MARINA SAHABUDIN
20 Jun 2013
BARU sahaja disiarkan bermula 10 Jun lalu di Slot Azalea, setiap hari Isnin hingga Khamis jam 4 petang di TV3, drama bersiri Iman Nabila mempertaruhkan barisan pelakon popular dan handalan tanah air seperti Shahrizal Jazle, Mahmud Ali Basha, Fazlina Datuk Ahmad Daud dan Kuza sebagai teraju utama.
Mendapat sentuhan pengarah Suhaimi Lua, drama 16 episod ini mengetengahkan konflik kekeluargaan dan kasih sayang seorang nenek terhadap cucunya.
Demi harta dan wasiat, neneknya sanggup membeli seorang bayi lelaki bagi mewarisi harta menantunya itu.
Berkongsi lebih lanjut mengenai Iman Nabila, Suhaimi berkata, meskipun pada awalnya dia bimbang kontroversi penangkapan khalwat pelakon utamanya Shahrizal, namun dia yakin perkara itu tidak menjejaskan karyanya itu.
“Penonton kini bijak membezakan hal peribadi dan kerja artis kesayangan mereka, walaupun Shahrizal berhadapan dengan perkara ini namun saya lihat dia mampu memberi komitmen terbaik sepanjang di set penggambaran.
“Walaupun saya tahu ia tetap memberi impak namun pihak kami melihatnya dari sudut positif,” katanya kepada Zass.
Akuinya, dia juga lega kerana pihak Suhan Movies & Trading Sdn Bhd yang merupakan penerbit drama ini tidak menukar peranan yang dibawakan Shahrizal kepada pelakon lain.
“Bayangkan jika watak itu diserahkan kepada orang lain, pasti sukar bagi saya mencari penggantinya,” katanya memuji sikap Shahrizal yang profesional di set.
Yakin kemampuan Faeza
Selain nama-nama besar dipilih untuk membintangi drama ini, pelakon sedang meningkat naik, El Faeza Ul Haq juga diberi kepercayaan memegang peranan utama sebagai Nabila.
Ditanya pemilihan pelakon yang baru mencipta nama menerusi drama Adam dan Hawa serta Cinta Qaseh itu, Suhaimi berkata, bukan kerana tidak mempunyai pilihan lain, sebaliknya dia yakin dengan kemampuan pelakon dari Singapura itu.
“Nabila di sini adalah seorang gadis yang hidup susah dan akhirnya dipilih memegang jawatan besar di sebuah syarikat, kita tidak boleh memilih pelakon yang terlalu nampak glamor dan terlalu kampung untuk watak ini, jadi Faeza adalah yang paling layak.
“Lagipun ketika penggambaran dijalankan, kami lihat dia berjaya membawa watak tersebut dengan baik,” jelasnya.
Tambah Suhaimi, pujian juga wajar diberikan kepada pelakon senior yang lain seperti Fazlina, Mahmud Ali Basha, Wan Shade, Aida Khalida dan Kuza kerana lakonan hebat mereka.
“Tidak perlu dipertikaikan lagi keupayaan mereka menjadi setiap watak yang dipegang, bahkan bantuan mereka kepada saya sebagai pengarah baru memudahkan lagi tugas saya sewaktu penggambaran dijalankan,” katanya.
Hadapi kekangan masa
Selain berhadapan kontroversi yang melanda Shahrizal, ujar Suhaimi dia dan pihak produksi juga menghadapi cabaran lain ketika pembikinan drama ini.
“Biasalah, apabila mahu melakukan sesuatu, ada sahaja yang tidak kena dan kami sendiri terpaksa sebenarnya tidak cukup masa dan agak terburu-buru di awal penggambaran.
“Bukan kerana tidak mendapat tarikh awal dari penerbit atau syarikat televisyen tetapi kerana rombakan skrip yang dilakukan.
“Skrip yang kurang baik perlu dimantapkan supaya jalan ceritanya tidak meleret dan membosankan, jadi kami ambil banyak masa untuk mendapatkan skrip yang terbaik,” katanya masih terdapat enam episod baki penggambaran drama ini.
Diajukan mengenai inti pati utama yang hendak disampaikan menerusi Iman Nabila, katanya, sudah pastilah elemen pilih kasih dalam keluarga ditonjolkan.
“Ini adalah kisahnya dan kami harap penonton dapat menilai sejauh mana pilih kasih berlaku dalam masyarakat dahulu dan kini.
“Gara-gara terlalu dimanjakan juga, watak Iman menjadi seorang yang sangat nakal,” katanya yang turut mewujudkan pelbagai konflik dalam drama ini.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.