Taliban mengaku bertanggungjawab 'serangan dalam' di lapangan terbang Kabul

Taliban mengaku bertanggungjawab 'serangan dalam' di lapangan terbang Kabul

KABUL: Taliban hari ini mengaku bertanggungjawab bagi satu 'serangan dalam' di lapangan terbang Kabul yang mengakibatkan tiga kontraktor Amerika Syarikat dan seorang rakyat Afghanistan terbunuh.

Maklumat lanjut kejadian malam semalam itu masih belum jelas, di mana seorang jurucakap misi NATO berkata insiden itu masih lagi dalam siasatan.

Seorang pegawai pertahanan Amerika Syarikat di Washington memberitahu AFP bahawa mangsa rakyat Amerika Syarikat itu adalah di bawah kontrak Jabatan Pertahanan negara terbabit bagi membantu latihan tentera udara Afghanistan.

"Seorang mujahid Afghanistan bekerja di pihak tentera di lapangan terbang Kabul itu melepaskan tembakan terhadap askar Amerika Syarikat dan menyebabkan tiga rakyat Amerika Syarikat terbunuh," katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Tentera Barat dan rakyat awam yang menjalani latihan pasukan keselamatan Afghanistan sentiasa berhadapan dengan serangan maut dari rakyat Afghanistan yang berseragam yang melepaskan tembakan ke arah rakan mereka.

Tentera NATO mengambil langkah keselamatan khas sejak beberapa tahun lalu untuk berhadapan dengan ancaman seperti itu.

Lapangan terbang di ibu negara Afghanistan itu dikawal ketat dengan satu bahagian dikhaskan untuk pesawat komersial manakala bahagian lain adalah untuk kontinjen NATO.

Serangan kelmarin berlaku berikutan keganasan Taliban yang kembali memuncak sejak tahun lalu.

Sementara itu, sekurang-kurangnya sembilan terbunuh dalam kejadian berasingan semalam di timur negara itu apabila seorang pengebom bunuh diri meletupkan bom di sebuah majlis pengebumian mangsa satu serangan bom tepi jalan.

Kebanyakan tentera NATO berundur dari Afghanistan sejak tahun lalu meninggalkan hanya sebilangan kecil kira-kira 12,000 yang masih berada di negara itu bersama 10,600 tentera Amerika Syarikat.

Tentera Amerika Syarikat, bersama tentera NATO yang lain dan kontraktor persendirian membantu Afghanistan untuk meningkatkan logistik dan membina sebuah angkatan tentera yang baharu. - AFP

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers