Manuel kebanggaan Once

Indonesia, Hiburan, Artis Indonesia, Selebriti, Manuel, Kebanggaan, Once


RAZIATUL HANUM A. RAJAK
12 Jun 2013

BARU berusia enam tahun, anak lelaki penyanyi terkenal Indonesia, Once Mekel, Manuel Mikael sudah mula menunjukkan bakatnya dalam bidang yang diceburi ayahnya.

Meskipun baru belajar piano selama enam bulan, permata hati Once dan Rietma Dhanty Angelica Immaculata Tauchid ini sudah berkebolehan membawa lagu-lagu Queen.

Once memberitahu, pada waktu lapang, Manuel dan dirinya menghabiskan masa dengan bermain piano dan drum.

"Manuel belajar main piano dan drum. Saya suka main drum sambil nyanyi dan dia akan main paino. Setakat ini, dia sudah boleh memainkan 12 lagu.

"Malah, dia sudah boleh memainkan lagu Queen. Kord lagu Queen susah. Saya pun boleh memainkan lagu itu masa belajar sekolah menengah," katanya yang begitu teruja ketika berkongsi tentang kebolehan si kecil ketika ditemui baru-baru ini.

Once juga memberitahu, Manuel sering menjadi pengkritik nyanyian sesiapa sahaja termasuk dirinya.

"Dia juga boleh mengkritik kalau ada kesilapan dalam nyanyian. Dia juga sering mengkritik nyanyian saya.

"Kalau nyanyi silap kena hati-hati sebab kalau nyanyi tak sedap mesti dia kritik," katanya.

Tidak menggalakkan anaknya menjadi pemuzik, Once memberi kebebasan kepada anaknya untuk memilih.

"Boleh juga kalau dia nak aktif dalam muzik tapi dia bebas memilih yang lain sebenarnya. Saya mendorong dia menjadi jurutera atau angkasawan.

"Saya bimbang dia tak mahu belajar Matematik. Kalau saya mendorong dia menjadi pemuzik, pasti keputusan Matematik dia teruk," katanya sambil berseloroh.

Bercakap tentang perjalanan kerjaya solonya yang sudah masuk tahun ketiga, Once akui sedang menikmati keadaan itu.

"Saya sedang menikmatinya (bergerak solo)...dan bermain muzik bersama kawan-kawan, Wawan dan Popo. Saya sangat ‘enjoy’ membuat muzik bersama mereka. Boleh dikatakan band tapi band apa ya? Kami tak ada nama, hanya projek saya saja," katanya.

Menurut Once, keadaan kini lebih mudah baginya kerana ia berkaitan dengan pembahagian masa.

"Lebih mudah bergerak solo kerana saya lebih mudah membahagi masa. Dalam band banyak ‘kepala’ jadi, perlu susun masa dan juga selera.

"Dalam Dewa, terlalu ramai yang hebat berkarya. Saya juga mahu mencipta karya sendiri, jadi, saya keluar dari Dewa," katanya yang mula bergerak solo pada tahun 2011.

Baru-baru ini, Once melancarkan album solonya yang pertama berjudul 'Once' yang mengandungi 10 buah lagu termasuk single hit seperti Hati Naluri, I Still Love You dan Dealova.

Enam daripada 10 lagu itu adalah hasil ciptaan Once.

Once juga menyimpan hasrat untuk berduet dengan artis tempatan seperti Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search dan Too Phat.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers