Malaysia terima manfaat daripada TPPA – Abdul Wahid

Malaysia terima manfaat daripada TPPA – Abdul Wahid
Penyertaan Malaysia sebagai negara awal membolehkannya meningkatkan profil negara serta daya tarikannya terhadap pelabur asing.

Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dijangka akan memberi lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan untuk mengembangkan lagi aktiviti perniagaan mereka di luar negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, perjanjian itu jika ditandatangani oleh Malaysia akan membawa kepada kebaikan ekonomi.

Beliau yang menyangkal pendapat sesetengah pihak yang mendakwa Malaysia adalah Pak Turut’ Amerika Syarikat sekiranya bersetuju menandatangani perjanjian tersebut berkata, penyertaan Malaysia sebagai negara awal membolehkannya meningkatkan profil negara serta daya tarikannya terhadap pelabur asing.

“Selain itu, antara kelebihan menjadi antara negara terawal dalam TPPA ialah membolehkan kita merundingkan terma yang sesuai dan terbaik untuk negara termasuklah mengambil kira eksklusiviti dan dasar Bumiputera serta perusahaan kecil dan sederhana,” katanya dalam Rancangan Soal Jawab terbitan TV3 berkaitan topik, ‘Ekonomi Negara’.

Sebagai contoh beliau merujuk kepada sektor elektrik dan elektronik (E&E), yang akan mendapat kelebihan berikutan jumlah eksport yang tinggi dicatatkan iaitu sekitar 35 peratus hingga 36 peratus.

“Jika kita lihat daripada jumlah eksport iaitu sebanyak 35 peratus hingga 36 peratus, adalah daripada produk E&E dan ini disebabkan terdapat banyak syarikat tempatan melabur di negara luar antaranya Amerika Syarikat.

“Sekiranya Malaysia tidak termasuk dalam perjanjian ini, dominasi kita dalam industri ini akan terjejas dan memberi kesan kepada ekonomi negara,” katanya yang dipetik daripada Bernama.

Terdapat 12 negara TPPA iaitu lima negara daripada benua Amerika; Amerika Syarikat, Kanada, Mexico, Peru dan Chile, empat negara ASEAN; Malaysia, Singapura, Brunei dan Vietnam dan tiga negara lain iaitu Jepun, Australia dan New Zealand yang menyumbang kepada 40 peratus kepada ekonomi dunia.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers