RM27j dana kawal denggi

Putrajaya: Kabinet semalam meluluskan peruntukan RM27 juta untuk memperhebatkan program serta usaha kawalan denggi di seluruh negara, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Antara aktiviti itu, katanya, adalah mengedarkan lebih 100,000 kit diagnosis denggi ke klinik swasta sekitar Lembah Klang untuk melakukan pemeriksaan awal ke atas pesakit disyaki menghidap demam yang boleh membawa maut itu.

Kit diberi secara berkala

Kit diberikan secara berkala kepada klinik swasta berminat melalui Jabatan Kesihatan daerah yang akan menghantar pegawainya ke klinik itu serta memberikan khidmat nasihat mengenainya. Kita akan bekalkan 10 hingga 20 kit ini kepada setiap klinik.

Ujian ke atas pesakit yang dibuat menggunakan kit terbabit adalah percuma dan doktor klinik itu tidak boleh mengenakan bayaran. Mereka juga perlu merekodkan maklumat serta hasil diagnosis yang diperoleh. Jika kit habis digunakan, kita akan bekalkan lagi, katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Melalui peruntukan itu juga, katanya, kementerian akan menambah kakitangan untuk kegiatan kawalan denggi dan mendapatkan khidmat pihak swasta bagi membantu operasi penyemburan ubat serta langkah berkaitan.

Mengenai perkembangan kes denggi, beliau berkata, setakat 9 Ogos lalu, 59,790 kes dicatatkan bersama 120 kematian dengan Kelantan mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu 1,160 kes, diikuti Selangor 1,042 kes, manakala Selangor, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan menunjukkan rekod mendatar.
Minggu lalu saja, 2,980 kes dilaporkan di seluruh negara, iaitu peningkatan 1,146 kes atau 62 peratus berbanding minggu sebelumnya. Sebanyak 13 kematian turut dicatatkan termasuk enam di Selangor, lima di Kelantan dan dua di Johor, katanya.

Lancar kempen bersepadu

Di Ipoh, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata kerajaan negeri akan melancarkan kempen bersepadu termasuk gotong-royong besar-besaran di seluruh negeri bagi memerangi denggi.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir meminta jawatankuasa denggi negeri melaksanakan gerak kerja lebih aktif, meneliti dan membincangkan semua aspek penyebaran wabak. Saya sendiri akan turun padang bertemu pemimpin kampung dan penduduk bagi menerangkan situasi wabak itu, katanya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers