RAZIATUL HANUM A.RAJAK
19 Jun 2013
PENYANYI popular, Shila Amzah yang sedang giat membina kerjayanya di Shanghai mengibaratkan hidupnya di sana bagaikan di kem tentera.
Sinar Harian Online berpeluang menemui anak gadis ND Lala ini di Majlis Pelancaran Anugerah Industri Muzik ke-20, hari ini.
"Saya rasa macam kat kem tentera," katanya sambil ketawa apabila diminta berkongsi cerita kehidupannya di Shanghai.
Shila memberitahu, terdapat beberapa tugas yang perlu dilaksanakan olehnya termasuk menurunkan berat badan.
"Pihak pengurusan di sana sangat teliti. Bos beri saya tugas-tugas tertentu yang saya perlu buat. Antaranya, belajar bahasa Mandarin, belajar lagu baru untuk persembahan dan turunkan berat badan.
"Saya perlu turunkan berat badan sebanyak 10 kilogram (kg). Dalam tempoh sebulan saya berjaya turunkan 5 kg. Saya perlu ke gimnasium selalu," katanya yang tidak mengambil sebarang daging sepanjang tempoh itu.
Shila juga memberitahu, dirinya mengambil masa seminggu untuk belajar lagu opera berjudul Time To Say Goodbye.
"Lagu opera memang tak pernah buat, jadi, itu cabaran untuk saya. Lagu itu untuk persembahan di majlis anugerah dan setiap majlis anugerah, lagu yang diberi berlainan.
"Pasaran opera di sana agak besar. Ia seolah-olah pendedahan buat saya kepada golongan selain golongan muda," katanya.
Mengulas soal perkembangan bahasa Mandarin yang dipelajarinya, Shila mengakui ia masih belum mencapai tahap standard.
"Untuk perbualan harian, saya dah lepas tapi untuk bahasa standard masih belum lagi.
"Sekarang saya 'disimpan' dulu. Mereka beri saya dua bulan untuk pelajari bahasa Mandarin sebab mereka ada projek besar untuk saya," katanya.
Menurut Shila jadual hariannya kini sangat padat.
"Dunia saya, rumah, kerja dan gimnasium. Kalau nak berseronok, saya dan kawan-kawan akan ke taman tema," katanya.
Penyanyi Patah Seribu ini juga tidak lari daripada tekanan kerja.
"Kadang-kadang saya tertekan sebab mereka mempunyai harapan yang tinggi terhadap saya. Mereka anggap saya boleh buat apa saja," katanya.
Bercakap soal perkembangan albumnya, Shila bakal melancarkan album Melayunya yang kelima dalam masa terdekat dan album Mandarinnya pada bulan Ramadan nanti.
kesian kt awek aku. huhuhu
ReplyDeletealamak fanatik kat shila gak ker? heheheeh terima kasih kerana sudi singgah dan komen di blog is ya?
Delete