Corat Coret Menarik Sekitar Konsert 3 Dekad Anuar Zain


Corat, Coret, Menarik, Sekitar, Konsert 3 Dekad Anuar Zain, Artis Malaysia, Hiburan, Malaysia


KUALA LUMPUR, 20 FEB 2013: Walaupun sudah beberapa hari berlalu, konsert Anuar Zain 3 Dekad: Muzik, Cinta & Sanubari yang julung-julung kali diadakan oleh penyanyi tersohor Anuar Zain ini tetap terus diperkatakan.

Mengabdikan diri dan jiwa dalam bidang nyanyian hampir 3 dekad, Anuar Zain telah mengumpulkan semua kenangan terindah di pentas konsert Anuar Zain 3 Dekad: Muzik, Cinta & Sanubari yang telah berlangsung di Stadium Malawati, Sabtu lalu.

Bersaksikan lebih kurang 6,000 penonton yang membajiri stadium tersebut , Anuar Zain tidak menghampakan rata-rata peminatnya yang hadir memberi sokongan yang jitu terhadap konsert sulungnya itu. . Berikut adalah corat-coret menarik sekitar konsert Anuar Zain 3 Dekad: Muzik, Cinta & Sanubariyang lalu:-

-Suara penyanyi Adibah Noor memecah suasana di dalam Stadium Malawati ketika membuat pengumuman sebelum Anuar Zain mengambil tempat di atas pentas.

-lebih kurang jam 9 malam, Anuar Zain muncul daripada bawah pentas, segak menyarungkan sepasang sut lengkap dengan bow-tie melantunkan lagu Im The Lucky One sekaligus meraihkan tepukan yang gamat daripada hadirin.

-Penganjur bijak menggunakan paparan visual sepanjang konsert berlangsung dimana tayangan yang dimainkan mengikut tema dan lagu yang didendangkan ketika itu. Ia turut menayangkan rakaman video daripada peminat, pemuzik, teman rapat serta orang kuat dibelakang kejayaan Anuar Zain.

-Ada beberapa lagu yang diberi sentuhan baru daripada segi gubahan dan rentak lagu. Antara lagu yang diberi sentuhan baru oleh pengarah muzik malam itu Mac Chew adalah Bila Resah dan Sesucinya Cintamu.

-Lagu daripada album solo pertama Anuar Zain, Jangan Bersedih Lagi telah membuatkan mata penyanyi itu bergenang tatkala mendendangkannya. Ia sekali lagi berlaku apabila dia menyampaikan lagu Teman Terulung.

-Sepanjang persembahan konsert berdurasi 2 jam itu berlangsung, Anuar Zain tidak henti-henti memberikan kuntuman mawar dengan melontarkan ia kepada hadirin. Ia sebagai simbolik perkongsian cinta dan kasih sayangnya terhadap peminat.

-Dalam lagak bersahaja, Anuar Zain telah membuatkan penonton menjerit apabila dia melontarkan tuala kecil yang digunakan di atas pentas itu ketika di penghujung persembahannya. Peminat berebut-berebut mendapatkan ' tuala' itu daripada penyanyi pujaan mereka.

-Anuar yang baru memasuki usia 43 tahun pada 15 Februari iaitu sehari sebelum konsertnya berlangsung telah mendapat hadiah istimewa daripada peminatnya yang berupa barangan mewah daripada jenama Hermes.

-Stadium menjadi gamat apabila munculnya Nora Danish ketika Anuar Zain menyampaikan lagu Ajari Aku. Nora muncul membawakan adegan di dalam klip video Ajari Aku ke atas pentas di mana Nora Danish lengkap menyarungkan busana indah Hatta Dolmat Couture seperti yang dilihat di dalam klip video tersebut sebelum ini.

-Hadirin yang hadir juga berpeluang menonton sambungan kisah percintaan Anuar Zain dan Nora Danish di dalam klip video Ajari Aku apabila tayangan eksklusif klip video, Sempurnakan Aku dimainkan. Single tersebut merupakan single kedua daripada album terbarunya dan hadirin dapat melihat Anuar dan Nora bersanding di atas pelamin.

-Satu lagi kejutan telah terjadi di pentas konsert tersebut di mana kemunculan tiga wanita bersuara emas menjadi penyanyi iringan kepada Anuar Zain untuk lagu Cinta Harus Memiliki iaitu Dina Nadzir, Adibah Noor dan Elvira. Mereka telah mendapat tepukan gemuruh sebelum Anuar meninggalkan mereka di atas pentas menghabiskan lagu tersebut sekaligus menutup set kedua persembahannya pada malam itu.

-Masihkan anda ingat dengan video seorang kanak-kanak kecil mendendangkan lagu Sesucinya Cintamu di laman Youtube beberapa tahun lalu. Tayangan video ucapan anak kecil itu yang kini sudah besar telah membuka set terakhir persembahan sebelum Anuar menyampaikan lagu Sesucinya Cintamu yang diberi nafas baru.

-Tidak ketinggalan menjadi salah satu lagu tersenarai pada malam itu, Kain Pelikat merupakan lagu yang memperkenalkan Anuar ke dunia seni nyanyian sambil diiringi penari cilik daripada Swatari. Ketika ini juga Anuar bercerita bagaimana dia yang dahulunya pemalu mula menceburkan diri dalam dunia nyanyian.

-Konsert pada malam itu telah dipimpin oleh pengarah muzik hebat, Mac Chew bersama iringan 26 pemuzik lain antaranya Jenny Chin dan ramai lagi. Mac Chew adalah individu yang bertanggungjawab dan pernah bekerjasama dengan nama besar seperti Zainalabidin dan Dato` Shiela Majid sebelum ini.

-Antara individu yang mengisi kerusi hadapan penonton VIP pada malam itu adalah tidak lain dan tidak bukan, kakak kepada Anuar sendiri iaitu Ziana Zain bersama suami, Armin. Turut kelihatan kelibat ibubapa kepada Anuar yang difahamkan jarang sekali menghadiri konsert yang dijayakan oleh Anuar mahupun Ziana. Pada malam itu, kedua mereka tersenyum bangga melihat kejayaan Anuar atau nama sebenarnya, Shahrul Anuar Zain.

-Anuar yang pada mulanya menutup tirai persembahannya pada malam itu dengan lagu Lelaki Ini telah kembali ke atas pentas setelah peminat masih tidak berganjak. Saat yang dinantikan ramai apabila Anuar Zain telah menutup persembahannya pada malam itu dengan dendangan Sedetik Lebih dengan begitu baik sekali.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers