Siapa yang tidak mahu dihargai? - Raja Ilya

Siapa yang tidak mahu dihargai? - Raja Ilya Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bh.com.my


Raja Ilya

KUALA LUMPUR: Raja Ilya antara pelakon yang laris di pasaran ketika ini dan dramanya sedang berderet disiarkan. Jadi tidak hairan namanya tidak tercicir lagi tahun ini untuk pencalonan awal kategori Pelakon TV Wanita, Anugerah Bintang Popular (ABP) BH 2014.

Tahun lalu, dia mara sebagai calon Top 5 kategori berkenaan. Untuk tahun ini, pelakon kacukan Melayu, Malayalam, Arab dan Pakistan ini tidak meletakkan harapan melangit. Namun jauh di sudut hatinya, pelakon mana yang tidak mahu diiktiraf bakat seninya.

Hingga kini dia belum memenangi trofi mana-mana anugerah arus perdana. Tetapi pernah diangkat menerusi Anugerah Filem Malaysia Tamil dua tahun lalu apabila merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Appalam arahan Afdlin Shauki.

Bagi pelakon yang membintangi filem Suamiku, Encik Perfect 10! itu, dia tidak pernah rasa terpinggir sekalipun belum pernah mendapat pengiktirafan dalam anugerah anjuran komuniti penggiat seni Melayu.

"Saya tak rasa begitu (terpinggir) kerana tanpa sedar ramai sebenarnya yang menghargai bakat saya. Cuma segelintir pihak saja yang memperkecil-kecilkan bakat saya. Saya percaya suatu hari nanti, mungkin tuah akan berpihak kepada saya untuk diiktiraf.

"Lagipun soal pengiktirafan ini jika ia membabitkan undi peminat macam ABPBH dan bermakna peminat berhak memilih sesiapapun yang mereka suka. Begitu juga anugerah membabitkan juri profesional, mereka ada sebab kenapa seseorang pelakon itu diangkat sebagai pemenang.

"Namun bercakap soal impian sudah tentulah saya atau sesiapa saja mahukan hasil kerja kita dihargai dengan kemenangan anugerah sebagai bukti," katanya.

Dalam filem terbarunya, Suamiku Encik Perfect 10! arahan Feroz Khan, Ilya mempamerkan lakonan hebat menerusi watak Azura Hanim di samping teraju utama Aaron Aziz sebagai Zarief Danial dan Lisa Surihani (Aleeya Azmeen). Sekali lagi watak antagonis diberikan kepadanya.

Dalam filem itu terbitan Astro Shaw yang kini sedang ditayangkan, Azura adalah tunang kepada Zarief yang jatuh hati kepada Aleeya selepas menyamar menjadi suami kepada wanita itu yang hamil gara-gara dirogol teman lelakinya, Syed Muzaffar lakonan Syazwan Zulkifly.

Azura yang menyambung pengajian di United Kingdom serta berjauhan dengan Zarief menjalin hubungan sulit dengan jurugambar, Akram lakonan Jehan Miskin sehingga hamil.

Menyedari dirinya hamil anak Akram, Azura tidak semena-mena mahu mempercepatkan majlis perkahwinannya dengan Zarief dan sengaja memerangkap Zarief dengan merakamkan foto-foto intim ketika lelaki itu tidak sedarkan diri akibat dadah yang dicampur ke dalam minumannya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers