Apple untung besar didorong jualan luar biasa iPhone

Apple untung besar didorong jualan luar biasa iPhone

SAN FRANCISCO: Apple Inc mencatat rekod baharu dengan untung sebanyak AS$18 bilion (RM65 bilion) bagi suku pertama tahun kewangan 2015 berikutan sambutan luar biasa terhadap iPhone terutama di China.

Mengikut syarikat teknologi itu, hingga kini ia sudah menjual satu bilion peranti yang menggunakan sistem operasi (OS) iOS.

Apple juga mengumumkan peranti pintar boleh dipakai, Apple Watch yang diperkenalkan tahun lalu akan mula dijual April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tim Cook, berkata syarikat berterima kasih kepada pengguna yang memberi sambutan luar biasa kepada produk Apple.

"Permintaan bagi iPhone sangat menakjubkan, jauh lebih tinggi daripada jangkaan kami," katanya.

Penganalisis di Forrester, Frank Gillet, berkata permintaan luar biasa kepada iPhone adalah petunjuk peningkatan minat pengguna terhadap telefon pintar dengan skrin lebih besar.

"Saya jangkakan peningkatan jualan di China dan seluruh dunia akan bertahan buat beberapa lama lagi," katanya.

Rekod untung pada suku pertama berakhir 27 Disember 2014 itu disandarkan kepada pendapatan AS$74.6 bilion (RM269 bilion), didorong jualan 74.5 juta iPhone, jauh lebih tinggi daripada unjuran penganalisis.

Paras untung yang dicatatkan Apple itu lebih besar daripada rekod sebuah perbadanan korporat di AS ketika ini, iaitu AS$15.9 bilion (RM57.3 bilion) yang pernah dicatat ExxonMobil pada suku kedua 2012.

Jualan iPhone meningkat sekali ganda di China, pasaran telefon pintar kedua terbesar Apple, kata ketua pegawai kewangan, Luca Maestri.

Dalam pada itu, jualan iPad jatuh pada suku dikaji, tetapi Apple mencatat rekod baharu jualan komputer Macintosh dan pendapatan yang diraih daripada pembelian menerusi App Store.

Begitupun Cook menzahirkan keyakinannya terhadap potensi jangka panjang iPad. Bilangan pembeli kali pertama peranti itu kekal kukuh di China, Britain dan Amerika Syarikat (AS), tambahnya.

Cook turut akui bahawa iPhone skrin besar mungkin menjejaskan pasaran iPad dan komputer Macintosh. Lantaran itu, beliau yakin kerjasama dengan IBM akan menjadikan iPad lebih menarik kepada syarikat, sebagai peranti di tempat kerja.

Dengan mengambil kira prestasi kewangan semasa, lembaga pengarah Apple mengumumkan dividen tunai 47 cents (RM1.70) sesaham yang akan dibayar pada 12 Februari ini.

Saham Apple naik lima peratus kepada AS$115.20 (RM415) dalam sesi selepas dagangan malam tadi. - AFP

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers