Michelle Yeoh duta belia iM4U

Malaysia, Hiburan, Artis Malaysia, Artis Hong Kong, Selebriti, Tan Sri Michelle Yeoh, Duta, Belia, iM4U
Tan Sri Michelle Yeoh


NOR ATIEYAH YUSOFF
20 Jun 2013

SIAPA  yang tidak mengenali figura tersohor ini? Sejak membintangi filem James Bond, Tomorrow Never Dies (1997) bersama aktor kacak, Pierce Brosnan, namanya menjadi sebutan di seluruh pelosok dunia.

Memoirs of a Geisha, The Mummy: Tomb of the Dragon Emperor dan terbaru, The Lady sebagai Aung San Suu Kyi, berjaya meletakkan Tan Sri Michelle Yeoh sebagai bintang versatil dan amat dikagumi.

Bukan saja berbakat besar, aktres ini turut mendapat pengiktirafan 50 Most Beautiful People di dunia menerusi majalah People dan turut tercalon dalam BAFTA (2000) bagi kategori aktres terbaik untuk filem seni mempertahankan diri, Crouching Tiger, Hidden Dragon.

Walaupun usianya kini sudah mencecah separuh abad namun anak kelahiran Ipoh, Perak, ini masih aktif menabur bakti kepada negara sendiri.

Malah atas jasanya dalam mengharumkan nama negara ke seluruh dunia, beliau dikurniakan pingat Panglima Setia Mahkota daripada DYMM Yang diPertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, sempena hari keputeraan baginda pada 1 Jun lalu.

Malaysia, Hiburan, Artis Malaysia, Artis Hong Kong, Selebriti, Tan Sri Michelle Yeoh, Duta, Belia, iM4U
Tan Sri Michelle Yeoh bersalam dengan Datuk Seri Najib Tun Razak.


Peka nasib wanita

Turut dilantik sebagai mentor pertama bagi 1Malaysia For Youth (iM4U) yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, ternyata semangat cintakan tanah air sendiri masih menebal di hati Yeoh.

Bagi pelakon antarabangsa itu, pelantikan tersebut dilihat sebagai satu pengiktirafan dan pencapaian luar biasa dalam membantu negara.

Sebagai langkah pertama, beliau bekerjasama dengan iM4U bagi menentang aktiviti jenayah terutamanya kawasan hitam yang mendedahkan kaum hawa kepada bahaya.

Menurut Yeoh, kawasan seperti tempat meletak kenderaan, stesen LRT dan hentian bas sering menjadi tumpuan penjenayah yang menjadikan wanita sebagai mangsa.

"Saya terpanggil untuk membantu wanita setelah mendengar pelbagai berita mengenai keganasan terhadap wanita terutamanya kejadian ragut.

"Kami sedang mencari jalan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat dan kami akan mengumumkan sebaik sahaja sedia untuk dilancarkan," katanya yang juga merupakan Duta Global Make Roads Safe.

Tambah Yeoh, jika sebelum ini dia banyak berkempen mengenai keselamatan jalan raya di seluruh dunia, kini tiba giliran untuknya melakukan sesuatu di negara kelahirannya sendiri.

Aktif berlakon selepas bercerai

Menyingkap kembali perjalanan seninya, seawal usia 21 tahun, Yeoh memenangi pertandingan Miss Malaysia (1983) dan mewakili negara ke Australia bagi Queen Of The Pacific dan Miss World di London.

Kemunculannya dalam iklan televisyen bersama Jackie Chan berjaya menarik perhatian sebuah produksi Hong Kong, D&B Films.

Sejak itu dia dilamar beraksi di layar perak dan percaturannya dalam filem aksi seperti Yes Madam (1985) berjaya membuahkan hasil.

Bagaimanapun, selepas membintangi filem Easy Money (1987), Yeoh mengambil keputusan untuk meninggalkan karier seninya. Keputusan itu dibuat setelah dia mengahwini penerbit dan juga 'tauke' produksi filem itu, Dickson Poon.

Beberapa tahun selepas itu, Yeoh berdepan konflik rumah tangga dan nekad bercerai pada 1992. Beliau kemudiannya kembali aktif berlakon dan rancak membintangi pelbagai filem di peringkat antarabangsa.

Sebati dengan dunia lakonan, Yeoh tetap menerima tawaran lakonan meskipun usianya sudah mencecah 50 tahun. Malah beliau mengesahkan bakal membintangi filem Crouching Tiger, Hidden Dragon 2.

“Saya teruja untuk membintangi filem ini saya sedang berusaha sedaya upaya agar penggambaran filem ini dapat dilakukan di Pinewood Iskandar Malaysia Studios.

"Ianya lebih mudah untuk saya menjalankan tugas sebagai pelakon dan juga duta iM4U di sini,” katanya yang sudah membintangi hampir 40 filem.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers