Sedia kain kafan sendiri

Malaysia, Hiburan, Artis Malaysia, Selebriti, Artis Veteran, Lagenda, Sedia, Kain, Kafan, Sendiri, Latifah Omar


AKMALIAH RAZAK
11 Jun 2013

Malaysia, Hiburan, Artis Malaysia, Selebriti, Artis Veteran, Lagenda, Sedia, Kain, Kafan, Sendiri, Latifah Omar


“ALLAHYARHAMAH sudah membuat persediaan untuk 'pergi'. Dia menyediakan sendiri kain kafan dan sejumlah wang agar urusan mengebumikannya dapat dilakukan apabila dia meninggal dunia.

Perkara itu dimaklumkan sendiri Allahyarhamah kepada saya sebelum dia meninggal," ujar pelakon veteran Mariani Ismail, 80, ketika memberikan penghormatan terakhir buat rakan baiknya, Allahyarhamah Latifah Omar,74, yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Ansar, pada jam 11 pagi, semalam.

Baru sahaja dikejutkan dengan berita kehilangan pelawak veteran, S Shamsuddin, pada 4 Jun lalu, kini pemergian seniwati Latifah Omar, atau nama sebenarnya Fatimah Omar, pada jam 6.19 petang, Ahad lalu, pastinya membawa kehilangan yang besar buat industri seni tanah air.

Sebelum ini, pelakon veteran ini dilaporkan baru sahaja menjalani pembedahan akibat penyakit kanser usus di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Latifah, yang menghidap kanser usus, menerima rawatan awal di Pusat Perubatan Kampung Baru sebelum dipindahkan ke PPUKM selepas mengadu sakit dan muntah pada pagi Jumaat lalu.

Sementara itu, pelakon veteran, Datuk Mustapha Maarof, memberitahu ketika lawatannya pada Sabtu lalu, arwah sudah tidak sedarkan diri.

Katanya, arwah yang turut menjalani pembedahan kedua pada 8 Jun lalu di PPUKM koma selepas pembedahan tersebut.

“Saya melawatnya pada jam 6 petang selepas pembedahan. Namun, dia sudah tak sedarkan diri. Pada petang Ahad, saya dimaklumkan beliau sudah tiada.

“Kali terakhir saya menemuinya ketika beliau menghadiri majlis anjuran pengarah veteran, Tan Sri L Krishnan di Kelab Tasik Perdana pada April lalu.

“Ketika itu, memang nampak dia kurang sihat kerana selain uzur, dia juga mengidap penyakit kencing manis,” katanya yang menyifatkan arwah sebagai bintang legenda yang sukar dicari ganti.

Ratu Cantik Singapura

Walaupun pembabitannya dalam industri berakhir pada 1973, menerusi filem Hati Batu, namun namanya bukanlah asing di kalangan masyarakat.

Selain berjaya mempamerkan lakonan berkesan, kejelitaan Latifah sememangnya menjadi igauan ramai sehinggakan beliau pernah dinobatkan sebagai Ratu Cantik Singapura pada 1953.

Mula menceburi bidang lakonan pada 1954, menerusi filem pertamanya, Panggilan Pulau, beliau sering bergandingan bersama Allahyarham Seniman, Nordin Ahmad, termasuk dalam filem, Lanchang Kuning, Gurindam Jiwa dan Cucu Datuk Merah.

Pada usia 16 tahun, beliau telah diberi peluang berlakon di sisi pelakon hebat termasuk Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Normadiah, Nordin Ahmad, Daeng Idris, Yusof Latif, A. Rahim, Saleh Kamil, S Shamsuddin, Siti Tanjung Perak, Omar Rojik, S Kandarisman dan Ibrahim Pendek.

Seterusnya, pada 1959, beliau diberi peranan sebagai Bawang Putih dalam filem, Bawang Putih Bawang Merah.

Sepanjang hayatnya, beliau telah membintangi lebih daripada 20 filem termasuk Merana, Serangan orang Minyak, Selendang Delima, Bawang Putih Bawang Merah, Raden Mas, Che Mamat Parang Tumpul, Putus Sudah Kasih
Sayang, Gurindam Jiwa, Naga Tasik Chini, Ikan Emas, Wan Perkasa, Cucu Datuk Merah, Laila Majnun, dan Hang Jebat.

Namun, setelah memiliki cahaya mata, beliau memilih bersara terus dari dunia lakonan.

Ketika ditemui Zass pada tahun lalu dalam majlis penyampaian sumbangan kepada artis veteran di ibu kota, Latifah memberitahu hajat sebenarnya hanyalah berehat sementara.

“Saya tidak pernah terlintas suntuk bersara ketika itu. Namun, setelah bertahun-tahun tak berlakon, saya jadi kekok untuk berlakon semula.

“Tidak dinafikan, saya menerima banyak tawaran berlakon filem dan drama, tapi saya tolak. Saya dah tertutup hati untuk berlakon semula dan lebih selesa berada di rumah, melayan karenah cucu-cucu,” katanya yang kembali berlakon menerusi telefilem, 50/50 arahan Melissa Saila.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers