Dato` Fazley Idam Buka Klinik Psikologi


Artis Malaysia, Buka, Dato` Fazley Idam, Hiburan, Klinik, malaysia, Psikologi,


Teks oleh Kheme Rosly
khemerosly@yahoo.com

KUALA LUMPUR, 19 FEBRUARI 2013: Bermula dengan dunia nyanyian yang menaikkan nama Dato' Fazley Yaakob lebih sedekad lalu, jejaka ini tidak pernah berhenti mencuba dan merebut segala peluang yang ada. Sehingga saat ini, dia bukan sahaja dikenali sebagai penyanyi tetapi pelakon, chef dan juga penceramah motivasi.

Jejaka yang pernah popular dengan gelaran Abang Asmara daripada hits pertamanya, Asmara Ini, telah ditemui pada majlis pelancaran buku 'Motivasi Santai #Harian' di Garden Café, Midvalley Megamall, semalam.

Versatil dalam cara tersendiri, Dato' Fazley kini mendalami ilmu psikologi dan mempunyai impian membuka klinik psikologinya sendiri. Impiannya itu dilihat semakin hampir kerana kini dia dalam proses mendalami bidang Psikologi di peringkat doktor falsafah di sebuah IPTA tempatan.

"Psikologi pada saya penting dalam karier saya dan secara tidak langsung ia perlu dalam kehidupan seharian. Dari segi kerjaya ia memudahkan saya membaca dan mentafsir karakter seseorang individu dengan hanya melihat gerak geri juga pembawakan dirinya.

"Impian saya seterusnya adalah untuk membuka klinik psikologi saya sendiri. Jadi untuk merealisasikan angan-angan saya itu saya perlukan pendidikan serta pentauliahan dalam bidang psikologi untuk membolehkan saya bekerja secara sah.

"Dulu ada rakan- rakan daripada industri hiburan datang berjumpa dan meminta nasihat jika mempunyai masalah dalam hidup dan sebagainya membuatkan saya terpanggil untuk mendalami dan sekaligus menjadi ahli psikologi yang sah,"ujar Dato' Fazley tentang perancangan terkininya.

Pengaruh serta kepentingan media sosial pada ketika ini memberikan peluang kepada juara Masterchef Selebriti Malaysia ini untuk menggunakan medium itu sebagai perantaraan dengan pengikut khususnya di Twitter.

Idea menerbitkan Buku mini 'Motivasi Santai #Harian' datang apabila ramai pengikutnya di Twitter mahukan status Twitter berupa ayat motivasi itu dapat disimpan dalam bentuk buku.

"Saya menggunakan Twitter sebagai ruang saya menyampaikan kata-kata inspirasi dalam bentuk motivasi kepada pengikut saya. Pengisian status yang jelas dan santai membuatkan ramai yang suka dan sering RT semula

"Disebabkan itu saya terfikir untuk memilih status yang paling banyak mendapat RT daripada pengikut akan dibukukan supaya ia dapat disimpan sebagai koleksi kata-kata semangat. Buat masa ini, di Twitter bukan sahaja remaja yang menjadi pengikut setia tetapi datang daripada pelbagai peringkat umur.

"Diharapkan 'Motivasi Santai #Harian' dapat dijadikan bacaan berguna dan diaplikasikan dalam kehidupan harian masyarakat kita,"ceritanya mengenai idea awal tentang buku 'Motivasi Santai #Harian' yang telah berada dipasaran.

Tidak terhenti disitu, Dato' Fazley terus menimba ilmu dalam bidang-bidang yang dia pilih untuk memperkasakan lagi skill atau kemahirannya. Yang terkini dia sedang mengikuti kursus pembuatan pastri di Le Courdon Bleu, Sunway University College.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers