KUALA LUMPUR: Pengisytiharan rasmi bahawa pesawat Malaysia Airlines MH370 sebagai satu kemalangan dibuat berdasarkan ketetapan dan definisi yang ditetapkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Menurutnya, hakikat bahawa pesawat Boeing 777 itu tidak mendarat di mana-mana lapangan terbang selepas berlepas dan tidak sampai ke destinasi dituju dan misi mencari pesawat itu tidak mencapai matlamatnya, menjadi antara faktor insiden itu dianggap sebagai satu kemalangan.
"Dengan itu apa yang berlaku kepada MH370 boleh dinyatakan sebagai kemalangan mengikut ketetapan ICAO.
"Kita tak reka ayat tersebut (kemalangan) sesuka hati," katanya dalam satu program yang disiarkan RTM1 malam ini.
Liow menegaskan bahawa kerajaan begitu berhati-hati dalam penggunaan perkataan "kemalangan" atau "insiden" yang mana apa yang berlaku kepada MH370 disifatkan sebagai kemalangan.
Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman dalam satu pengumuman khas mengisytiharkan penerbangan MH370 sebagai satu kemalangan dan semua penumpang dan anak kapalnya dianggap telah terkorban.
Pesawat yang menuju ke Beijing itu hilang daripada imbasan radar selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014.
Liow seterusnya berkata misi pencarian pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal ketika ia hilang itu, akan diteruskan dan sekali gus mendapatkan jawapan berhubung punca kemalangan berkenaan.
Katanya penentuan punca kemalangan itu akan membantu meningkatkan kemampuan sistem radar dan kapasiti kotak hitam dalam sesuatu penerbangan.
Selain itu, Liow menarik perhatian bahawa pengisytiharan itu dibuat dengan mengambil kira kepentingan keluarga dan waris penumpang dan anak kapal MH370.
"Kita tidak buat sesuatu untuk (sengaja) menyedihkan hati mereka. Adalah tidak benar kita tidak berhubung atau berbincang dengan NOK (waris)," katanya.
Menyentuh soal pampasan kepada waris dan keluarga mangsa, katanya Malaysia Airlines perlu mematuhi apa-apa undang-undang berkaitan.
Namun beliau berkata walaupun pampasan ditawarkan, terpulang kepada waris dan keluarga untuk membuat keputusan mengenainya.
"Kita tidak memaksa anggota keluarga untuk menerima pampasan yang ditawarkan," katanya sambil menambah perbincangan boleh dilakukan dengan pihak Malaysia Airlines dalam soal pampasan. - BERNAMA
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.