Suami Fyza Kadir Tak Larang Berlakon, Cuma….

Suami Fyza Kadir Tak Larang Berlakon, Cuma….

Suami Fyza Kadir Tak Larang Berlakon, Cuma….

Sering muncul di beberapa majlis fesyen kebelakangan ini,  pelakon Kisah Paling Gangster, Fyza Kadir, 29 menafikan bahawa dia memilih untuk meninggalkan dunia lakonan yang berjaya memperkenalkan namanya sebagai seorang pelakon.

Malah, Fyza Kadir juga menafikan, bahawa selepas berumahtangga dengan seorang ahli korporat bernama Ahmad Feruz Zainal Abidin, 33 pada Julai tahun lalu, dia dikatakan mula memperlahan diri daripada terus beraksi di kaca TV mahupun di layar perak.

Sebaliknya pelakon tinggi lampai dan cantik manis itu berkata kepada portal murai.com.my, dia masih menunggu tawaran sesuai buat dirinya asalkan tidak membabitkan adegan berpelukan atau di atas katil bagi menjaga nama baiknya sebagai isteri dan menantu kepada keluarga suaminya.

“Suami saya sangat menyokong kerjaya saya. Malah dia sendiri menasihati saya supaya memberi tumpuan kepada bidang lakonan drama kerana padanya lebih susuai untuk saya.

“Tawaran itu ada, walaupun tak sebesar mana, saya akan tetap mempertimbangkannya. Cuma bidang lakonan hanyalah tempat saya mencuba nasib dan sebagai suka-suka saja.

“Lagipun baru saja lima bulan kami berkahwin, masih awal lagi untuk saya memikirkan soal berlakon. Tetapi kalau ada tawaran pasti saya akan lakukannya.

“Bagi suami saya pula, asalkan adegan itu tak ada adegan berpelukan atau atas katil, dia tak kisah. Kerana dia memang galakkan saya berlakon. Apa yang penting saya perlu menjaga nama baik saya seorang seorang isteri dan keluarganya juga,” katanya jujur.

Fyza Kadir juga turut menjawab spekulasi keputusannya berkahwin secara mengejut selepas menjalinkan hubungan selama setahun dengan jejaka idamannya itu.

Katanya, dia langsung tidak berniat untuk menyembunyikan daripada sesiapa. Tetapi menurut artis di bawah pihak pengurusan MIG itu, segalannya tidak dirancang apabila suaminya itu telah melamarnya lebih awal.

Tambah Fyza lagi, dia seboleh-bolehnya tidak mahu menggembar-gemburkan hubungan cintanya dengan suaminya itu, kerana takut hubungan mereka tidak akan kekal lama atau tidak berakhir di jinjang pelamin.

“Pada awalnya kami merancang untuk berkahwin pada hujung tahun lalu tetapi jodoh datang lebih awal dan kami telah bersatu dalam sebuah perancangan majlis perkahwinan yang sangat singkat.

“Keluarga saya juga turut mendapat perkhabaran itu dalam masa yang agak singkat. Saya pergi membeli baju perkahwinan di butik Alia Bastamam juga dalam masa yang agak mengejut. Tetapi Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.

“Bukannya saya tak mahu kongsikan hubungan kami dengan pihak media dan peminat, tapi bimbang sekiranya hubungan kami tak menjadi. Malah,jika saya bukan seorang artis sekalipun, saya akan buat perkara yang sama.

“Biarlah bila semuanya sudah pasti, barulah saya beri tahu semua. Tak nak nanti orang akan fikir yang bukan-bukan,” katanya yang merancang untuk memiliki 3 orang cahaya mata.

Fyza Kadir kini kerap berkongsi fotonya bersama suami dilaman Instagram peribadinya, tidak kira ketika menghadiri acara fesyen, bercuti atau bersiar-siar di hujung minggu.

Mereka juga nampaknya memiliki persamaan terutama dalam soal bergaya, membeli-belah dan disifatkan sebagai seorang suami penyanyang yang sanggup melakukan aktiviti bersama-sama apabila ada masa terluang.

“Suami saya seorang yang sangat supportive. Dia juga seorang yang sangat pemalu. Kalau di rumah sekalipun, dia suka buat kerja bersama-sama dengan saya.

“Dari sudut berfesyen pula, dia bukanlah terlalu pandai dalam hal ini kerana dia seorang ahli korporat. Jadi pakaiannya banyak menonjol kearah itu. Cuma selepas kahwin, saya banyak membantunya dalam soal menjaga penampilannya,” katanya sambil ketawa.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers