Kehebatan Anuar Zain Terjawab Di Dalam Konsert Sulungnya!


Kehebatan, Anuar Zain, Terjawab, Di, Dalam, Konsert, Sulungnya, Artis Malaysia, Hiburan, Malaysia


Teks oleh Kheme Rosly
khemerosly@yahoo.com
Foto oleh Yap Perry

KUALA LUMPUR, 18 FEB 2013: Siapa dapat menyangkal kehebatan vokal dan karisma yang dimiliki Shahrul Anuar Zain atau lebih dikenali dengan nama Anuar Zain. Semua itu telah terjawab di pentas konsert Anuar Zain 3 Dekad: Muzik, Cinta & Sanubari yang telah berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, malam Sabtu.

Setelah 30 tahun menceburi bidang seni suara, Anuar Zain akhirnya dapat melakar satu lagi sejarah baru dalam karier seninya apabila dapat memberikan satu persembahan bertenaga dengan momen-momen yang cukup indah di hadapan 6000 penonton yang hadir membanjiri stadium tersebut.

Pada tepat jam 9 malam, tirai konsert telah dibuka dengan persembahan pembukaan dimulakan dengan lagu I'm The Lucky One disusuli dengan paparan skrin menampilkan wajah-wajah Anuar Zain sejak dari awal kemunculannya dahulu.

Sesi pembukaan diteruskan dengan lagu rancak iaitu Bila Resah dan Selamat Pagi Sang Suria. Selepas itu ia diteruskan dengan pilihan lagu balada mengusik jiwa dimana Anuar sendiri dilihat sebak mendendangkan laguJangan Bersedih Lagi dan juga Mungkin.

Dendangan lagu Ajari Aku telah memberikan kejutan apabila menyaksikan kemunculan Nora Danish di atas pentas lengkap menyarungkan busana Hatta Dolmat seperti didalam klip video single daripada albumnya yang terkini.

Penutup bagi set pembukaan telah disusuli dengan tayangan klip video Sempurnakan Aku secara eksklusif yang merupakan single terbaru albumnya dan juga sambungan kepada lagu Ajari Aku.

Sepanjang konsert berlangsung, Anuar meraih perhatian para peminatnya yang hadir dengan melemparkan kuntuman ros kepada mereka simbolik kepada perkongsian kasih sayangnya terhadap peminat yang sering menyokongnya.

Keabadian Cinta serta lagu rancak, Kau Bunga Cintaku membuka set kedua dan diteruskan dengan persembahan laguPerpisahan, Ku Hanya Milikmu danKetulusan Hati. Penutup set ini memperlihatkan penghargaan Anuar kepada tiga penyanyi bersuara hebat iaitu Adibah Noor, Dina Nadzir dan Elvira mengiringinya untuk lagu Cinta Tak Harus Memiliki.

Sesuci Cintamu yang diberi gubahan rentak yang baru telah dipersembahkan sebagai lagu pembukaan set ketiga sebelum Anuar meneruskan konsertnya malam itu dengan dendangan hits-hitsnya seperti Bidadari, Semua Untukmu, Teman Terulung dan Lelaki ini.

Antara yang mencuri perhatian apabila dia menyanyikan semula Kain Pelikat diiringi penari kanak-kanak daripada Sua Tari. Penyampaian lagu Encore daripada penyanyi ini, Sedetik Lebih telah melengkapkan konsert Anuar Zain 3 Dekad: Muzik, Cinta & Sanubari yang berlangsung hampir 2 jam lebih.

Rata-rata peminat berpuas hati dengan rangkaian lagu serta persembahan penyanyi pujaan mereka itu di pentas yang julung-julung kalinya di adakan. Kehadiran kedua ibu bapa serta kakak, Ziana Zain antara yang dilihat pada malam itu apabila memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada penyanyi yang baru saja menyambut hari ulangtahun kelahirannya yang ke-43 pada Jumaat lalu.








Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers