Muhyiddin membuat serangan balas terhadap pengkritiknya

Muhyiddin membuat serangan balas terhadap pengkritiknya
Beliau bukan calang-calang kerana telah berjuang dalam UMNO lebih
40 tahun dan membina semula UMNO di Johor selepas parti itu diharamkan.

Tan Sri Muhyidin Yassin membuat serangan balas terhadap pemimpin UMNO yang menuduhnya sebagai pengkhianat dan mendesak beliau dipecat sebagai Timbalan Presiden parti.

Beliau mengingatkan kepada pemimpin UMNO yang berkenaan bahawanya dirinya bukan calang-calang kerana telah berjuang dalam UMNO lebih 40 tahun.

“Kepada mereka ini ingin saya ingatkan, sejarah sumbangan saya kepada UMNO cukup panjang. Saya telah berjuang di dalam UMNO lebih 40 tahun.

“Malah, ketika UMNO diharamkan dahulu, saya mengambil tanggungjawab untuk membina semula UMNO di Johor sehingga UMNO kembali kuat dan negeri Johor menjadi penyumbang terbesar kemenangan UMNO dan Barisan Nasional dalam setiap pilihanraya umum.

“Saya juga tetap setia bersama parti ketika UMNO menghadapi pelbagai krisis. Jadi, janganlah terlalu mudah menuduh saya sebagai pengkhianat dan mendesak saya meletak jawatan,” katanya menerusi kenyataan media.

Bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, menjadi lumrah apabila seseorang tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan menjadi mangsa kecaman.

“Lumrah apabila seseorang itu tidak lagi berjawatan tinggi di dalam kerajaan, maka akan ada segelintir manusia yang tidak lagi menghormati, malah mengecam kita.

“Mereka ini ada antaranya yang pernah saya bantu ketika saya berada di dalam kerajaan. Mereka menuduh saya menjadi pengkhianat, menuntut supaya saya dihadapkan ke Lembaga Disiplin dan mendesak saya supaya meletak jawatan.

“Seorang Ketua Bahagian di negeri Selangor antara yang paling kuat mendesak saya meletak jawatan sedangkan ahli di bahagiannya sendiri menuntut dia meletak jawatan. Semua ini dibuat semata-mata kerana saya bercakap benar demi untuk menyelamatkan parti,” katanya.

Muhyiddin bagaimanapun berkata, kecaman dan serangan itu sedikit pun tidak melunturkan semangatnya untuk menyelamatkan parti, rakyat dan negara.

Katanya, suasana politik dan ekonomi yang tidak menentu ketika ini, beliau bimbang Malaysia akan menjadi sebuah negara yang gagal.

“Saya ingin mengingatkan jika kita gagal menangani kemelut yang melanda negara kita secara berani dan berdepan atau “take the bulls by the horns”, saya bimbang Malaysia akan terjerumus ke dalam kancah negara yang gagal (failed state).

“Iklim ekonomi dunia yang tidak menentu, nilai Ringgit yang semakin merudum, kemelut politik yang luar biasa, kenaikan harga barang dan kos sara hidup, kebanjiran warga asing yang tidak terkawal dan sentimen pelabur yang dingin terhadap Malaysia merupakan bibit-bibit yang boleh menyebabkan Malaysia menjadi sebuah negara yang gagal. Mudah-mudahan Allah s.w.t. menjauhi kita daripada sebarang malapetaka,” tegasnya.

Beliau juga bangga dengan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan pemimpin pergerakan di semua peringkat yang berani bersuara demi menyelamatkan negara.

“Tahniah kerana berani membuat kenyataan mengenai hal ehwal negara khususnya tentang isu yang menjejaskan imej negara seperti 1MDB dan derma politik RM 2.6 bilion kepada Perdana Menteri.

“Saya amat menghormati dan menghargai pandangan berani Ketua Pemuda yang saya percaya dibuat berlandaskan prinsip kebenaran dan keadilan yang teguh berpandukan ajaran Islam,” katanya.

Muhyiddin juga berterima kasih kepada Khairy dan pemimpin Pemuda kerana menyokongnya untuk terus kekal sebagai Timbalan Presiden yang dipilih oleh perwakilan dalam pemilihan parti.

“Ucapan penghargaan dan terima kasih juga saya tujukan kepada sahabat-handai, ahli-ahli Umno akar umbi dan rakyat Malaysia yang tidak putus-putus memberikan sokongan, dorongan dan kata-kata semangat kepada saya supaya meneruskan perjuangan menegakkan kebenaran demi menyelamatkan UMNO, bangsa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya,” katanya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers