2 produk konon dari Madinah dikesan mudarat kesihatan

Putrajaya: Kementerian Kesihatan mengingatkan orang ramai jangan menggunakan produk berlabel Skyline Al Taqwa Sakit Pinggang & Lutut dan Skyline Al Taqwa Gaut Asam Urat yang didakwa ubat tradisional dari Madinah.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ujian Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) mendapati kedua-dua produk itu boleh memudaratkan kesihatan kerana mengandungi dexamethasone, sejenis kortikosteroid yang dikawal mengikut Akta Racun 1952.

Dalam satu kenyataan semalam, beliau berkata, pengambilan dexamethasone secara berpanjangan boleh mengakibatkan kesan sampingan serius seperti lemah otot, rapuh tulang, peningkatan gula dalam darah, tekanan darah tinggi dan glaukoma.

Pengambilan produk itu juga boleh menyebabkan sindrom cushing, iaitu dengan ciri muka membulat dan bahagian atas badan membesar, tapi lengan dan kaki seolah-olah mengecil selain kesan buruk psikiatri seperti euphoria atau keriangan, kemurungan dan psikosis, katanya.

Terima empat laporan kesan buruk

Beliau berkata, BPFK menerima empat laporan kesan buruk akibat pengambilan produk yang mengandungi steroid itu termasuk kesan serius seperti perubahan tingkah laku selain simptom keriangan.

Mereka yang mempunyai stok produk itu diminta menghentikan penjualan, pengedaran dan penggunaannya serta-merta kerana ia salah mengikut Akta Jualan Dadah 1952 selain Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai produk tidak berdaftar itu pula dinasihatkan menghubungi Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan di talian 03-78413200, cawangannya atau e-mel kepada pharmacy1@moh.gov.my.

Pengguna produk itu diminta segera mendapatkan nasihat pakar kesihatan, manakala yang sudah mengambilnya untuk jangka masa lama, dinasihatkan supaya tidak menghentikan penggunaannya secara mendadak kerana boleh menyebabkan masalah withdrawal sindrom yang serius, katanya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers