiknya eratkanlah hubungan kejiranan dengan pemilik-pemilik hartanah sekeliling anda. Ini bertujuan untuk membolehkan satu tindakan bersama dan seragam diambil sekiranya berlaku keadaan dimana hartanah di kawasan tersebut terpaksa di serahkan kepada pihak lain. Tindakan secara kolektif kebiasaannya boleh memberi kesan yang besar terhadap keputusan yang telah dibuat.
Kesimpulannya, dengan memahami hak-hak anda berkaitan hartanah anda dan memahami undang-undang serta amalan guaman hartanah yang sebenar, isu di atas mengkin dapat dielakkan atau setidak-tidaknya tidaklah memberi kesan kerugian yang besar kepada anda.
Penulis adalah Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam).
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers