Ramalan bagi musim 2014/2015: Kekal tempat ketiga
CERITA Chelsea, musim ini tampak mudah - sama ada Jose Mourinho menang sekurang-kurangnya satu trofi utama atau bersedia mencari pasukan baru untuk musim depan.
Andai berpandu kepada selera besar pemilik kelab berkenaan, Roman Abramovich, hanya gelaran juara boleh menjadi 'hidangan lazat' atas meja makan apabila musim bola sepak, termasuk Liga Juara-juara, berakhir Mei depan.
Sebagai ahli perniagaan dia sudah pasti mahu melihat pelaburannya berbaloi dan hartawan dari Russia itu akan bosan untuk mendengar apa-apa alasan lagi jika gagal, terutama merampas semula mahkota kejuaraan Liga Perdana Inggeris daripada Manchester City.
Tahun lalu, Mourinho kembali semula ke Stamford Bridge dengan memberi harapan apabila menerajui liga satu ketika tapi cuma tiada konsisten sepanjang tempoh liga, tambahan penyudahan tenaga penggempur yang seolah-olah kaku depan gawang lawan turut menyentap cabaran pasukan.
Bagi Abramovich, masa diberi kepada Mourinho melakukan eksperimen membina pasukan juara sudah berakhir dan musim ini pemilik kelab itu akan menuntut hasil lumayan setimpal dengan apa yang dia belanjakan.
Mourinho harus melupakan kata-kata yang dia gemar menggunakan apabila melabelkan Chelsea 'Kuda Kecil' (Little Horse) pada musim lalu. Pendekatan sama tidak boleh berulang kerana pada tanggapan pihak pengurusan, kuda-kuda berkenaan seharusnya sudah matang untuk menyahut cabaran kali ini.
Apa tidak, pembelian bintang baru, termasuk Diego Costa dari Athletico Madrid dan Cesc Fabregas dari Barcelona yang berharga lebih RM300 juta itu sekadar mendekatkan kepada hakikat betapa The Blues sudah memiliki barisan yang harus mengilhamkan kejuaraan dan bukan menjadi pencabar kuat.
Didier Drogba - pemain kegemaran pengendali berbangsa Portugis itu - juga sudah kembali ke pangkuan pasukan selepas mewakili kelab Turki, Galatasaray, musim lalu dan kehadiran bekas pemain Ivory Coast itu yang penuh berpengalaman harus membantu penyerang lain belajar untuk menjaringkan gol.
Selain Costa, Fabregas dan Drogba, Chelsea juga membeli Mario Pasalic dari Hadjuk Split dan Filipe Luis dari Atletico Madrid selepas tidak menyambung kontrak penyumbang besar yang setia seperti Frank Lampard yang berpindah ke New York City sebelum majikan barunya meminjam pemain tengah itu kepada musuh Chelsea, Manchester City.
Begitu juga orang lama, Ashley Cole yang berpindah ke Roma, Demba Ba (Besiktas), Romelu Lukaku (Everton) serta penyerang veteran, Samuel Eto'o yang difahamkan belum ada kelab ketika ini.
Mourinho boleh menyandarkan harapan ke atas bakat muda seperti pemain bek tengah berusia 19 tahun dari Perancis, Kurt Zouma dan pemain muda dari Belanda, Marco van Ginkel untuk memberi tenaga tambahan. Cuma masa akan memberi jawapan sama ada segala congakan dengan bekalan pemain yang ada akan memberi hasil seperti dijangkakan.
Tekanan harus dirasai pengurus berusia 51 tahun ini kerana selain kejuaraan EPL, Abramovich juga mengharapkan trofi di Eropah dan apakah dia ada muslihat terbaharu untuk membina pasukan dengan kelompok pemain yang dia anggap boleh membawa perubahan kepada wajah cabaran pasukan.
Jika ada pun ia mungkin berkisar kepada prestasi dan kelibat Diego Costa - penyerang berusia 25 tahun yang berasal dari Sergipe, Brazil untuk mencari gol dan kemenangan pasukan.
Andai penggempur skuad kebangsaan Sepanyol ini menemui sentuhan tajam dan kerap membocori gawang lawan jelas Chelsea ada harapan untuk mengancam pasukan elit lain dalam liga seperti Man City, Liverpool, Manchester United atau Arsenal.
Walau pun ada Costa, aspek yang tidak diragui pada pasukan adalah kekuatan bahagian pertahanan yang hanya melepaskan 27 gol daripada jumlah 38 perlawanan, musim lalu - satu statistik yang memberi gambaran betapa lawan mereka nanti dalam liga akan menghadapi kesukaran sama menembusi benteng berkenaan.
Mourinho dikenali dengan caranya tersendiri mencanang kekuatan pasukan bermain mantap secara bertahan untuk memenangi sesuatu perlawanan dan ia tidak akan berubah kali ini kerana ia sudah menjadi tabiatnya berbuat demikian.
Dengan kehadiran penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois, Cesar Azpilicueta, Gary Cahill, John Terry dan Felipi Luis pasukan The Blues itu boleh menyebut mereka memiliki benteng terbaik dalam liga. Ia tetap akan dilihat mantap walaupun tanpa penjaga gol, Petr Cech dan Branislav Ivanovic.
Jadi, corak permainan dan strategi Chelsea rata-rata tidak akan banyak berubah berbanding musim lalu kerana Mourinho seorang yang mempercayai falasafah sendiri untuk menyusun barisan kesebelasan dan mencari kemenangan - satu taktik yang harus sudah dibaca pihak lawan dan akan lebih bersedia walaupun oleh pasukan kerdil seperti Hull City atau West Bromwich Albion.
Mourinho harus sedar ketika ini betapa dia akan diuji setiap masa kerana pembelian besar sudah pun dilakukan dan dengan barisan bintang musim lalu masih menjadi sandaran seperti Oscar, Willian, Andre Schurrle, Ramires dan Eden Hazard tiada sebab kelab tersohor ini harus ke belakang lagi.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.